Manchester United kembali mengukuhkan
kedudukan mereka di tangga teratas liga selepas mencatat kemenangan ke atas
Southampton pada perlawanan ke-24 liga di Old Trafford awal pagi tadi. United
dikejutkan menerusi gol awal pelawat hasil jaringan Jay Rodriguez diminit ke-3
yang mengambil kesempatan dari kesilapan hantaran ke belakang Michael Carrick
untuk menewaskan David de Gea. Walau bagaimanapun dua gol dari Wayne Rooney
diminit ke-9 dan 27 memastikan United meraih tiga mata penuh di gelanggang
sendiri sekaligus kembali mengukuhkan cengkaman di takhta liga. Meskipun tidak
pernah menang di Old Trafford hampir 25 tahun, Southampton sebaliknya tampil
lebih menyakinkan terutamanya sepanjang babak kedua perlawanan. Memang diakui
United pasukan yang lebih unggul di babak pertama apabila menguasai sebahagian
besar perlawanan tetapi anehnya persembahan The
Red Devils agak lesu di babak kedua hingga membenarkan pelawat menguasai
perlawanan dan melancarkan asakan-asakan berbahaya ke kubu mereka. Langkah Mauricio
Pochettino memasukkan kapten pasukan, Adam Lallana di babak kedua berjaya
mengubah tempo permainan The Saints.
Lallana yang tidak bermain hampir dua bulan kerana kecederaan ligamen lutut
memainkan peranan penting dalam melakukan gerakan-gerakan pelawat.
Rickie Lambert hampir menyamakan kedudukan di
pertengahan babak kedua, namun sepakan percumanya yang hampir menerjah gawang
bejaya di tepis De Gea. Menyedari pelawat semakin meningkatkan tekanan, Sir
Alex Ferguson melakukan pertukaran dengan mengeluarkan Chris Smalling (minit
ke-63) dan memasukkan pertahanan berpengalaman, Rio Ferdinand bagi memantapkan
benteng pertahanan. Impian Robin Van Persie untuk menyamai rekod Cristiano
Ronaldo yang berjaya menjaringkan gol dalam enam perlawanan berturut-turut
dinafikan Artur Boruc apabila penjaga gol Poland itu bertindak hebat menepis
bola tandukan Van Persie di atas garisan gol di minit ke-73. Selepas itu Van
Persie sekali lagi hampa apabila jaringannya dibatalkan selepas dia dikesan
penjaga garisan sudah berada di posisi offside.
Selepas berdepan tekanan hebat terutamanya di penghujung permainan, United
akhirnya berjaya mengekalkan kedudukan dan meraih tiga mata berharga dari
perlawanan ini untuk kembali menjarakkan kedudukan di tangga teratas kepada
tujuh mata. Dua gol jaringan Rooney ke gawang Southampton dalam perlawanan ini
menyaksikan penyerang England itu berjaya menjaringkan sembilan gol dari
sembilan pertemuannya menentang The
Saints. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Statistik Perlawanan United-Southampton:
Penguasaan Bola: 44% - 56%
Percubaan Tepat: 5 – 4
Percubaan Tersasar: 11 – 18
Sepakan Sudut: 4 – 8
Offside: 3 – 1
Kekasaran: 10 – 11
Kad Kuning: 2 – 1
Kad Merah: 0 – 0
Tiada ulasan:
Catat Ulasan