Benteng pertahanan Manchester United memang
menjadi tumpuan sebelum pertemuan menentang West Bromwich Albion semalam.
Selepas membenarkan gawang mereka dibolosi sebanyak 28 kali setakat ini, tidak
hairanlah jika persembahan barisan pertahanan United dalam perlawanan semalam mendapat
perhatian khusus dari pemerhati dan penyokong-penyokong. Walau bagaimanapun
selepas tamat perlawanan, benteng United yang diterajui Nemanja Vidic, Jonny
Evans, Chris Smalling dan Patrice Evra tidak dibolosi lawan buat kali pertama
dalam tempoh sebulan. Ini juga adalah kali ketiga gawang United tidak dibolosi
dari 20 perlawanan liga yang mereka harungi setakat ini. Persembahan
keseluruhan barisan pertahanan United dalam perlawanan semalam mengundang
pujian dari Sir Alex Ferguson. “West Brom tampil lebih baik di babak kedua.
Mereka melakukan hantaran-hantaran silang ke kotak penalti kami dan terus
melakukannya sepanjang babak kedua. Bagaimanapun pertahanan kami menangani
situasi ini dengan begitu baik sekali. Barisan pertahanan bermain baik jika
dibandingkan dengan perlawanan-perlawanan sebelumnya. Kami berada di posisi
yang bagus ketika perjalanan liga memasuki pusingan kedua. Kami akan berhadapan
dengan Wigan pada hari Selasa dan akan cuba memenangi perlawanan itu”, kata Sir
Alex.
Ketika pasukannya ditekan hebat pelawat, Sir Alex melakukan perubahan
taktikal dengan memasukkan Robin Van Persie dan Paul Scholes. Percaturannya
membuahkan hasil apabila Van Persie berjaya menjaringkan gol kedua United di
penghujung permainan sekaligus menamatkan sisa-sisa perjuangan skuad kendalian
Steve Clarke itu. Selain barisan pertahanannya, Sir Alex turut memuji
penampilan semula Shinji Kagawa yang beraksi buat pertama kali selepas berehat
panjang akibat kecederaan dan juga Van Persie yang masuk sebagai pemain gantian.
Apa yang mengejutkan ialah tindakan Sir Alex menurunkan Kagawa dalam
kesebelasan utama dalam perlawanan ini. Meskipun baru pulih dari kecederaan,
penampilan Kagawa cukup berkesan terutamanya sepanjang babak pertama
perlawanan. “Van Persie adalah pemain yang luar biasa. Dia bermula dari bangku
simpanan dan kemudiannya berjaya mengubah keputusan perlawanan. Kagawa pula
bermain baik di babak pertama tetapi kemudiannya sedikit keletihan kerana ini
adalah perlawanan pertamanya selepas pulih dari kecederaan. Saya puas hati
dengan penampilan Kagawa dan dia bekerja keras dalam perlawanan ini”, ulas Sir
Alex dalam laman sesawang rasmi manutd.com. Glory Glory Manchester United!!! –
A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan