25 Januari 2013

UNITED...SEPANJANG 24 JAM YANG LALU


UNITED DAN PALACE CAPAI KATA SEPAKAT

Manchester United dan Crystal Palace akhirnya mencapai persetujuan berkaitan perpindahan Wilfried Zaha ke Old Trafford. Tawaran sebanyak £15 juta yang dibuat United berjaya memujuk pihak pengurusan Palace untuk melepaskan pemain berusia 20 tahun itu. Menurut laporan Daily Mail, Zaha akan menandatangani kontrak selama 5 tahun setengah dan bakal menerima gaji sebanyak £35 ribu seminggu. Jika segalanya berjalan lancar, dalam tempoh 48 jam, Zaha akan menandatangani kontrak secara rasmi selepas menjalani ujian perubatan di Bridgewater Hospital. Selain United, dua lagi kelab dari London, Tottenham Hotspurs dan Arsenal turut pernah dilaporkan media terbabit dalam persaingan mendapatkan khidmat pemain muda itu. Walaupun kelmarin Arsene Wenger menafikan kelabnya pernah terbabit dalam usaha memancing Zaha, tetapi ada laporan menyebut bahawa bintang muda England itu menolak tawaran yang dibuat Arsenal dan Spurs semata-mata kerana mahu menyertai United. Walau bagaimanapun penyokong-penyokong United tidak akan dapat menyaksikan kelibat Zaha dalam skuad The Red Devils dalam tempoh terdekat kerana bintang muda itu akan menghabiskan baki saingan musim ini bersama Palace sebagai sebahagian syarat perpindahannya.

SAYA MASIH NOMBOR SATU

David de Gea menegaskan bahawa dirinya masih penjaga gol nombor satu di Old Trafford selepas United dikaitkan dengan beberapa nama untuk menggantikan tempatnya sejak kebelakangan ini. Laporan-laporan media di England menyebut bahawa United sedia mendengar tawaran dari mana-mana kelab untuk penjaga gol mereka itu dengan Real Madrid dan Barcelona menunjukkan minat yang besar membawa De Gea kembali semula ke Sepanyol. Bekas penjaga gol Atletico Madrid itu sering dikritik kerana melakukan kesilapan-kesilapan kecil dan terbaru bekas lagenda United, Gary Neville mengatakan De Gea patut dipersalahkan atas gol penyamaan Clint Dempsey ketika menentang Tottenham Hotspurs hujung minggu lalu. “Sejak kali pertama menjejakkan kaki ke kelab ini, saya selalu merasakan bahawa saya adalah penjaga gol nombor satu. Saya senang dengan polisi penggiliran yang diamalkan Sir Alex Ferguson. Pengurus melakukan penggiliran pada saat yang tepat dan itu bagus untuk pasukan tetapi saya dipilih dalam beberapa perlawanan penting dan itu adalah hal yang positif”, kata De Gea.

KAGAWA KURANG PUASHATI PERMULAAN KARIERNYA DI OLD TRAFFORD

Shinji Kagawa mengakui bahawa dia kurang berpuashati dengan permulaan kariernya bersama Manchester United. Kagawa yang di bawa masuk dari Borussia Dortmund dengan nilai £17 juta musim panas lalu menganggap penampilan musim pertamanya di Old Trafford diganggu kecederaan lutut. Kagawa diketepikan sejak Oktober lalu dan hanya kembali dua bulan selepas itu di mana dia berjaya menjaringkan dua gol dari 12 penampilan setakat ini. “Saya kurang berpuashati dengan apa yang sudah saya sumbangkan untuk kelab setakat ini. Ini kelab yang besar dan saya perlu mengatasi tekanan agar tidak menganggu permainan saya”, kata Kagawa kepada The Sport Review. Kagawa juga mengakui dia beruntung kerana berpeluang bermain dan berlatih bersama-sama pemain kelas dunia di Old Trafford dan itu merupakan satu motivasi yang baik untuk dirinya. Selepas tidak bermain selama dua bulan, Kagawa kembali diturunkan dalam aksi liga ketika United menewaskan West Bromwich 2-0, 29 Disember lalu dan terbaru bermain selama 62 minit ketika United mencatat keputusan seri di White Hart Lane hujung minggu lalu.

KAMI RINDUKAN RVP

Pertahanan antarabangsa Perancis, Bacary Sagna mengatakan bahawa para pemain Arsenal sangat merindukan sentuhan magis Robin Van Persie di Emirates. Perpindahan Van Persie ke Old Trafford Ogos lalu memang dikesali banyak pihak di Arsenal termasuk dirinya sendiri dan Sagna mengakui dia begitu kecewa melihat bekas kaptennya itu menyertai United. “Kami di Arsenal sangat merindui Van Persie. Beliau memberikan segala yang dimilikinya untuk Arsenal musim lalu dan sekarang dia melakukan hal yang sama untuk United”, kata Sagna tentang bekas rakan sepasukannya itu. Melihat prestasi cemerlang yang dipamerkan Van Persie di Old Trafford, Sagna mengatakan United sangat beruntung memiliki penyerang antarabangsa Belanda itu. “Manchester United sangat beruntung kerana memilikinya. RVP adalah pemain yang cukup hebat kerana kemampuannya mengubah perjalanan perlawanan”, tambah Sagna lagi kepada Atlantiquefootball.

CASILLAS TERLEPAS AKSI MENENTANG UNITED

Real Madrid menerima khabar duka selepas penjaga gol utama yang juga ketua pasukan mereka, Iker Casillas akan diketepikan selama enam minggu akibat kecederaan tangan ketika menentang Valencia. Pada perlawanan pusingan kedua peringkat suku akhir Copa del Rey di Stadium Mestalla, semalam, Casillas terpaksa dibawa keluar selepas tangannya tertendang rakan sepasukannya Alvaro Arbeloa. Jurucakap Madrid mengesahkan selepas pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas tangan Casillas di pusat perubatan La Moraleja Sanitas, mereka mendapati terdapat retakan pada tangan kiri pemain itu. Menurut pakar perubatan, kecederaan yang dialami Casillas memerlukan tempoh sekurang-kurangnya enam minggu untuk pulih sepenuhnya dan itu bermakna dia akan terlepas perlawanan pertama pusingan 16 pasukan Liga Juara-Juara menentang Manchester United di Santiago Bernabeu 13 Februari ini. Casillas juga belum dapat dipastikan akan memperkuatkan skuad Los Merengues pada pertembungan el classico menentang Barcelona pada 2 Mac dan perlawanan kedua menentang United di Old Trafford tiga hari kemudian. – A.J

GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan