13 Januari 2013

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn LIVERPOOL



Rio Ferdinand sependapat dengan rakan sepasukannya Paul Scholes dalam mengatakan bahawa perlawanan menentang Liverpool adalah aksi yang ditunggu-tunggu setiap musim. Walaupun Manchester City muncul ancaman utama United dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga, tradisi permusuhan antara kedua-dua kelab (United dan Liverpool) mengatasi segalanya dan menjadi sebab utama mengapa perlawanan-perlawanan membabitkan dua seteru ini begitu ditunggu-tunggu setiap musim. “Saya berani mengatakan bahawa ini adalah perlawanan yang sangat dinantikan. Liverpool tidak berada dalam kelompok pencabar kejuaraan tetapi setiap kali pertembungan menentang mereka pastinya sengit disebabkan sejarah permusuhan yang panjang”, kata Ferdinand. United dan Liverpool adalah dua kelab paling berjaya dalam sejarah bolasepak England apabila masing-masing sudah mengumpul 37 kejuaraan liga dan lapan trofi Eropah. Beberapa nama hebat pernah mewakili kedua-dua kelab dan mereka kekal sebagai lagenda hingga ke hari ini. Pertembungan antara kedua-dua kelab juga tidak pernah sunyi dari sebarang kontroversi dan ketengangan membabitkan pemain dan penyokong. Musim lalu Luis Suarez digantung lapan perlawanan kerana kata-kata berbau perkaumannya terhadap Patrice Evra disusuli insiden enggan berjabat tangan ketika pertemuan di Old Trafford. September lalu, Jonjo Shelvy dilayangkan kad merah kerana terjahan kerasnya ke atas Jonny Evans di Anfield hingga menyebabkan The Reds terpaksa akur tewas 1-2 di tangan United. Menjelang perlawanan esok, United menerima khabar gembira apabila Nani dan Anderson diberitakan cergas sepenuhnya selepas berdepan masalah hamstring. Sir Alex mengesahkan Wayne Rooney tidak akan diturunkan dalam perlawanan ini walaupun penyerang itu sudah kembali menjalani latihan. Kelibat Rooney hanya akan digunakan Sir Alex ketika melayani kunjungan West Ham dalam perlawanan ulangan pusingan ketiga Piala FA, Khamis ini.

Selepas mempamerkan persembahan baik ketika menentang West Ham minggu lalu, gandingan Robin Van Persie dan Javier Hernandez bakal digunakan Sir Alex sekali lagi dalam perlawanan esok. Perdebatan di kem Liverpool adalah tentang debut pertama Daniel Sturridge dalam aksi liga untuk kelab barunya selepas berpindah dari Stamford Bridge minggu lepas. Penyerang berusia 23 tahun itu menjaringkan gol pertamanya untuk Liverpool dalam saingan Piala FA menentang Mansfield Town, dan jika diambil kira aksinya Ahad lalu besar kemungkinan Sturridge adakan disenaraikan dalam kesebelasan utama oleh Brendan Rodgers. Fabio Borini juga disahkan kembali semula ke pangkuan skuad selepas diketepikan sejak Oktober lalu manakala Steven Gerrard, Glenn Johnson dan Pepe Reina yang tidak disenaraikan ketika berdepan Mansfield akan kembali memperkuatkan pasukan. Hanya Jose Henrique dipastikan tidak berada dalam senarai kerana masalah hamstring dan Andre Wisdom pula dijangka memperkuatkan barisan belakang pelawat bersama-sama Martin Skrtel, Daniel Agger dan Glenn Johnson. Sebanyak 14 kad merah sudah dilayangkan kepada pemain kedua-dua pasukan dalam sejarah pertembungan mereka sejak era Liga Perdana diperkenalkan pada tahun 1992. Fakta ini sebenarnya tidak mengejutkan memandangkan persaingan antara dua musuh tradisi ini mencapai kemuncaknya pada pertengahan 90an. Permainan esok dijangka sangat terbuka dan dengan prestasi terkini yang dipamerkan United, peluang menewaskan Liverpool buat kali kedua musim ini cukup besar. Perlawanan ini juga bakal menyaksikan pertembungan Van Persie dan Suarez, dua penggempur berbisa dalam saingan liga ketika ini yang masing-masing berada pada prestasi terbaik mereka. Anugerah pemain terbaik bulanan yang diterima Van Persie diharap menjadi suntikan moral tambahan buat penggempur United itu untuk terus merobek gawang lawan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Rekod Pertemuan United – Liverpool:

Jumlah Perlawanan: 158
Menang: 61 – 53
Seri: 44 – 44
Kalah: 53 – 61

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Rafael da Silva, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Patrice Evra, Michael Carrick, Tom Cleverley, Antonio Valencia, Ashley Young, Javier Hernandez & Robin Van Persie

Barisan Kemungkinan Liverpool:

Pepe Reina, Glenn Johnson, Daniel Agger, Martin Skrtel, Andre Wisdom, Steven Gerrard, Stewart Downing, Lucas Leiva, Jordan Henderson, Luis Suarez & Daniel Sturridge.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan