Setelah berjaya melepasi halangan West Ham di
pusingan ketiga, Manchester United akan berdepan skuad bimbingan Martin Jol
pula dalam misi mereka memenangi trofi Piala FA buat pertama kali dalam tempoh
lapan tahun. Kali terakhir United menang kejuaraan Piala FA ialah pada 2004 dan
keseluruhannya The Red Devils sudah
menjulang trofi ini sebanyak 11 kali. Sepertimana United, Fulham juga terpaksa
bermain perlawanan ulangan sebelum berjaya menyingkir kelab dari Liga
Kejuaraan, Blackpool di Bloomfield Road yang menyaksikan pemenang terpaksa
ditentukan hingga ke masa tambahan. Tumpuan pada perlawanan ini tentunya
terarah kepada Dimitar Berbatov yang kembali semula ke Old Trafford buat
pertama kali sejak menyertai The
Cottagers Ogos lalu. Sebaik saja meninggalkan United, Berba mengkritik cara
dia diperlakukan Sir Alex Ferguson terutamanya ketika saat-saat akhir dia di
kelab dan mengatakan bahawa dia hilang rasa hormat terhadap pengendali itu atas
apa yang berlaku kepadanya. Berba pastinya mahu menggunakan sepenuhnya
kesempatan berdepan bekas kelabnya itu awal pagi esok untuk membuktikan sesuatu,
dan Sir Alex tentunya sedar ancaman yang bakal diberikan oleh bekas
penyerangnya itu. Jol dijangka menggandingkan Berba dan Brian Ruiz di barisan
hadapan tetapi beliau akan kehilangan khidmat Mahamadou Diarra di bahagian
tengah yang ketika ini bersama Mali dalam kejohanan Piala Negara-Negara Afrika.
Tidak seperti Sir Alex yang bakal menurunkan skuad berbeza dalam usaha
mengekalkan kecergasan pemain-pemain utamanya bagi menghadapi aksi liga, Jol
pula mendapati beliau tidak mempunyai pilihan selain menggunakan pemain-pemain
yang sama dalam perlawanan ini. Barisan pemain yang bakal diturunkan Jol
dijangka tidak banyak berubah berbanding skuad yang tewas 0-2 kepada Manchester
City dalam aksi liga hujung minggu lalu. United pula masih terlepas khidmat
Jonny Evans yang masih belum pulih dari kecederaan lutut manakala Darren
Fletcher pula diketepikan hingga penghujung musim akibat masalah usus.
Sementara itu Sir Alex mengesahkan bahawa khidmat Ashley Young belum pasti
dapat digunakan dalam perlawanan ini kerana pemain antarabangsa England itu masih
belum 100% cergas sepenuhnya. Wayne Rooney yang tidak diturunkan pada aksi liga
menentang Tottenham Hotspurs bakal diletakkan semula di barisan hadapan
bersama-sama Javier Hernandez. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Fakta Perlawanan United – Fulham:
- Manchester United menewaskan Fulham buat
kali ke-46 dari 78 pertemuan kompetitif mereka selepas menundukkan skuad
kendalian Martin Jol itu 3-2 di Old Trafford Ogos lalu. Ini juga merupakan
kemenangan keempat berturut-turut United ke atas Fulham sejak 2010. Kali
terakhir Fulham menewaskan United ialah pada bulan Disember 2009 di mana mereka
menang 3-0 pada pertemuan yang diadakan di Craven Cottage.
- Ini adalah kali kesembilan kedua-dua
pasukan bertemu dalam saingan Piala FA di mana United menang tujuh daripadanya
termasuk pertemuan di peringkat separuh akhir edisi 1958, peringkat suku akhir
edisi 2004 dan 2009.
Barisan Kemungkinan United:
Anders Lindegaard, Rafael da Silva, Chris
Smalling, Phil Jones, Alexander Buttner, Antonio Valencia, Anderson, Tom
Cleverley, Ryan Giggs, Wayne Rooney & Javier Hernandez.
Barisan Kemungkinan Fulham:
Mark Schwarzer, Sascha Riether, Aaron Hughes,
Brede Hangeland, Kieran Richardson, Damien Duff, Steve Sidwell, Giorgs
Karagounis, Alexander Kacaniklic, Bryan Ruiz & Dimitar Berbatov
Tiada ulasan:
Catat Ulasan