Walaupun kemenangan yang dicatatkan Manchester
United ke atas Newcastle United menyaksikan mereka melebarkan penguasaan di
tangga teratas liga kepada tujuh mata, tetapi bolos tiga gol lagi di Old
Trafford tetap sesuatu yang perlu dibimbangkan Sir Alex Ferguson. Benteng pertahanan
United sudah melepaskan 28 gol dalam saingan liga setakat ini, hanya kurang
lima gol berbanding QPR yang berada di dasar liga. Jika diambil kira statistik
pada semua kejohanan-kejohanan yang disertai United setakat ini (Liga
Juara-Juara, Piala Capital One dan Liga Perdana), benteng pertahanan sudah membenarkan
lawan membolosi gawang mereka sebanyak 40 kali. Apa yang menariknya statistik juga
menunjukkan bahawa United berjaya bangkit dari ketinggalan sebanyak 16 kali dan
11 daripadanya berakhir dengan kemenangan. Bolos dengan begitu banyak
menyebabkan ramai pihak di kem United terpaksa mengakui mereka mesti
memperbaiki situasi ini. Mujurlah masalah yang berlaku di benteng pertahanan
berjaya diimbangi barisan penggempur United yang meledak gol demi gol dalam
setiap perlawanan. Prestasi tidak konsisten yang dipamerkan pemain-pemain di
barisan belakang turut menimbulkan kebimbangan kepada pemain pertahanan
berpengalaman, Rio Ferdinand. “Kami bimbang dengan situasi ini. Apabila anda
melepaskan banyak gol di peringkat manapun anda bermain, anda pasti mahu
menghentikannya dengan segera”, kata Ferdinand. Rakan Ferdinand di benteng
pertahanan, Jonny Evans turut sependapat tetapi pemain itu optimis masalah ini
hanya menunggu masa untuk diselesaikan. Mempertahankan pintu gol dari dibolosi bukanlah
sesuatu yang mudah dan ia berkaitan dengan kekuatan mental.
Untuk itu, Evans mahukan agar rakan-rakannya
di barisan belakang perlu lebih bersedia dari segi mental dan fizikal ketika
bertahan. Apakah yang berlaku di benteng ketika ini disebabkan tumpuan lebih
diberikan kepada barisan hadapan untuk menjaringkan gol selepas berdepan pengalaman
pahit terlepas kejuaraan liga musim lalu menerusi perbezaan jaringan? Pada
pertemuan menentang Newcastle semalam, Evans muncul pemain ketiga musim ini
selepas Wayne Rooney dan Gareth Bale yang menjaringkan dua gol, satu ke gawang
lawan dan satu lagi ke gawang sendiri. Ia merupakan pengajaran berguna buat
pertahanan berusia 25 tahun itu yang mengecapi penampilan ke-150 untuk kelab
semalam. Evans kini pemain yang jauh lebih matang berbanding ketika dia
mengambil alih tempat Ferdinand apabila pertahanan berpengalaman itu mengalami
masalah kecederaan belakang pada 2008. Kini secara perlahan-lahan, Evans mula
mengambil alih status sebagai pemain senior dan pada satu hari nanti dia akan
mendapati dirinya berada di tempat yang sama sepertimana Ryan Giggs, Paul Scholes
dan Rio Ferdinand berada sekarang. Untuk itu, persembahan keseluruhan bahagian
belakang bergantung sepenuhnya kepada pemain senior seperti Ferdinand, Vidic
dan Evans. Mereka tidak lagi boleh melakukan kesilapan hingga membenarkan
gawang dibolosi menerusi gerakan-gerakan mudah dari pihak lawan. Dengan jadual
padat tahun baru bakal menanti dan saingan di peringkat Eropah (Liga
Juara-Juara) pula memasuki fasa kalah mati, Sir Alex perlu memperkemaskan
benteng pertahan pasukannya meskipun dalam masa yang sama meletakkan sasaran
memburu 100 gol semusim kepada pemain di barisan hadapan. Tugas mempertahankan
pintu gol dari dibolosi sama pentingnya dengan tugas membolosi gawang lawan. Glory
Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan