16 Januari 2013

KECEDERAAN VIDA & YOUNG TAK SERIUS


Manchester United meneruskan dominasi mereka ke atas Liverpool yang juga merupakan seteru tradisi mereka musim ini. Gol-gol sumbangan Robin Van persie dan Nemanja Vidic ke atas skuad The Reds di Old Trafford pada aksi hari Ahad meletakkan United kukuh menerajui takhta liga dengan kelebihan tujuh mata berbanding kelab di tangga kedua, Manchester City. Walau bagaimanapun kemenangan itu terpaksa dibayar dengan harga yang mahal apabila kapten pasukan Nemanja Vidic dan Ashley Young gagal menamatkan permainan selepas mengalami kecederaan. Kedua-duanya sudah terlepas beberapa perlawanan musim ini dan satu lagi siri kecederaan pastinya menjadi tamparan hebat buat Sir Alex Ferguson ketika berdepan jadual padat dalam saingan domestik, manakala pusingan kedua Liga Juara-Juara pula akan bermula dalam tempoh sebulan. Young mengalami kecederaan selepas berlaga dengan pertahanan Liverpool, Daniel Agger dan digantikan Antonio Valencia di separuh masa kedua manakala Vidic pula digantikan Chris Smalling ketika tempoh permainan berbaki 10 minit untuk ditamatkan. Meskipun Sir Alex mengumumkan kecederaan kedua-dua pemain itu tidak serius, tetapi mereka mungkin akan direhatkan dalam beberapa perlawanan bagi mengelak risiko kecederaan lebih serius. “Sebenarnya lutut Vida okey. Dia hanya mengalami sedikit gegaran tetapi kembali berlatih semalam dan keadaannya cukup baik. Young pula mengalami sedikit tekanan pada lututnya tetapi ia tidak serius”, kata Sir Alex kepada MUTV.

Berita ini sudah pasti sedikit melegakan kerana Sir Alex tidak boleh kehilangan seorang lagi pemain di barisan belakang selepas Jonny Evans mengalami masalah hamstring. Vidic dan Young sudah pasti terlepas aksi ulangan saingan pusingan ketiga Piala FA menentang West Ham Khamis ini, tetapi Wayne Rooney dan Nani disahkan kembali beraksi semula. Tempat Young mungkin akan digantikan Nani ataupun Danny Welbeck yang bermain selama 90 minit ketika menentang Liverpool tempohari manakala ketiadaan Vidic bakal diisi Chris Smalling atau Phil Jones sebagai pilihan kedua. Kecederaan yang dialami Vidic dan Young hadir pada waktu yang kurang tepat ketika United terpaksa berdepan West Ham (dalam saingan Piala FA) dan perlawanan sukar liga menentang Tottenham Hotspurs di gelanggang lawan Ahad ini. United terpaksa berhempas pulas ketika mengikat Hammers di Boleyn Ground untuk memaksa perlawanan ulangan dan tewas 2-3 kepada Spurs dalam saingan liga September lalu, jadi perlawanan menentang kedua-dua pasukan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Semoga kecederaan yang dialami Vidic dan Young tidak mendatangkan masalah besar buat United kerana Sir Alex mempunyai barisan pemain yang mampu menggantikan tempat kedua-dua tonggak utama ini jika mereka terpaksa diketepikan dalam beberapa perlawanan selepas ini. Kecederaan Vidic dikatakan menjadi salah satu penyumbang kepada kegagalan United memenangi kejuaraan liga musim lalu dan diharapkan situasi sama tidak berulang lagi musim ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan