Robin Van Persie akan kembali mengisi
tempatnya dalam kesebelasan utama pada pertemuan menentang Southampton awal
pagi esok selepas direhatkan dari perlawanan pusingan keempat saingan Piala FA,
Ahad lalu. Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand turut akan kembali semula selepas
direhatkan tetapi pemain sayap Ashley Young dan Jonny Evans akan terus
diketepikan kerana masih belum pulih dari masalah lutut dan hamstring. Bagi
Southampton pula kunjungan mereka ke Old Trafford diiringi dengan berita gembira
apabila kapten pasukan Adam Lallana disahkan akan kembali memperkuatkan skuad selepas
tidak bermain hampir dua bulan kerana kecederaan ligamen lutut. Jose Fonte dan
Guly Do Prado yang belum pulih dari kecederaan lutut akan diketepikan tetapi
pemain yang baru ditandatangani, Vegard Forren bakal melakukan penampilan
pertama. Mauricio Pochettino yang mengambil alih tugas dari Nigel Adkins yakin pasukannya
mampu melakukan kejutan di Old Trafford selepas menyaksikan anak-anak buahnya berjaya
mengikat Everton di gelanggang sendiri 22 Januari lalu.
Pochettino boleh dianggap lulus ujian
pertamanya selaku pengendali The Saints
namun berdepan United di Old Trafford bakal menghadirkan ujian sebenar buat
warga Argentina itu. The Saints hanya menang sekali dari 39
kunjungan mereka ke Old Trafford sejak 1969 dengan kali terakhir mereka berjaya
meraih tiga mata penuh di Theatre of
Dream ialah pada 16 Januari 1988. Meskipun sedar tugas berat menanti
anak-anak buahnya di Old Trafford, Pochettino yakin mereka akan meraih sesuatu
ketika berdepan pendahulu liga itu, apatah lagi selepas menyaksikan barisannya
tidak kalah dalam enam perlawanan terakhir mereka. Keupayaan mereka mengikat
Chelsea di Stamford Bridge pastinya menjadi amaran awal buat United agar tidak
memandang rendah keupayaan lawan yang mereka tewaskan 3-2 pada 2 September
lalu. United pula masih segar dengan kejayaan mudah menyingkirkan Fulham pada
saingan Piala FA di samping kekal tanpa kalah dalam 11 aksi terakhir mereka. Rekod
United ketika beraksi di gelanggang sendiri musim ini juga cemerlang apabila
menang sepuluh dari sebelas perlawanan dengan Tottenham Hotspurs muncul pasukan
tunggal yang berjaya meraih tiga mata penuh di Old Trafford setakat ini. Glory
Glory Manchester United!!! – A.J
Fakta Perlawanan:
- United menang tujuh perlawanan terakhir
mereka menentang Southampton dalam semua kejohanan. Satu-satunya kemenangan
yang berjaya dicatat The Saints ke
atas United ialah pada Ogos 2003 menerusi jaringan tunggal James Beattie.
- Southampton belum pernah menang dari 17
kunjungan terakhir mereka di Old Trafford. Kali terakhir mereka menewaskan
United di Old Trafford ialah kira-kira 25 tahun lalu (Januari 1988). Keputusan
terbaik yang diraih mereka selepas itu ialah ketika mengikat United dengan
keputusan 3-3 pada September 1999.
- United tidak pernah tewas dalam 32
perlawanan di gelanggang sendiri ketika menentang kelab yang baru dinaikkan ke saingan
Liga Perdana, sejak kali terakhir mereka tewas 1-2 kepada Bolton Wanderers pada
Oktober 2001.
- Robin Van Persie berpeluang menyamai
pencapaian Cristiano Ronaldo yang berjaya menjaringkan gol dalam enam
perlawanan liga berturut-turut yang dilakukannya pada 2008. Setakat ini Van
Persie sudah menjaringkan gol dalam lima perlawanan terakhirnya.
- Musim ini Southampton tewas kedua-dua perlawanan
mereka menentang dua kelab Manchester (United dan City) dengan keputusan 3-2
biarpun pada satu ketika berjaya mendahului lawan 2-1.
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Patrice Evra, Rafael da Silva,
Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Michael Carrick, Tom Cleverley, Nani, Shinji
Kagawa, Wayne Rooney & Robin Van Persie
Barisan Kemungkinan Southampton:
Artur Boruc, Jos Hooiveld, Maya Yoshida,
Nathaniel Clyne, Luke Shaw, Steven Davis, Adam Lallana, Morgan Schneiderlin,
James Ward-Prowse, Gaston Ramirez & Rickie Lambert
Tiada ulasan:
Catat Ulasan