Manchester United menewaskan seteru tradisi
mereka, Liverpool buat kali kedua musim selepas jaringan Robin Van Persie dan
Nemanja Vidic memastikan pendahulu Liga Perdana itu meraih tiga mata penuh di
gelanggang sendiri. Biarpun Daniel Sturridge berjaya merapatkan kedudukan
tetapi The Reds tetap gagal
menghalang United dari merakam kemenangan keempat berturut-turut mereka dalam saingan
liga. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, United turun tanpa kelibat Wayne
Rooney, dan Sir Alex Ferguson meletakkan gandingan Danny Welbeck serta Van
Persie di barisan hadapan. Pertembungan dua seteru tradisi ini di Old Trafford
juga menjadi pentas pertarungan peribadi antara Van Persie dan Luis Suarez
untuk membuktikan siapa di antara mereka lebih tajam ketika di hadapan gawang
lawan. Ketika Suarez bergelut untuk cuba melepasi kekangan Rio Ferdinand dan
Nemanja Vidic, Van Persie sebaliknya berjaya menjaringkan gol pembukaan di
minit ke-19 apabila melepasi kawalan Daniel Agger untuk merembat masuk bola
hantaran Patrice Evra dari sebelah kiri. Ferdinand dan Vidic beraksi bersama
buat pertama kali mengepalai benteng pertahanan United sejak September lalu mempamerkan
aksi mantap apabila berjaya membatasi gerakan-gerakan pelawat dari mencipta
peluang terbaik untuk menghasilkan gol. David de Gea kelihatan tidak langsung
diuji jentera serangan Liverpool sepanjang tempoh 45 minit pertama permainan.
United sebaliknya memperolehi beberapa peluang terbaik terutamanya menerusi
kuisan tumit Van Persie yang berjaya di hadang Martin Skrtel dan percubaan Tom
Cleverley yang sedikit tersasar. Danny Welbeck juga sepatutnya boleh mencipta
nama sebagai penjaring gol tetapi kegopohan penyerang muda itu menyaksikan dia
terlepas beberapa peluang keemasan di depan gawang lawan.
Brendan Rodgers melakukan pertukaran di babak
kedua apabila mengeluarkan Lucas Leiva dan memasukkan penyerang yang baru di
tandatanganinya, Daniel Sturridge. United bagaiamanapun berjaya mengukuhkan
cengkaman mereka apabila Vidic menjaringkan gol kedua buat United di minit
ke-54. Meskipun pada awalnya kelihatan seperti Patrice Evra yang berjaya menewaskan
Pepe Reina namun ulang tayang menunjukkan tandukan bek kiri United itu hasil
sepakan percuma Van Persie terkena kepala Vidic sebelum menerjah gawang. Tiga
minit selepas bolos buat kali kedua, Sturridge mula memperlihatkan kehadirannya
mendatangkan kesan kepada barisan hadapan pelawat. Bekas penyerang Chelsea itu mudah
menolak bola masuk selepas bola rembatan Steven Gerrard yang berjaya ditepis De
Gea melantun ke arahnya. Gol itu nyata menyuntik semangat barisan pelawat untuk
mencari gol penyamaan menerusi gerakan-gerakan yang lebih tersusun diatur
mereka. Berbeza dengan situasi di babak
pertama, benteng pertahanan United terpaksa bekerja keras mengekang
asakan-asakan lawan terutamanya menerusi gerakan-gerakan dari Suarez, Sturridge
dan Gerrard. Untuk menambah sengat di barisan hadapan pasukannya, Rodgers memasukkan
Fabio Borrini yang tampil buat pertama kali dalam tempoh empat bulan selepas pulih
dari kecederaan. Usaha pelawat untuk mencari gol penyamaan di penghujung
permainan tidak berhasil apabila Howard Webb meniup wisel penamat selepas
memberikan tambahan masa empat minit. Kemenangan ini juga adalah yang kelapan
berturut-turut buat United di gelanggang sendiri sekaligus menyaksikan mereka
kukuh di tangga teratas liga dengan kelebihan sepuluh mata (tidak mengambilkira
perlawanan Arsenal dan Manchester City). Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Statistik Perlawanan United – Liverpool:
Gol: 2 – 1
Sepakan Sudut: 3 – 1
Percubaan Tepat: 10 – 5
Percubaan Tersasar: 5 – 7
Kekasaran: 14 – 16
Offside: 2 – 1
Kad Kuning: 1 – 4
Kad Merah: -
Penguasaan Bola: 54% - 46%
Tiada ulasan:
Catat Ulasan