24 Oktober 2012

FERGUSON PUJI BARISAN PENYERANG UNITED NAMUN TIADA JAWAPAN KEPADA PERSEMBAHAN HAMBAR BARISAN PERTAHANANNYA


Sir Alex Ferguson memuji persembahan barisan penyerangnya ketika menyaksikan Manchester United bangkit memungut tiga mata penuh selepas ketinggalan dua gol kepada SC Braga dalam saingan Kumpulan H, Liga Juara-Juara awal pagi tadi. Bagaimanapun prestasi benteng pertahanan United terus menimbulkan persoalan apabila mereka sudah melepaskan tujuh gol dari tiga perlawanan terakhir di gelanggang sendiri. Ferguson menyaksikan sendiri bagaimana rapuhnya benteng pertahanan pasukannya selepas Alan meletakkan Braga dalam kedudukan selesa melalui dua golnya dalam tempoh 20 minit pertama pertemuan di Old Trafford itu. Bagaimanapun persembahan hambar benteng pertahanan United diselamatkan dengan ketajaman barisan penyerang mereka terutamanya melalui persembahan cemerlang Javier Hernandez yang menjaringkan dua gol dalam perlawanan ini. Satu lagi gol United disumbangkan pemain pertahanan mereka, Jonny Evans. Persembahan cemerlang Hernandez pada perlawanan ini pastinya memeningkan kepala Ferguson dalam memilih gandingan penyerangnya untuk perlawanan-perlawanan akan datang. "Javier Hernandez berkembang dengan pesat dan dia cukup luar biasa ketika sesi latihan. Dia menunjukkan kesungguhan yang tinggi. Saya mempunyai dia, Wayne Rooney, Robin Van Persie dan Danny Welbeck. Saya tidak tahu apa yang saya harus lakukan dengan mereka", kata Ferguson. 

Apa yang perlu diatasi Ferguson ketika ini ialah mengelakkan benteng pasukannya dibolosi lawan terlebih dahulu, situasi yang sering dialami United musim ini. Untuk rekod, ini adalah kali kelapan dari 12 perlawanan (dalam semua kejohanan) United dibolosi lawan terlebih dahulu dan ketika ditanya pemberita, bos United itu tiada jawapan tentang situasi yang dialami benteng pertahanannya ketika ini. Nasib bagaimanapun masih menyebelahi United dalam perlawanan ini, biarpun ketinggalam dua gol kepada pelawat, mereka masih mampu bangkit selepas itu dengan menjaringkan tiga gol sekaligus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan H dengan sembilan mata maksimum. Sementara itu pengendali Braga, Jose Peseiro nyata kecewa dengan keputusan yang diraih pasukannya selepas selesa mendahului 2-0. Peseiro sempat memasang impian untuk membawa pulang tiga mata penuh ke Portugal sebelum menanti kunjungan United pada perlawanan pusingan kedua di Estadio AXA 7, November nanti. Walau bagaimanapun Peseiro tetap berpuashati dengan persembahan keseluruhan pasukannya dan berharap mereka mampu layak kepusingan kedua nanti. Peluang buat tiga lagi kelab dalam Kumpulan H (Braga, Galatasaray dan Cluj) layak ke pusingan kedua masih seimbang dengan masing-masing hanya dibezakan dengan jurang mata yang kecil. Setakat ini United unggul di tangga teratas dengan sembilan mata, Cluj  di tangga kedua (4 mata), Braga di tangga ketiga (3 mata) dan Galatasaray pula di tangga keempat (1 mata). Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan