Robin Van Persie tidak syak lagi pemain
Manchester United yang paling menjadi tumpuan ketika ini. Meskipun ini adalah
musim pertamanya di Old Trafford, bekas kapten Arsenal itu sudah menjaringkan
20 gol dalam semua kejohanan setakat ini, dengan yang terbaharu ketika menyelamatkan
United dari tersingkir dari saingan Piala FA menerusi gol penyamaan lewat
permainan di Boleyn Ground. Ketika Van Persie terus mencuri tumpuan sejak
beberapa bulan kebelakangan ini, Michael Carrick secara diam-diam memainkan
peranannya dengan aksi konsisten di bahagian tengah United. Carrick memang
tidak boleh dinafikan merupakan pemain penting di sebalik pencapaian United
setakat ini biarpun kurang diberikan tumpuan. Pemain tengah ini dibawa Sir Alex
Ferguson dari White Hart Lane pada 2006 selepas United kemarau kejuaraan liga
selama tiga musim. Selepas ketibaan Carrick, United menang kejuaraan liga tiga
musim berturut-turut (2007 hingga 2009) dan sepanjang karier pemain itu di Old
Trafford beliau sudah memenangi empat pingat kejuaraan Liga Perdana, serta
membantu United layak ke final Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali dalam tempoh
enam musim. Carrick mungkin tidak pernah dianggap sebagai pemain bintang dalam
skuad United sejak kehadirannya pada 2006, tetapi beliau adalah antara pemain
paling konsisten dalam skuad The Red
Devils. Kemampuannya merampas bola dari kawalan lawan, kreatif mengawal
permainan selain memiliki kepakaran melakukan hantaran-hantaran berkualiti menjadikan
beliau sebagai pemain penting dalam menjana jentera tengah United.
Bukan itu saja, ketika United mengalami
krisis kecederaan pemain pertahanan, Carrick akan digunakan Sir Alex untuk mengemudi
benteng tengah pasukan berikutan kualiti ketika bertahan yang dimilikinya.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Carrick bermain pada tahap terbaiknya. Statistik
permainan Carrick musim ini menunjukkan 88% umpanan-umpanan yang dilakukannya
tepat ke sasaran dan mencipta 25 peluang dari 20 perlawanan di mana empat
darinya berjaya menghasilkan gol. Walaupun ramai penyokong-penyokong United
berharap Sir Alex akan merekrut sekurang-kurangnya seorang pemain baru di
bahagian tengah Januari ini, bos United sebaliknya lebih selesa dengan
rangkaian pemain yang dimilikinya sekarang dengan Carrick menjadi tunjang di
bahagian tengah. Carrick mempunyai kepakaran membaca permainan dan berfungsi
sebagai pelindung kepada empat pemain pertahanan di belakangnya. Pada hari Ahad
nanti, Sir Alex berharap United akan menguasai bahagian tengah ketika berdepan
musuh tradisi mereka, Liverpool dengan Carrick diletakkan tanggungjawab menjadi
kunci utama pertempuran di posisi tersebut. Jika United boleh menganggu rentak
Liverpool dengan Carrick menjadi pemain yang diberikan tugas untuk mengekalkan
kawalan bola, maka misi Van Persie di barisan hadapan untuk memburu gol menjadi
semakin mudah. Glory Glory Mancheser United!!! – A.J
Artikel Berkaitan:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan