Manchester United adalah pasukan pilihan yang
perlu dikalahkan dalam saingan domestik selepas mereka menduduki tangga teratas
liga dengan kelebihan tujuh mata. Walau bagaimanapun ketika bersaing di
peringkat Eropah, United mendapati mereka tidak menikmati status yang sama,
malah adakalanya sering diletakkan sebagai pasukan underdog berbanding kelab-kelab besar Eropah yang lain. Saingan
pusingan kalah mati Liga Juara-Juara akan bermula pertengahan bulan hadapan
dengan United dilihat berdepan kesukaran apabila diundi bertemu juara sembilan
kali, Real Madrid. United akan berkunjung ke Santiago Bernabeu pada 14 Februari
bagi menghadapi perlawanan pertama, manakala perlawanan kedua pula akan berlangsung
di Old Trafford, dua minggu kemudian. Sir Alex Ferguson sudah pasti tahu betapa
pentingnya untuk menjaringkan gol di Bernabeu sebagai bekalan gol di tempat
lawan yang akan dibawa ke Old Trafford nanti. Jika tidak berjaya menjaringkan
sebarang gol di gelanggang lawan sekalipun, United perlu mengelak dari dibolosi
jika tidak mahu berdepan kesukaran pada perlawanan kedua nanti. Untuk itu Sir
Alex perlu memikirkan strategi sesuai bagi memerangkap Real di hadapan
penyokong mereka sendiri dan kemudiannya menyudahkan tugas mereka pada
perlawanan kedua di Old Trafford. Jose Mourinho boleh berbangga dengan kekuatan
barisan hadapan pasukannya yang diperkuatkan Gonzalo Higuain, Cristiano Ronaldo
dan Karim Benzema yang sudahpun menjaringkan 45 gol dalam saingan La Liga
setakat ini. Selepas melihat aksi kurang konsisten barisan pertahanan United
musim ini, The Special One sudah
tentu memasang impian yang trio penggempurnya itu mampu merobek kubu United.
Bagaimanapun sebelum memasang impian lebih
tinggi, Mourinho perlu melihat prestasi skuad kendaliannya yang kini ketinggalan
16 mata di belakang pendahulu Barcelona dan lima mata di belakang seteru setempat,
Atletico Madrid. Penampilan buruk Real dalam saingan liga musim ini menyebabkan
ramai pemerhati berpendapat, ini adalah musim terakhir Mourinho di Santiago
Bernabeu. Aksi mereka dalam saingan Liga Juara-Juara juga agak kurang
menyakinkan apabila sekadar berada di tangga kedua Kumpulan D di belakang juara
Jerman, Borussia Dortmund. United boleh mengambil sedikit petunjuk dari
Dortmund yang berjaya mengikat Real 2-2 ketika mereka bertandang ke Santiago
Bernabeu dan menewaskan barisan Mourinho di Signal Iduna Park. Dortmund
membuktikan bahawa barisan bintang Real di bawah kendalian Mourinho bukanlah
skuad yang terlalu bagus dan boleh dikalahkan. Penyokong, pemain dan Sir Alex
sendiri sudah tentu melihat penampilan buruk Real musim ini sebagai kelemahan
lawan yang perlu dipergunakan sepenuhnya untuk menyingkirkan mereka di pusingan
kedua nanti. Masih ada tempoh lebih sebulan sebelum Sir Alex membawa pasukannya
ke Sepanyol dan dalam tempoh itu, beliau mempunyai masa yang cukup untuk
memantapkan pasukan dan membaiki kelemahan yang ada terutamanya di barisan
belakang. Jika berhajat mahu menjejakkan kaki sekali lagi ke Wembley selepas
melakukannya pada final edisi 2011, United perlu memulakan langkah mereka ketika
berdepan Real dan menggunakan sepenuhnya tempoh 180 minit untuk menyingkirkan
juara sembilan kali itu. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan