01 November 2012

REVIEW PIALA CAPITAL ONE: UNITED TERKANDAS DI PUSINGAN KEEMPAT


Chelsea dipaksa berhempas pulas hingga ke masa tambahan sebelum berjaya menyingkirkan Manchester United di pusingan keempat Piala Capital One awal pagi tadi tadi. Skuad bimbingan Roberto de Matteo itu bangkit tiga kali sepanjang 90 minit permainan sebelum dua gol dari Daniel Sturridge dan Ramires di masa tambahan meletakkan mereka di pusingan suku akhir kejohanan ini. Tiga sepakan penalti masing-masing dua untuk skuad tuan rumah dan satu untuk United dari pengadil perlawanan Lee Mason mewarnai perlawanan sengit ini. Sir Alex Ferguson melakukan perjudian dengan menurunkan barisan muda terutama di benteng pertahanan United apabila menurunkan Scott Wootton, Michael Keane dan Alexander Buttner dalam kesebelasan utama. Hanya Rafael da Silva pemain dari skuad utama diturunkan Ferguson memperkuatkan bahagian belakang pasukannya manakala Anders Lindegaard pula mengawal gawang. United membuka tirai jaringan menerusi Ryan Giggs di minit ke-22 selepas hantaran lemah Petr Cech kepada Oriol Romeu berjaya dirampas Anderson. Bola yang dihantar pemain tengah Brazil itu berjaya disudahkan Giggs yang merembat ke sebelah kanan pintu gol lawan. Sembilan minit selepas itu, David Luiz menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti selepas Buttner menjatuhkan Victor Moses di dalam petak penalti. Di penghujung permainan separuh masa pertama, Javier Hernandez meletakkan United di depan sekali lagi apabila dia bijak melepasi benteng pertahanan lawan untuk menolak masuk gol kedua.

Selepas ketinggalan, Roberto de Matteo yang dilihat terdesak memasukkan tiga pemain utama (Ramires, Eden Hazard dan Oscar) untuk menguatkan bahagian tengah mereka. Hasilnya diminit ke-52, pemain pertahanan Gary Cahill berjaya menyamakan kedudukan buat tuan rumah. Kegembiraan penyokong tuan rumah tidak kekal lama apabila tujuh minit kemudian Nani pula meletakkan namanya dalam senarai penjaring apabila menyudahkan gerakan satu dua dengan Anderson untuk gol ketiga United. Kemenangan 3-2 yang diraih United tiga hari lalu dalam saingan liga tampak akan berulang hinggalah Wootton melakukan kesilapan di penghujung permainan dengan mengasari Ramires. Pengadil perlawanan, Mason tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah yang berjaya disempurnakan Hazard dimasa kecederaan. Perlawanan terpaksa dilanjutkan kemasa tambahan selepas kedudukan terikat 3-3. Kurangnya pengalaman terutamanya ketika berdepan detik genting seperti ini menyebabkan Wootton sekali lagi melakukan kesilapan apabila tandukan lemah ke belakang berjaya disambar Sturridge untuk meletakkan tuan rumah pula di depan diminit ke-97. Pintu untuk United sekurang-kurangnya mengheret tuan rumah bermain kepenentuan sepakan penalti tertutup apabila Ramires menjaringkan gol kelima Chelsea diminit ke-116. Walaupun empat minit kemudian Ryan Giggs berjaya merapatkan kedudukan kepada 4-5, selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti, ianya sudah terlambat buat United untuk bangkit mengikat kedudukan. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

Statististik Perlawanan:

Gol: 5 – 4
Percubaan: 29 – 14
Percubaan Tepat: 14 – 9
Penguasaan Bola: 52% - 48%
Kekasaran: 17 – 21
Sepakan Sudut: 6 – 4
Offside: 2 – 3
Kad Kuning: 5 – 4
Kad Merah: 0 - 0

Tiada ulasan:

Catat Ulasan