Manchester
United menamatkan kemarau kemenangan mereka di Stamford Bridge dalam saingan
liga apabila menundukkan skuad The Blues itu 3-2 awal pagi tadi. Kali terakhir
United menang di Stamford Bridge pada perlawanan liga ialah pada April 2002 dan
kemenangan pagi tadi menyaksikan United berjaya mengurangkan jurang pendahuluan
mata daripada pendahulu liga itu kepada hanya satu mata. United menguasai babak
awal perlawanan dan hanya memerlukan 4 minit sebaik sepak mula untuk mendahului
tuan rumah melalui gol sendiri pertahanan mereka, David Luiz. Umpanan dari
sebelah kanan oleh Wayne Rooney menemui Robin Van Persie, namun percubaan
penyerang itu yang singgah ke tiang gol melantun dan terkena Luiz lalu menerjah
gawang sendiri. Sembilan minit selepas itu, Van Persie sekali lagi menjadi duri
dalam daging bagi pertahanan tuan rumah apabila berjaya menyudahkan hantaran
Antonio Valencia dari sebelah kanan untuk meletakkan United selesa mendahului
2-0. Tuan rumah yang ketinggalan meningkatkan tekanan dan mereka hampir
merapatkan kedudukan diminit ke-25 hasil sepakan percuma Luiz namun berjaya
diselamatkan David de Gea. Strategi bertahan yang diterapkan United terutamanya
pada penghujung babak pertama hampir mengundang padah apabila tuan rumah sekali
lagi mencipta peluang terbaik untuk mendapatkan gol. Bagaimanapun percubaan
John Obi-Mikel diminit ke-35 yang ditampan Jonny Evans sekadar mengenai tiang
gol. Seminit selepas itu, De Gea sekali lagi bertindak cemerlang menafikan
peluang tuan rumah apabila menyelamatkan tandukan Gary Cahill biarpun bola
seakan-akan tampak hampir menerjah gawang. De Gea bagaimanapun akhirnya
tertewas juga apabila tuan rumah berjaya merapatkan kedudukan menerusi
sepakan percuma Juan Mata di minit ke-44 selepas Wayne Rooney melakukan
kekasaran ke atas Eden Hazard di luar petak penalti.
Bersambung
di babak kedua, tuan rumah memerlukan hanya tujuh minit untuk menyamakan
kedudukan melalui Ramirez yang berjaya menanduk masuk bola hantaran Juan Mata.
Dua minit selepas itu Hazard hampir menyamakan kedudukan namun
percubaannya berjaya diselamatkan De Gea. Menyedari kesilapan mereka dengan
membiarkan Chelsea menguasai permainan, United cuba kembali menguasai permainan
dan tempo semakin rancak selepas itu dengan kedua-dua pasukan saling berbalas
serangan. Kesilapan pertahanan tuan rumah, Branislav Ivanovic mengasari Ashley
Young dalam situasi pemain sayap United itu berpeluang menjaringkan gol
mengundang padah apabila dia dilayangkan kad merah diminit ke-62. Nasib tuan
rumah bertambah parah apabila giliran Fernando Torres pula dilayang kad merah
enam minit kemudian selepas mengutip kad kuning kedua. Tindakan pemain itu yang
sengaja merebahkan badan berjaya dikesan pengadil perlawanan, dan Mark
Clattenburg tidak teragak-agak menunjukkan jalan keluar buat bekas penyerang
Liverpool itu. Kekurangan dua pemain menyukar misi tuan rumah untuk
mempertahankan rekod tanpa kalah mereka setakat ini dan pemain gantian, Javier
Hernandez menambah derita tuan rumah apabila menjaringkan gol ketiga United
diminit ke-75. Seperti gol-gol yang dihasilkan penyerang Mexico itu sebelum
ini, Hernandez bijak menyusup masuk ke dalam kawasan penalti lawan untuk mudah
menolak masuk bola hantaran Rafael da Silva bagi memberikan gol kemenangan
buat The Red Devils. Selepas gol tersebut, pemain-pemain United bermain secara
selamat dengan saling bertukar hantaran semasa sendiri bagi mengekalkan
kedudukan mereka sekaligus mengutip tiga mata berharga di gelanggang keramat
lawan. Glory Glory Manchester United!!!
Statistik Perlawanan:
Tendangan Sudut: 8 - 6
Percubaan Tepat: 11 - 7
Percubaan Tersasar: 3 - 8
Kekasaran: 13 - 11
Offside: 1 - 4
Penguasaan Bola: 51% - 49%
Kad Kuning: 2 - 2
Kad Merah: 2 - 0
Gol: 2 - 3
Tiada ulasan:
Catat Ulasan