Pertembungan Chelsea dan Manchester United di Stamford Bridge bukan sahaja dramatik dan hangat di tengah padang bahkan diwarnai beberapa insiden diluar padang dan di tempat duduk penonton. Keputusan perlawanan sudahpun diketahui biarpun terdapat beberapa pertikaian tentang keputusan Mark Clattenburg melayangkan dua kad merah kepada pemain tuan rumah. Insiden diluar padang tidak kurang hebatnya apabila seorang petugas keselamatan terpaksa dikejarkan ke hospital kerana cedera di lutut dalam usahanya mengawal penonton tuan rumah sebaik Javier Hernandez menjaringkan gol kemenangan United. Insiden kedua pula ialah apabila penyokong tuan rumah bertindak melempar kerusi ke padang ketika pemain-pemain United merayakan gol kemenangan Hernandez. Kerusi itu melayang di atas kepala Patrice Evra dan tindakan penyokong tuan rumah mungkin mengundang masalah buat pihak pengurusan Chelsea. FA England masih menunggu laporan dari pengadil perlawanan sebelum menjalankan siasatan dan akan meneliti rakaman insiden tersebut. Selepas tamat perlawanan, tuan rumah juga nampaknya terus mengeluh dan menyalahkan keputusan pengadil perlawanan, Mark Clattenburg melayangkan dua kad merah kepada pemain mereka (Branislav Ivanovic dan Fernando Torres). Ivanovic diperintah keluar padang selepas mengasari Ashley Young ketika pemain sayap United itu dalam situasi menjaringkan gol manakala Torres pula mengutip kad kuning kedua kerana didakwa sengaja merebahkan badan. Selain itu Chelsea juga mendakwa, Hernandez berada dalam posisi offside ketika menjaringkan gol kemenangan United.
Kekecewaan di dalam padang nampaknya terbawa-bawa hingga ke luar padang apabila Chelsea juga akan menghantar bantahan rasmi kepada pihak FA England terhadap pengadil perlawanan yang didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pemain mereka. Sebaik tamat perlawanan, John Obi-Mikel dikatakan segera menuju ke bilik pegawai perlawanan bagi memprotes mutu pengadilan pengadil perlawanan itu, namun Clattenburg sebaliknya di dakwa melemparkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pemain tengah Chelsea itu. Menurut pengawas perlawanan, mereka sudahpun menerima bantahan Chelsea dan memandang serius apa yang berlaku dan akan menyiasat insiden tersebut. Menurut jurucakap mereka, Clattenburg akan bekerjasama sepenuhnya dan mereka sendiri akan meneliti laporan dari pengadil perlawanan sebelum mengambil tindakan selanjutnya. Pengendali Chelsea, Roberto de Matteo turut mengecam tindakan pengadil yang melayangkan dua kad merah kepada pemainnya. Matteo tidak menyangka dia akan kehilangan dua pemain pada perlawanan itu dan begitu kecewa dengan tindakan Clattenburg melayangkan kad merah kepada Torres. Menurut Matteo, Torres dikasari Jonny Evans terlebih dahulu sebelum terjatuh dan mendakwa pengadil sepatutnya menghadiahkan sepakan percuma buat pasukannya, bukannya layangan kad merah. Selepas menyaksikan insiden tesebut berulang kali, memang jelas Torres sengaja merebahkan badan dan tindakan pengadil perlawanan melayangkan kad kuning kedua buat pemain itu adalah tepat. Walau bagaimanapun ada juga pihak yang berpendapat terdapat sedikit sentuhan dari Evans terhadap Torres sebelum bekas penyerang Liverpool itu merebahkan badannya. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan