14 Oktober 2012

13 PEMAIN HEBAT YANG TIDAK PERNAH BERAKSI DI PENTAS PIALA DUNIA


Ketika ini saingan bolasepak liga-liga di Eropah dihentikan bagi memberikan laluan kepada pusingan kelayakan Piala Dunia 2014. Mana-mana pemain bolasepak dari mana-mana negara pun pastinya memasang impian untuk beraksi di pusingan akhir Piala Dunia dan menjadi satu kebanggaan buat mereka jika berpeluang berbuat demikian. Secara normalnya, ramai pemain-pemain hebat sempat merasai aksi di pusingan akhir Piala Dunia tetapi tidak kurang juga ramai nama-nama hebat gagal memenuhi impian itu dan hanya menjadi penonton di stadium ataupun di depan televisyen setiap kali pusingan akhir Piala Dunia berlangsung. Berikut adalah 13 pemain hebat yang tidak pernah merasai aksi pusingan akhir Piala Dunia termasuklah tiga bintang Manchester United sendiri, iaitu Ryan Giggs, Eric Cantona dan George Best:

1.  SAMI HYYPIA


Hyypia adalah bekas pertahanan kental Liverpool yang beraksi bersama kelab Merseyside itu pada era 90an dan awal 2000. Hyypia menyertai Liverpool dari kelab kecil Belanda, Willem II merupakan salah seorang dari empat pemain Finland yang berjaya mencapai angka lebih 100 caps untuk skuad kebangsaan. Malangnya pemain hebat seperti Hyypia tetap gagal membantu Finland layak kekejohanan-kejohanan besar termasuklah pusingan akhir Piala Dunia.

2.  GEORGE WEAH


Weah dianggap salah seorang pemain terbaik pernah dilahirkan Afrika. Pemain ini pernah memenangi gelaran Pemain Terbaik Afrika 1989, 1994 dan 1995. Weah juga merupakan satu-satunya pemenang Ballon d'Or yang tidak pernah bermain di pusingan akhir Piala Dunia. Selama 15 tahun kariernya bersama skuad kebangsaan Liberia, paling hampir peluang Weah beraksi di pusingan akhir Piala Dunia ialah pada 2002. Ketika itu Liberia hanya kekurangan satu mata untuk membolehkan mereka layak ke Korea dan Jepun (penganjur pusingan Piala Dunia ketika itu).

3.  JARI LITMANEN


Jari Litmanen adalah penjaring gol terbanyak sepanjang masa bagi Finland. Dia juga merupakan satu-satunya pemain yang mewakili negaranya dalam empat dekad berbeza. Memulakan kariernya di peringkat antarabangsa pada 1989 dan bersara pada 2010. Di peringkat kelab, Litmanen juga pernah bermain untuk kelab-kelab gergasi seperti Ajax Amsterdam, Barcelona dan Liverpool.

4.  IAN RUSH


Selain dikenali kerana misainya yang menarik, Rush juga dikenali sebagai penyerang hebat ketika berada di depan gawang lawan. Rush adalah penjaring terbanyak bagi Wales dengan 28 gol dari 73 penampilan. Selain itu, dia juga adalah penjaring terbanyak sepanjang masa Liverpool dengan koleksi 346 gol. Sayangnya kehebatan Rush gagal membawa Wales ke pusingan akhir Piala Dunia.

5.  PAOLO DI CANIO


Salah seorang pemain yang dikatakan memiliki karakter paling membingungkan. Secara teknik, Di Canio adalah penyerang yang cukup tajam namun tidak pernah diberi peluang beraksi bersama skuad kebangsaan Itali. Kariernya di peringkat kelab cukup cemerlang bersama Juventus, Lazio, AC Milan, Napoli dan West Ham. Malangnya ketika Di Canio berada di kemuncak, Itali turut memilik limpahan bintang hebat seperti Roberto Baggio, Allesandro Del Piero, Gianluca Vialli, Francesco Totti, Pippo Inzaghi dan Christian Vieri.

6.  GEORGE BEST


Best diiktiraf sebagai salah seorang  pemain paling berbakat dalam sejarah bolasepak. Best cukup terkenal ketika bersama Manchester United pada era 60an dan 70an, bukan saja kerana ketampanan wajahnya (hingga digelar anggota keenam The Beatles) tetapi juga kerana kehebatan ketika berada di atas padang. Walau bagaimanapun kehebatan Best gagal membantu Ireland Utara layak ke pusingan akhir Piala Dunia. Pada 1982, Ireland Utara layak ke pusingan akhir Piala Dunia namun Best tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan kerana faktor usia dan masalah ketagihan alkohol. 

