Saingan Liga Perdana Inggeris kembali bersambung selepas berehat kerana memberi laluan kepada pusingan kelayakan Piala Dunia 2014. Seperti dijadualkan, Manchester United akan menanti kunjungan pasukan `liat' Stoke City di Old Trafford esok. The Potters hadir dengan misi mahu memburu kemenangan pertama mereka ke atas United dalam tempoh 28 tahun, namun Tony Pulis perlu mencari jalan penyelesaian ketumpulan jentera serangan mereka jika mahu melakukan kejutan ke atas United. Peter Crouch kekal menjadi sandaran utama Pulis yang menyaksikan bekas penyerang Liverpool itu menyumbangkan empat dari enam gol mereka setakat ini. Sembilan pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan menyaksikan United menang lapan kali dan menjaringkan 24 gol ke gawang Stoke. Keputusan terbaik yang diraih pelawat ialah ketika mereka berjaya mengikat United 1-1 di gelanggang sendiri pada September 2011 melalui jaringan penyamaan Crouch selepas Nani meletakkan United di hadapan. Kejayaan mereka mengikat Liverpool (di Anfield) dan Manchester City (di Britannia) selain berjaya memaksa Chelsea berhempas pulas sebelum tewas 0-1 hasil jaringan lewat Ashley Cole di Stamford Bridge harus membuat barisan Sir Alex Ferguson lebih berwaspada. Pemain tengah The Potters, Steven N'Zonzi yang membantu bekas kelabnya Blackburn Rovers melakar kemenangan sensasi 3-2 ke atas United musim lalu yakin kelab barunya itu mampu melakukan perkara yang sama di Old Trafford. Stoke hanya tewas sekali (kepada Chelsea) dari tujuh perlawanan setakat ini namun mencatat terlalu banyak keputusan seri (5 kali) hingga menyaksikan mereka sekadar berada di tangga ke-12 liga. Bekas pemain United, Ryan Shawcross kekal menjadi watak penting dalam pasukan tetapi mereka tetap mengharapkan Crouch bermain lebih dari prestasi biasanya jika mahu melakar kejutan dalam perlawanan ini. Bintang baru United, Robin Van Persie memiliki statistik yang cukup bagus ketika berdepan Stoke.
Ketika masih bersama Arsenal, Van Persie menjaringkan enam gol dari lima perlawanan menentang Stoke, manakala Javier Hernandez pula berjaya menembusi gawang skuad Tony Pulis sebanyak empat kali. Selepas tewas 2-3 kepada Tottenham Hotspurs di Old Trafford hujung bulan lalu, ini adalah perlawanan pertama United di gelanggang sendiri dan tentunya barisan The Red Devils mahu menggunakan peluang ini untuk menebus semula kesilapan ketika tewas kepada Spurs. Perlawanan kelayakan Piala Dunia 2012 membabitkan England dan Poland yang ditunda sehari mungkin sedikit menganggu persiapan United menjelang perlawanan ini. Ini bermakna empat pemain United (Wayne Rooney, Michael Carrick, Danny Welbeck dan Tom Cleverley) yang terlibat bersama skuad kebangsaan England akan hanya kembali menyertai sesi latihan di Carrington hari ini. Faktor keletihan empat pemain ini juga boleh mencetuskan kebimbangan utama buat Ferguson apabila Carrick, Cleverley, Welbeck dan Rooney diturunkan ketika England mencatat keputusan seri dengan Poland di Warsaw. Ferguson bagaimanapun masih mempunyai pilihan jika keempat-empat pemain ini dibelenggu keletihan dengan kemungkinan menggandingkan Van Persie bersama Hernandez ataupun beliau masih boleh menggunakan Welbeck yang hanya bermain selama 23 minit di Warsaw kelmarin. Di bahagian tengah, Ferguson mempunyai limpahan pemain untuk mengisi posisi tersebut. Ferguson boleh memilih sama ada Ryan Giggs, Paul Scholes, Shinji Kagawa, Nani, Anderson atau Antonio Valencia untuk mengisi slot di bahagian tengah. Selain itu, Ashley Young juga dijangka kembali menyertai pasukan selepas pulih dari masalah kecederaan, manakala Chris Smalling mungkin mengisi salah satu dari empat slot di benteng pertahanan. Kepulangan semula Smalling memang di nanti selepas kecederaan jangka panjang yang dialami Nemanja Vidic dan Phil Jones pula dijangka akan hanya kembali minggu hadapan. Glory Glory Manchester United!!!
Rekod Pertemuan:
- Perlawanan esok adalah pertemuan ke-67 membabitkan antara kedua-dua pasukan. Rekod pertemuan sebelum ini menyaksikan United menang 30, seri 21 dan kalah 15 kali.
- Pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan di Old Trafford ialah pada 1 Februari 2012 di mana United menang 2-0 hasil jaringan Javier Hernandez dan Dimitar Berbatov.
- The Potters tidak pernah menang di Old Trafford dalam tempoh 40 tahun di mana kali terakhir mereka menewaskan United ialah pada 9 Disember 1972.
- Kali terakhir United tewas kepada Stoke ialah pada 26 Disember 1984, iaitu kira-kira 28 tahun yang lalu.
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Chris Smalling, Paul Scholes, Ryan Giggs, Shinji Kagawa, Nani, Robin Van Persie & Danny Welbeck
Barisan Kemungkinan Stoke:
Asmir Begovic, Marc Wilson, Robert Huth, Ryan Shawcross, Geoff Cameroon, Steven N'Zonzi, Michael Kightly, Rory Delap, Charlie Adam, Jonathan Walters & Peter Crouch
Tiada ulasan:
Catat Ulasan