30 Disember 2012

REVIEW: UNITED TERUS KEKALKAN JARAK


Manchester United mengekalkan jurang tujuh mata milik mereka selaku pendahulu selepas mencatat kemenangan ke atas West Bromwich Albion di Old Trafford. Sir Alex Ferguson melakukan beberapa rombakan dari skuad yang menang ke atas Newcastle United tempohari. Di barisan hadapan tiada kelibat penjaring terbanyak liga, Robin Van Persie dan penjaring gol kemenangan, Rabu lalu, Javier Hernandez tetapi Sir Alex sebaliknya meletakkan kombinasi Shinji Kagawa dan Danny Welbeck. Di bahagian tengah, tidak banyak perubahan dilakukan cuma, Ashley Young yang diketepikan ketika berdepan Newcastle akibat kecederaan diturunkan semula manakala Nemanja Vidic kembali mengetuai benteng pertahanan. United mengawal permainan sejak sepak mula dan hanya memerlukan tempoh sembilan minit untuk membuka tirai jaringan. Gol berpunca dari hantaran lintang Ashley Young di sebelah kanan pintu gol lawan yang ditampan Gareth McAuley terus menerjah ke gawang sendiri. Shinji Kagawa yang merasai aksi pertamanya selepas berehat panjang tidak menghampakan apabila gerakan-gerakan yang dilakukannya sering menghadirkan masalah kepada benteng lawan. United hampir menggandakan jaringan diminit ke-32 tetapi rembatan Ashley Young yang menerima hantaran Antonio Valencia sekadar mengenai palang gol, dan seminit selepas itu Michael Carrick pula melihat percubaannya dari dalam petak penalti berjaya dinafikan Ben Foster. Peluang terbaik pelawat hadir menerusi Peter Odemwingie diminit ke-40, tetapi rembatan pemain itu yang sebelumnya berjaya melepasi kekangan Chris Smalling dan Jonny Evans jauh tersasar. Kedudukan selepas tamat separuh masa pertama kekal dengan United unggul mendahului 1-0, manakala statistik perlawanan pula milik mutlak The Red Devils apabila mereka menguasai 68% penguasaan bola berbanding pelawat.

Pelawat memulakan babak kedua dengan agresif berbanding persembahan mereka di babak pertama, namun peluang-peluang yang dicipta mereka terutamanya menerusi Peter Odemwingie dan Shane Long tidak menepati sasaran. Selepas mendapati barisan serangannya sedikit tumpul, Sir Alex akhirnya memasukkan Robin Van Persie diminit ke-65 menggantikan Shinji Kagawa. Lima minit selepas itu Gareth McAuley hampir menebus kesilapannya di babak pertama apabila tandukannya hasil sepakan sudut menggegar palang gol United. Pelawat terus bernafsu dalam usaha mereka mencari gol penyamaan terutamanya selepas kemasukkan Romelu Lukaku, namun percubaan-percubaan yang dilakukan barisan hadapan mereka sering dinafikan kekentalan benteng pertahanan United. Dalam kerancakan pelawat melakukan serangan, Robin Van Persie hampir menggandakan kelebihan United tetapi rembatannya hasil umpanan Patrice Evra diminit ke-82 berjaya dihadang Ben Foster. Tempo permainan semakin rancak di penghujung perlawanan apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Diminit ke-89, Danny Welbeck mencipta peluang terbaik buat dirinya tetapi rembatannya hasil gerakan satu dua bersama Antonio Valencia berjaya ditepis keluar Ben Foster. Robin Van Persie akhirnya menamatkan sisa-sisa perjuangan The Baggies untuk mencari gol penyamaan apabila rembatan cantiknya dari luar petak penalti diminit ke-90 gagal diselamatkan Ben Foster sekaligus meletakkan United selesa mendahului 2-0. Perlawanan ini juga menyaksikan gawang United tidak dibolosi buat pertama kali sejak kemenangan 1-0 mereka ke atas West Ham pada 29 November lalu di Old Trafford. Bagi Robin Van Persie pula, gol ke-14 sumbangannya dalam perlawanan ini menyaksikan pemenang kasut emas musim lalu itu mendahului senarai penjaring terbanyak setakat ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan United-West Brom:

Gol: 2 – 0
Sepakan Sudut: 9 – 6
Percubaan Tepat: 14 – 9
Percubaan Tersasar: 3 – 4
Kekasaran: 9 – 7
Offside: 0 – 0
Kad Kuning: 1 – 0
Kad Merah: 0 – 0
Penguasaan Bola: 58% - 42%

Susunan Pemain United:

De Gea, Evra, Smalling, Vidic, Evans, Carrick, Valencia, Young, Cleverley (Scholes 83’), Kagawa (Van Persie 65’) &  Welbeck

Susunan Pemain West Brom:

Foster, Ridgwell, Tamas, Jones, McAuley, Brunt (Morrison 75’), Dorrans (Fortune 83’), Thorne, Rosenberg (Lukaku 67’), Odemwingie & Long

Tiada ulasan:

Catat Ulasan