PILIH
UNITED BERBANDING CITY
Penjaga gol Stoke City, Asmir Begovic telah
menjelaskan bahawa dia lebih rela berpindah ke Manchester United musim panas
ini daripada menyertai juara Liga Perdana, Manchester City. Penjaga gol
antarabangsa Bosnia itu yang diberitakan menjadi sasaran Sir Alex Ferguson menegaskan
bahawa dia mahu bermain dalam kesebelasan utama daripada berada di bangku
simpanan dan menjadi pelapis kepada Joe Hart. Bekas pemain Portsmouth itu
menyertai Stoke pada 2010 dan sejak itu memainkan peranan penting mengawal
gawang The Potters hingga menyaksikan
kelab itu berjaya mengekalkan kedudukan mereka di kelompok sepuluh terbaik
dalam tempoh dua tahun terakhir. Sementara itu City turut dilaporkan menjadikan
Begovic sasaran musim panas tetapi pemain itu pastinya sedar dia bakal
menghabiskan kebanyakan masa di bangku simpanan sebagai pilihan kedua di
belakang Hart. Dengan tandaharga sebanyak £15 juta yang diletakkan ke atas
Begovic, Stoke akan memperolehi keuntungan berlipat ganda kerana kelab itu
hanya membayar £3 juta ketika membawa pemain itu ke Stadium Britannia tiga
tahun lalu. Selepas spekulasi semakin hangat mengatakan bahawa De Gea akan
kembali semula ke Sepanyol menyertai sama ada Barcelona atau Real Madrid,
Begovic dijangka mengambil alih posisi sebagai penjaga gol nombor satu United musim
panas ini.
CARRICK
BAKAL DITAWARKAN KONTRAK BAHARU
Sir Alex Ferguson diberitakan akan menawarkan
kepada pemain tengah, Michael Carrick lanjutan kontrak baharu. Bekas pemain West
Ham dan Tottenham Hotspurs itu memainkan peranan penting di sebalik prestasi
cemerlang United setakat ini bakal ditawarkan lanjutan kontrak hingga musim
panas 2015. Kontrak Carrick akan berakhir pada 2014 dan ketika ini dia menerima
£80 ribu seminggu
tetapi pihak pengurusan United tidak akan menambah pakej gaji pada kontrak baru
yang akan ditawarkan nanti. Sir Alex memuji penampilan Carrick dan menyifatkan musim
ini adalah penampilan terbaik pemain tengah itu. “Persembahannya musim ini
cukup luar biasa. Dia melaksanakan tugasnya dengan cemerlang dan ini merupakan
musim terbaiknya di kelab”, kata Sir Alex. Meskipun diketepikan dari skuad
kebangsaan pada pusingan akhir Euro 2012, penampilan cemerlang Carrick bersama
United musim ini menarik minat Roy Hodgson untuk menyenaraikannya kembali dalam
skuad The Three Lions.
JONES
LEBIH BAGUS BERBANDING TERRY
Sir Alex Ferguson menyifatkan kemampuan Phil
Jones lebih bagus berbanding John Terry ketika zaman mudanya. Sir Alex
nampaknya berpuashati dengan penampilan pemain berusia 21 tahun itu setakat ini
walaupun kerap dibelenggu kecederaan. “Phil mempunyai kemampuan yang lebih baik
berbanding Terry. Terry memiliki pengalaman dan merupakan tonggak pertahanan
tengah yang fantastis buat Chelsea. Namun ketika zamannya sebagai pemain muda,
Terry pasti akan menjadi orang pertama yang mengakui bahawa dia tidak memiliki
kepantasan seperti Phil”, kata Sir Alex. Pemain yang ditandatangani Sir Alex
dari Blackburn Rovers pada 2011 itu turut diakui sebagai pemain serba boleh.
Selain berkebolehan diletakkan sebagai pemain pertahanan tengah, Jones juga
boleh beraksi dengan baik sebagai bek kanan dan juga pemain tengah bertahan. “Phil
adalah pemain serba boleh dan dia boleh bermain di mana-mana posisi. Dia pantas,
memiliki sepasang kaki yang kuat serta berkebolehan membaca permainan dengan
baik”, tambah Sir Alex lagi.
ROONEY
AKAN AMBIL PENALTI LAGI
Walau tugasnya sebagai pengambil sepakan
penalti ketika perlawanan menentang Fulham di pusingan keempat Piala FA awal
pagi tadi diambil alih oleh Ryan Giggs, Sir Alex Ferguson berjanji akan
menyerahkan kembali peranan itu kepada Wayne Rooney di masa akan datang. Rooney
gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika United menyingkirkan West Ham pada
perlawanan ulangan pusingan ketiga Piala FA di Old Trafford 17 Januari lalu.
Kegagalan tersebut menyebabkan Sir Alex `membekukan’ buat sementara waktu peranan
Rooney sebagai pengambil sepakan penalti. Giggs yang ditugaskan mengambil
sepakan tersebut awal pagi tadi selepas bola terkena tangan Aaron Hughes mudah
menewaskan Mark Schwarzer untuk membuka tirai jaringan buat United. “Wayne gagal
menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan-perlawanan sebelumnya jadi saya
mengenepikan dia buat sementara waktu. Wayne akan kembali mengambilnya (sepakan
penalti) selepas ini. Satu perkara tentang Wayne ialah dia tidak ragu-ragu
walaupun gagal menyempurnakan sepakan tersebut. Dia memiliki keyakinan diri
yang tinggi”, kata Sir Alex. - A.J
GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan