DE
GEA MENYELAMATKAN TIGA MATA UNITED
Sumbangan Wayne Rooney dengan dua gol
jaringannya memang diakui membolehkan United meraih tiga mata berharga ketika
melayani kunjungan Southampton awal pagi tadi tetapi kapten pasukan, Nemanja
Vidic turut meletakkan David de Gea sebagai watak penting di sebalik kejayaan The Red Devils dalam perlawanan ini. Jay
Rodriguez berjaya membocori gawang United seawal minit ketiga namun gol itu
bukanlah hasil dari kesilapan De Gea tetapi berpunca dari hantaran ke belakang
lemah Michael Carrick. De Gea tidak banyak diuji pada separuh masa pertama tetapi
begitu sibuk ketika pelawat meningkatkan tekanan di babak kedua. Salah satu
aksi De Gea yang paling diingati dalam perlawanan ini ialah tindakan
cemerlangnya menafikan peluang Rickie Lambert untuk menyamakan kedudukan
menerusi sepakan percuma. Dari reaksinya, Lambert jelas begitu kecewa selepas
melihat bola sepakannya berjaya ditepis De Gea, dan hal itu turut diakui
pengurus The Saints, Mauricio
Pochettino. Menurut Pochettino, pada kebiasaannya sepakan percuma seperti itu
pastinya boleh menghasilkan gol, tetapi De Gea jelas berada pada prestasi terbaik
untuk menafikan lawan dari sekurang-kurangnya berkongsi mata. Bagi Vidic pula,
itu adalah tindakan menyelamat yang luar biasa ditunjukkan penjaga gol berusia
22 tahun itu. “Itu adalah penyelamatan luar biasa dari David. Sebenarnya saya
melihat bola akan menerjah jaring tetapi David bertindak dengan cukup cemerlang.
Dia menunjukkan bahawa dia memiliki bakat hebat. Dia penjaga gol yang bagus dan
semakin kerap dia bermain, dia akan bertambah bagus”, kata Vidic kepada MUTV.
LIMA
PEMAIN UNITED DISENARAIKAN DALAM SKUAD KEBANGSAAN
Tom Cleverley, Wayne Rooney, Danny Welbeck,
Michael Carrick dan Chris Smalling disenaraikan Roy Hodgson untuk bermain dalam
aksi persahabatan menentang Brazil minggu hadapan. Ini merupakan kali pertama
Smalling disenaraikan dalam tempoh setahun selepas mengalami kecederaan tetapi
prestasi cemerlang yang dipamerkannya sejak kebelakangan ini berjaya menarik
perhatian Hodgson. Michael Carrick turut disenaraikan selepas digugurkan dari
skuad ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Poland dan
Montenegro, September lalu. Berikut adalah senarai penuh skuad kebangsaan
England yang akan berdepan Brazil:
PENJAGA GOL: Jack Butland & Joe Hart PERTAHANAN: Leighton Baines, Gary Cahill,
Ashley Cole, Phil Jagielka, Glen Johnson, Joleon Lescott, CHRIS SMALLING & Kyle Walker TENGAH: MICHAEL
CARRICK, TOM CLEVERLEY, Steven
Gerrard, Frank Lampard, Aaron Lennon, James Milner, Leon Osman, Alex Oxlade
Chamberlain, Theo Walcott & Jack Wilshere PENYERANG: Jermain Defoe, WAYNE ROONEY, Daniel Sturridge & DANNY WELBECK
KAMI
DI POSISI TERBAIK
Nemanja Vidic mengakui Manchester United
berada pada posisi terbaik dalam perlumbaan mengejar kejuaraan liga musim ini
namun mengingatkan rakan-rakan sepasukan bahawa `tugas mereka masih belum
selesai’. United berjaya memanfaatkan sepenuhnya keputusan seri yang diraih
pencabar terdekat Manchester City ketika berdepan Queens Park Rangers untuk
menjarakkan kedudukan kepada tujuh mata di takhta liga dengan mengalahkan
Southampton awal pagi tadi. Ketika perjalanan liga menuju satu pertiga musim,
kelebihan tujuh mata di tangga teratas adalah situasi yang cukup bagus buat
pasukan dalam misi menjulang kejuaraan ke-20. Bagaimanapun Vidic tetap
berwaspada berdasarkan pengalaman pahit musim lalu ketika United terlepas
kejuaraan liga biarpun pada satu ketika begitu selesa memiliki kelebihan lapan
mata di tangga teratas dengan baki lapan perlawanan untuk ditamatkan. “Kedudukan
kami ketika ini cukup baik. Sangat penting untuk memenangi perlawanan terutama
pada tahap sekarang. Ketika ini semua perlawanan adalah penting dan kami perlu fokus
pada perlawanan berikutnya. Tugas kami belum selesai dan perjalanan masih
panjang tetapi kami berada pada posisi terbaik”, kata Vidic. Vidic mengakui
United tidak bermain dengan baik awal pagi tadi tetapi kemenangan adalah lebih
penting jika mahu memenangi kejuaraan.
JONES
TERSENARAI DALAM SKUAD U-21
Selepas diketepikan untuk sebahagian besar aksi
musim ini, Phil Jones akhirnya kembali disenaraikan dalam skuad kebangsaan
England. Meskipun kesempatan yang diperolehi Jones kali ini bukanlah bersama
skuad senior tetapi sebaliknya untuk skuad U-21 England, ini merupakan
permulaan baik buat pemain berusia 20 tahun itu memulakan langkah menarik
semula perhatian Roy Hodgson. Jones disenaraikan dalam skuad kendalian Stuart Pearce
yang akan berdepan skuad U-21 Sweden di Walsall minggu hadapan. Pemain yang
baru ditandatangani, Wilfried Zaha yang memperolehi caps pertama untuk skuad
senior ketika berdepan Sweden November lalu turut disenaraikan Pearce bersama
kuartet Liverpool, Andre Wisdom, Raheem Sterling, Jonjo Shelvy dan Jack
Robinson. Dengan perebutan tempat ke pusingan akhir Kejohanan Eropah Bawah 21
Tahun di Israel musim panas ini serta pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 untuk
skuad senior, peluang tampil bersama skuad U-21 bakal menjadi batu loncatan
buat Jones dan Zaha mengintai peluang disenaraikan semula bersama skuad senior Three Lions. Seorang lagi pemain muda
United yang turut tersenarai dalam skuad Pearce ialah penjaga gol, Ben Amos. –
A.J
GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan