16 Januari 2013

PREVIEW PIALA FA: MANCHESTER UNITED lwn WEST HAM UNITED



Manchester United dan West Ham akan bertemu sekali lagi bagi merebut slot ke pusingan keempat Piala FA. Selepas terikat 2-2 di Boleyn Ground 6 Januari lalu, kedua-dua pasukan terpaksa melakukan perhitungan semula dengan giliran United pula menjadi tuan rumah. Ketika West Ham sudah berkira-kira menyingkirkan United pada perlawanan pertama, impian mereka dimusnahkan Robin Van Persie menerusi gol di penghujung permainan selepas penjaring terbanyak Liga Perdana itu memanfaatkan umpanan jauh Ryan Giggs. United tampak sedia meneruskan momentum kemenangan dalam perlawanan ini selepas kejayaan mereka menewaskan Liverpool, Ahad lalu sekaligus kemenangan kelima berturut-turut skuad Sir Alex Ferguson dalam aksi liga. Mengambilkira prestasi terkini United, tugas Hammers untuk layak ke pusingan keempat tampak sukar apatah lagi dengan kehadiran semula Wayne Rooney yang baru pulih dari kecederaan. Rooney bakal merasai aksi pertamanya sejak kali terakhir bermain ketika United seri 1-1 dengan Swansea City, 23 Disember lalu selepas mengalami kecederaan ketika sesi latihan. Anderson dan Nani dijangka bakal diturunkan dalam perlawanan ini selepas masing-masing disahkan cergas sepenuhnya tetapi Ashley Young dan Nemanja Vidic yang dikeluarkan ketika pertemuan menentang Liverpool tempohari akan terlepas aksi ini. Menurut Sir Alex, Vidic dan Young juga tidak akan di bawa ke White Hart Lane untuk aksi liga menentang Tottenham Horspurs pada perlawanan hujung minggu tetapi mungkin bersedia ketika berdepan Southampton di gelanggang sendiri hujung bulan ini.

Anderson yang berada di bangku simpanan ketika kunjungan Liverpool tempohari mungkin menggantikan sama ada Michael Carrick atau Tom Cleverley di bahagian tengah. Javier Hernandez pula yang tidak berada dalam senarai kesebelasan utama ketika berdepan Liverpool bakal memperolehi semula tempatnya untuk digandingkan bersama-sama Rooney di barisan hadapan. Kunjungan West Ham ke Old Trafford buat kali kedua musim ini diselubungi dengan masalah kecederaan yang melanda skuad mereka. Nasib George McCartney, Mark Noble, Joey O’Brien dan James Collins masih belum dapat dipastikan akibat masalah kecederaan tetapi Mohamed Diame dan Andy Caroll besar kemungkinan boleh beraksi semula. Prestasi West Ham dalam saingan liga juga kurang konsisten selepas sekadar mengutip empat mata dari enam perlawanan. Jika mahu melakar kejutan di Old Trafford nanti, Sam Allardyce perlu segera memantapkan dan menaikkan semula moral skuadnya selepas mereka tewas 0-3 kepada Sunderland dalam saingan liga hujung minggu lalu. Joe Cole bakal sekali lagi menjadi sandaran Allardyce menjana bahagian tengah dan kelibat pemain pinjaman, Marouane Chamakh juga perlu diberikan perhatian jika dia diturunkan. Chamakh memang diakui gagal ketika bersama Arsenal tetapi berada di kelab baru dengan permulaan baru bakal menyuntik semula semangat pemain itu untuk mencari jalan melepasi benteng pertahanan lawan dan menjaringkan gol. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Barisan Kemungkinan United:

Anders Lindegaard, Alexander Buttner, Chris Smalling, Phil Jones, Rafael da Silva, Anderson, Shinji Kagawa, Nani,  Antonio Valencia, Wayne Rooney & Javier Hernandez

Barisan Kemungkinan West Ham:

Jussi Jaaskelainen, Winston Reid, Guy Demel, James Tomkins, Jordan Spence, Kevin Nolan, Matt Jarvis, Alou Diarra, Jack Collison, Joe Cole & Carlton Cole

Tiada ulasan:

Catat Ulasan