7.  MATTHEW LE TISSIER


Le Tissier terpaksa membayar harga mahal atas kesetiaannya terhadap Southampton. Kesempatan paling besar buat Le Tissier hadir pada Piala Dunia 1994, tapi malangnya England gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia ketika itu. Pada pusingan akhir Piala Dunia 1998, Le Tissier tidak dipilih kerana persembahan buruknya bersama Southampton dalam saingan liga dan munculnya penyerang-penyerang hebat seperti Alan Shearer, Teddy Sheringham dan Michael Owen.

8.  DAVID GINOLA


Salah seorang pemain terbaik Perancis di awal 90an. Ginola adalah pemain sayap yang cukup hebat ketika itu namun reputasinya tercalar kerana kesilapan yang dilakukannya dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 1994. Perancis yang hanya memerlukan keputusan seri ketika itu untuk layak ke US 94 tewas kepada Bulgaria angkara kesilapan Ginola. Umpanan liar Ginola berjaya disambar Emil Kostadinov untuk menjaringkan gol kemenangan Bulgaria sekaligus menyingkir Perancis dari pusingan akhir Piala Dunia 94. Seluruh warga Perancis meletakkan kegagalan skuad kebangsaan layak ke pusingan akhir Piala Dunia di bahu Ginola dan selepas itu dia tidak pernah lagi berpeluang mewakili negaranya. 

9.  BERND SCHUSTER


Diiktiraf sebagai antara bakat hebat pernah dilahirkan Jerman (ketika itu Jerman Barat). Schuster pernah menjadi tonggak dua kelab gergasi Sepanyol iaitu Barcelona dan Real Madrid di era 80an. Akibat perselisihan faham dengan Persekutuan Bolasepak Jerman Barat, Schuster mengambil keputusan untuk bersara dari mewakili skuad kebangsaan pada 1984, dan dia ketika itu baru berusia 24 tahun. Secara keseluruhan, Schuster hanya bermain sebanyak 22 kali untuk negaranya.

10.  LIAM BRADY



Liam Brady merupakan pemain tengah berpengaruh untuk Arsenal pada dekad 70an. Brady juga pernah muncul tonggak bagi Juventus, Sampdoria dan Inter Milan. Selama 15 tahun penglibatannya dalam skuad kebangsaan Republik Ireland, Brady tidak pernah bermain di kejohanan-kejohanan besar. Ketika Euro 1988, Brady menjalani hukuman penggantungan perlawanan dan ketika Republik Ireland layak ke pusingan akhir Piala Dunia 1990, Brady sudahpun bersara ketika itu.

11.  ERIC CANTONA



The King sangat dipuja penyokong-penyokong Manchester United di era 90an. Cantona juga merupakan pemain handalan Perancis pada era 90an namun sayangnya Les Blues gagal layak ke pusingan akhir Piala Dunia 1994 selepas disingkirkan Bulgaria. Cantona kemudiannya dilantik sebagai kapten skuad kebangsaan selepas kegagalan itu. Tendangan kungfu Cantona ke atas penyokong Crystal Palace pada tahun 1995 mengakhiri kariernya bersama skuad kebangsaan buat selamanya.

12.  ALFREDO DI STEFANO


Kehebatan Di Stefano sebagai penggempur handalan memang tidak perlu diragukan lagi. Dia adalah salah seorang bintang dalam skuad edisi awal Galactico Real Madrid namun nasib Di Stefano di Piala Dunia cukup tragis. Pada 1950, FIFA memutuskan untuk tidak membenarkan Argentina menyertai pusingan akhir Piala Dunia. Pada 1954 pula, Di Stefano tidak dibenarkan mewakili Argentina kerana sebelumnya sudah mewakili Colombia. Di Stefano kemudiannya mewakili Sepanyol namun skuad La Furia Roja gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 1958. Ketika Sepanyol akhirnya layak ke Piala Dunia 1962, Di Stefano pula mengalami kecederaan jangka panjang dan diketepikan dari skuad kebangsaan.

13.  RYAN GIGGS



Ryan Giggs mungkin adalah pemain terbaik pernah dilahirkan dalam sejarah Liga Perdana. Hingga musim lalu, Giggsy adalah satu-satunya pemain yang berjaya menjaringkan gol dalam semua musim Liga Perdana. Kabinet trofi Giggs juga dipenuhi dengan berbagai kejuaraan bersama Manchester United. Bagaimanapun sayangnya kegemilangan Giggs di peringkat kelab gagal mengangkat Wales layak ke pusingan akhir Piala Dunia sejak 1958.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan