31 Oktober 2012

PREVIEW PIALA CAPITAL ONE: CHELSEA lwn MANCHESTER UTD


Skuad The Blues yang terdesak mengembalikan semula maruah mereka akan sekali lagi menjadi tuan rumah kepada Manchester United awal pagi esok. United kembali semula ke Stamford Bridge dalam tempoh tiga hari selepas meleburkan rekod tanpa kalah Chelsea musim ini bagi meneruskan perseteruan antara dua kelab itu, tetapi kali ini dalam saingan Piala Capital One pula. Selepas berjaya menamatkan kemarau 10 tahun tanpa kemenangan di Stamford Bridge dalam saingan liga, Ahad lalu, barisan The Red Devils berharap mereka mampu sekali lagi menambah luka buat skuad bimbingan Roberto de Matteo itu. De Matteo tidak dapat menurunkan skuad terkuatnya dalam perlawanan ini selepas Branislav Ivanovic dan Fernando Torres menjalani penggantungan automatik atas layangan kad merah yang diterima mereka Ahad lalu, manakala John Terry pula akan sekali lagi menyaksikan perlawanan ini dari tempat duduk penonton kerana masih menjalani hukuman gantung 4 perlawanan. Kecergasan Frank Lampard pula masih menjadi tandatanya, walaupun ada berita mengatakan pemain tengah berpengalaman itu siap diturunkan pada perlawanan ini. Chelsea tewas dua perlawanan terakhir mereka selepas dikejutkan Shaktar Donetsk dalam saingan Liga Juara-Juara dan United pula dalam saingan liga. Walaupun ramai yang mendakwa United menang kerana kesilapan pengadil perlawanan, Chelsea sebaliknya berdepan tekanan dalam perlawanan ini bagi mengelak dari terus tewas buat kali ketiga dalam tempoh seminggu. Juan Mata yang menjaringkan gol pertama ketika menentang United akan menjadi sandaran utama De Matteo. Pemain tengah Sepanyol itu kekal menjadi tumpuan biarpun ketibaan beberapa nama besar dalam skuad Chelsea musim ini selepas Eden Hazard dan Oscar gagal memberikan sumbangan secara konsisten setakat ini. Trio Mata, Oscar dan Hazard akan menjadi sandaran De Matteo namun mereka kehilangan sesuatu di barisan hadapan dengan ketiadaan Torres. Tanpa kelibata John Terry bermakna Gary Cahill dan David Luiz akan sekali lagi menjadi tunjang di benteng pertahanan mereka. Cesar Azpilicueta dan Ryan Bertrand pula dijangka berpeluang membarisi kesebelasan utama manakala Ramires yang menjaringkan gol kedua Chelsea, Ahad lalu akan digandingkan dengan John Obi-Mikel atau Oriol Romeu.

Barisan The Red Devils hadir dalam perlawanan ini dengan keyakinan tinggi selepas mencatat lima kemenangan pada lima perlawanan terakhir mereka. Bermula dengan kemenangan ke atas CFR Cluj pada 2 Oktober lalu, United meneruskan rentak cemerlang mereka lima hari selepas itu dengan menyingkirkan Newcastle United dari kejohanan ini (Piala Capital One). United kemudiannya mengutip tiga mata ketika berdepan Stoke City sebelum kembali semula ke pentas Eropah pada 23 Oktober dengan mencatat kemenangan ke atas SC Braga. Meskipun ramai pihak meramalkan rekod buruk United di Stamford Bridge dalam saingan liga akan berterusan, barisan The Red Devils sebaliknya membawa pulang tiga mata penuh pada pertemuan liga Ahad lalu. Sir Alex Ferguson boleh menggunakan perlawanan ini untuk memberi peluang beraksi kepada pemain-pemain mudanya. David de Gea yang cemerlang menafikan beberapa percubaan bahaya Chelsea, Ahad lalu dijangka akan direhatkan dan tugas sebagai pejaga gawang akan diberikan kepada Anders Lindegaard. Memandangkan ada perlawanan penting berdepan Arsenal dalam saingan liga, hujung minggu ini, Ferguson akan merehatkan beberapa tonggak utama dan beralih kepada barisan muda milik mereka. Alexander Buttner dan Scott Wootton dijangka diberikan peluang sekali lagi tampil dalam kejohanan ini untuk membarisi benteng pertahanan United. Darren Fletcher yang tidak diturunkan ketika berdepan Chelsea tiga hari lalu akan mengisi bahagian tengah bersama Anderson yang menjaringkan gol pembukaan ketika berdepan Newcastle United dalam pusingan sebelumnya. Ferguson bakal meletakkan tenaga muda di kedua-dua sayap manakala Ryan Giggs pula dibelakang dua penyerang utama. Javier Hernandez yang menemui sentuhan gol pada dua perlawanan terakhir boleh memulakan perlawanan dalam kesebelasan utama bersama-sama Danny Welbeck bagi mengambilalih tempat Robin Van Persie dan Wayne Rooney. Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan Chelsea:

Petr Cech, Cesar Azpilicueta, David Luiz, Gary Cahill, Ryan Bertrand, John Obi Mikel, Ramires, Eden Hazard, Oscar, Juan Mata & Daniel Sturridge

Barisan Kemungkinan United

Anders Lindegaard, Rafael da Silva, Jonny Evans, Scott Wootton, Alexander Buttner, Darren Fletcher, Anderson, Tom Cleverley, Ryan Giggs, Danny Welbeck & Javier Hernandez

Tiada ulasan:

Catat Ulasan