29 Disember 2012

PREVIEW: MANCHESTER UNITED lwn WEST BROMWICH




Selepas berjaya melebarkan jurang selaku pendahulu kepada tujuh mata hasil kemenangan dramatik 4-3 ke atas Newcastle United, Rabu lalu, barisan The Red Devils akan `mengalu-alukan’ kunjungan West Bromwich Albion pula ke Old Trafford dalam perlawanan liga seterusnya. Dengan pencabar terdekat, Manchester City berdepan perlawanan sukar di Carrow Road, United mungkin boleh menjarakkan lagi jurang mata jika seteru setempat mereka itu gagal mengutip mata penuh. Tetapi jangan perkecilkan kemampuan The Baggies yang dibimbing Steve Clarke selepas apa yang mereka pamerkan setakat ini menerusi gaya permainan penuh semangat hingga pada satu ketika pernah meletakkan mereka di tangga ketiga liga. Barisan pertahanan United sekali lagi menjadi tumpuan dalam perlawanan ini selepas membenarkan lawan membolosi gawang mereka sebanyak 28 kali dari 19 perlawanan. Selepas menurunkan kombinasi berbeza pada dua perlawanan terakhir, apakah Sir Alex akan melakukan rombakan sekali lagi pada benteng pertahanannya kali ini? Wayne Rooney muncul pemain terbaru dalam senarai pemain yang mengalami kecederaan dan dijangka terlepas aksi selama tiga minggu manakala nasib Ashley Young pula masih samar akibat kecederaan yang dialaminya ketika sesi latihan. Nemanja Vidic yang sekadar memanaskan bangku simpanan ketika berdepan Newcastle mungkin diturunkan semula selepas Sir Alex Ferguson menyaksikan benteng pertahanannya melepaskan tiga gol, Rabu lalu. Sir Alex tampak berhati-hati dalam menangani situasi Vidic yang baru pulih dari kecederaan tetapi dalam masa yang sama berharap pemain itu dapat menyelesaikan masalah terhadap prestasi tidak konsisten benteng pertahanannya selama ini.

Bintang yang baru dibawa masuk musim panas lalu, Shinji Kagawa dikhabarkan sudah pulih dari kecederaan tetapi Sir Alex tidak akan terburu-buru menurunkan pemain tengah itu dalam kesebelasan utamanya. Pemain yang menjadi tumpuan dalam perlawanan ini sudah tentu Patrice Evra. Dari hanya satu gol yang dihasilkannya musim lalu, pertahanan Perancis itu berjaya menyumbangkan 4 gol untuk United musim ini, satu angka yang cukup banyak buat seorang pemain pertahanan. Steve Clarke akan membawa skuadnya ke Old Trafford dengan harapan dapat mengekalkan momentum kemenangan selepas berjaya meraih enam mata pada dua perlawanan terakhir mereka. Walau bagaimanapun pengendali itu mungkin tidak dapat menggunakan khidmat Jonas Olsson, Goran Popov dan Youssouf Mulumbu yang mengalami kecederaan. Untuk mengatasi masalah kecederaan yang dialami skuadnya, Clarke terpaksa memanggil balik George Thorn yang dipinjamkan ke kelab yang beraksi di Liga Kejuaraan, Peterborough. Tugas sebagai penggempur utama bakal diletakkan di bahu pemain pinjaman dari Chelsea, Romelu Lukaku yang sudahpun menjaringkan 6 gol dari 16 penampilan musim ini sambil dibantu Peter Odemwingie ataupun Shane Long. Rekod pertemuan lampau jelas milik United apabila mereka tidak tewas dalam 17 pertemuan terakhir ketika berdepan The Baggies. Kali terakhir West Bromwich berjaya menewaskan United ialah pada Mac 1984 di mana mereka menang 2-0 ketika beraksi di gelanggang sendiri manakala kemenangan terakhir mereka di Old Trafford ialah pada 30 Dis 1978 dengan keputusan 5-3. Tugas berat menanti Clarke jika diambilkira rekod United ketika beraksi di Old Trafford yang menyaksikan mereka menang 6 dari 7 perlawanan terakhir di gelanggang sendiri. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Rekod Pertemuan United – West Bromwich:

Jumlah Perlawanan: 101
Menang: 46 – 32
Seri: 23 – 23
Kalah: 32 – 46

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Nemanja Vidic, Jonny Evans, Chris Smalling, Antonio Valencia, Tom Cleverley, Michael Carrick, Danny Welbeck, Javier Hernandez & Robin Van Persie

Barisan Kemungkinan West Bromwich:

Ben Foster, Liam Ridgewell, Billy Jones, Gareth McAuley, Gabriel Tamas, James Morrison, Graham Dorrans, Zoltan Gera, Chris Brunt, Peter Odemwingie & Romelu Lukaku

Tiada ulasan:

Catat Ulasan