23 Oktober 2012

PREVIEW LIGA JUARA-JUARA: MANCHESTER UNITED lwn SC BRAGA


Manchester United menyambung kempen Liga Juara-Juara Eropah dengan harapan kesilapan musim lalu tidak berulang lagi. United memulakan kempen Eropah mereka musim ini dengan mencatat dua kemenangan berturut-turut sekaligus muncul peneraju bagi Kumpulan H. Awal pagi esok, United akan menerima kunjungan wakil Portugal, SC Braga yang melakukan kebangkitan pada perlawanan kedua dengan membenam Galatasaray di Turki selepas tewas kepada CFR Cluj di gelanggang sendiri pada perlawanan pembukaan. Wakil Portugal itu tewas kesemua lima perlawanan mereka ketika menentang kelab-kelab England dan rekod buruk itu tampak bakal berterusan jika diambilkira prestasi semasa United terutamanya selepas Wayne Rooney kembali menemui sentuhan tajamnya. Pencapaian di pentas Eropah musim ini jelas berbeza dengan permulaan lembab musim lalu apabila United hanya mencatat keputusan seri pada perlawanan pembukaan yang kemudiannya menyaksikan mereka tersingkir di peringkat kumpulan. Sir Alex Ferguson perlu memperkemaskan semula benteng pertahanan pasukannya menjelang pertemuan ini selepas menyaksikan mereka melepaskan lima gol dalam dua perlawanan terakhir di Old Trafford. United melepas tiga gol ketika tewas 2-3 kepada Tottenham Hotspurs, dan meskipun mencatat kemenangan ke atas Stoke City hujung minggu lalu, benteng pertahanan United membenarkan lawan membolosi gawang mereka sebanyak dua kali. Berbeza dengan prestasi rakan-rakan di benteng pertahanan, barisan serangan United jelas mempunyai kelas tersendiri apabila merakamkan 26 gol dalam semua kejohanan setakat ini. Penyerang Belanda, Robin Van Persie sudah menjaringkan lima gol dari lima perlawanan terakhirnya di pentas Liga Juara-Juara (termasuk ketika bersama Arsenal) selain turut menemui sasaran ketika berdepan Stoke City, Sabtu lalu. Selain Van Persie, Rooney turut mempamerkan peningkatan sejak akhir-akhir ini apabila berjaya memecah kebuntuan jaringan di saingan liga domestik dengan dua gol yang dihasilkannya ketika berdepan Stoke kelmarin. Di pentas antarabangsa pula, Rooney sudah menjaringkan lima gol dari tiga perlawanan terakhir untuk England. Melihatkan kepada prestasi terkini kedua-dua penggempur United itu, jurulatih Braga, Jose Peseiro perlu memikirkan cara terbaik yang harus digunakan benteng pertahanannya untuk menyekat kombinasi Rooney dan Van Persie dari melakukan sesuatu di kawasan penalti pasukannya. Kelab dari Utara Portugal itu yang tewas kepada seteru senegara, FC Porto pada perlawanan akhir Liga Europa 2011 muncul antara pencabar serius dalam saingan liga domestik apabila menduduki tangga ketiga di belakang Porto dan Benfica ketika ini. Pengalaman yang diraih pasukannya di pentas Eropah menyebabkan Peseiro yakin tiada apa yang perlu ditakutkan barisan pemainnya ketika berdepan United di Old Trafford nanti. Keputusan baik di Old Trafford nanti pastinya mencerahkan peluang Braga untuk lolos ke pusingan kedua. Selepas dipaksa bermain hingga kemasa tambahan sebelum menang 3-0 ke atas Leixoes dalam saingan Piala Portugal, Jumaat lalu, Peseiro mungkin mendapati barisan pemainnya berdepan faktor keletihan menjelang pertemuan ini. Peseiro bergantung penuh kepada pengalaman milik barisan pemain tengahnya yang dibarisi Hugo Viana, Ruben Micael dan Alan selain mempertaruhkan ketajaman Eder di barisan hadapan untuk mengejutkan United. Glory Glory Manchester United!!!


Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Rafael da Silva, Chris Smaling, Jonny Evans, Alexander Buttner, Anderson, Tom Cleverley, Darren Fletcher, Wayne Rooney, Danny Welbeck & Robin Van Persie

Barisan Kemungkinan SC Braga:

Beto, Leandro Salino, Douglao, Nuno Andre Coelho, Paulo Vinicius, Ismaily, Custodio, Ruben Micael, Hugo Viana, Alan & Eder
 Micael, Alan, Hugo Viana, Eder

Tiada ulasan:

Catat Ulasan