27 Oktober 2012

SPEKULASI PERPINDAHAN: THE HAMMERS INTAI FERDINAND


Pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand diberitakan akan pulang ke `kampung halaman’ dengan menyertai kembali kelab lamanya, West Ham United, Januari ini. Kontrak bekas pemain Leeds United itu akan berakhir musim panas tahun hadapan, namun sehingga kini masih belum ada sebarang perbincangan tentang lanjutan kontrak baru diadakan antara kedua-dua pihak (Ferdinand dan United). Status ejen bebas Ferdinand pada bulan Julai tahun hadapan menarik minat skuad The Hammers untuk membawa kembali pertahanan berpengalaman itu ke Boleyn Ground. Selain West Ham, kelibat Ferdinand turut diintai dua kelab yang beraksi di Major League Soccer iaitu Chicago Fire dan New York Red Bulls yang sebelumnya berjaya memancing bekas pemain Arsenal, Thierry Henry. Berita tentang minat yang ditunjukkan West Ham terhadap pemain pertahanan berusia 33 tahun itu turut disahkan sendiri pengurus mereka, Sam Allardyce. Big Sam sebenarnya sudah memasang impian untuk membawa beberapa pemain yang pernah dilahirkan dari Akademi Bolasepak West Ham untuk kembali menabur bakti bersama pasukan itu. Menurut pandangan Allarduce, dengan kembalinya semula Ferdinand ke Boleyn Ground, bakal mencetuskan kepulangan beberapa lagi bintang yang pernah dilahirkan oleh akademi kelab tersebut untuk memperkuatkan pasukan dari London itu. “Jika Rio ingin kembali ke West Ham, hal ini tentunya akan mengundang beberapa lagi bintang yang pernah dilahirkan oleh akademi ini seperti John Terry dan Frank Lampard untuk menghabiskan sisa karier mereka di sini. Situasi ini tentunya amat menguntungkan kami”, kata Allardyce. Berita tentang masa depan Ferdinand di Old Trafford mencetuskan tandatanya selepas tindakan pemain itu memboikot kempen Anti Perkauman Dalam Bolasepak yang dianjurkan FA England. Ferdinand bertindak dengan tidak memakai t-shirt kempen anti perkauman semasa sesi memanaskan badan perlawanan liga menentang Stoke City minggu lalu. Tindakan Ferdinand itu mengundang kemarahan Sir Alex Ferguson kerana pada sidang akhbar sebelum perlawanan, pengendali United itu mengatakan semua pemainnya akan memberi sokongan penuh terhadap kempen tersebut. Apapun kemungkinan untuk Ferdinand meninggalkan Old Trafford tetap ada tetapi mungkin bukan pada Januari ini. Dengan masalah kecederaan jangka panjang yang dialami Nemanja Vidic, sukar untuk Ferguson kehilangan seorang lagi pemain pertahanan berpengalaman seperti Ferdinand. Ferguson boleh saja melepaskan Ferdinand pergi, tetapi dengan syarat beliau perlu mendapatkan seorang pertahanan tengah baru yang mempunyai pengalaman dan keupayaan setanding bekas pemain Leeds United itu sebagai pengganti. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan