UNITED
MAHU SELESAIKAN PERPINDAHAN ZAHA DALAM TEMPOH 24 JAM
Manchester United akan mengadakan
perbincangan lebih lanjut dengan Crystal Palace berhubung perpindahan pemain
sayap mereka, Wilfried Zaha ke Old Trafford. Ketika pemain-pemainnya berada di
Qatar untuk kem latihan singkat, Sir Alex pula diberitakan melibatkan diri
dalam penawaran untuk mendapatkan pemain muda itu. United dikatakan akan membayar
sehingga £ 12 juta dan sedia memenuhi syarat yang ditetapkan pihak pengurusan
Palace untuk terus membenarkan Zaha beraksi bersama pasukan itu dalam saingan
Liga Kejuaraan hingga penghujung musim ini. Zaha muncul pemain muda paling
diburu Sir Alex sebaik pasaran perpindahan pemain musim sejuk dibuka, sudah
menjaringkan 15 gol dari 124 penampilan untuk Eagles sejak melakukan debut
menentang Cardiff City pada Mac 2010. Dia yang dinamakan sebagai Pemain Muda Terbaik
Liga Kejuaraan musim lalu turut menarik minat dua kelab dari London iaitu
Arsenal dan Tottenham Hotspurs.
KIKO
MACHEDA MAHU BERAKSI DI SEPANYOL
Penyerang Manchester United, Federico Macheda
tampak sudah pasti akan meninggalkan Old Trafford pada baki saingan musim ini
untuk menyertai kelab yang bermain di Segunda Division (liga bahagian dua
Sepanyol), Elche. Presiden kelab, Jose Sepulchre mengatakan bahawa kelabnya dan
United pada dasarnya sudah bersetuju untuk membenarkan pemain itu menyertai
Elche secara pinjaman. Macheda yang turut dikaitkan akan menyertai kelab
Bundesliga, Stuttgart tampak lebih berminat menuju ke Sepanyol selepas berdepan
laluan sukar menempatkan dirinya dalam skuad utama United. Ketika ini Macheda
berada di ranking kelima dalam senarai penyerang-penyerang United di belakang
Robin Van Persie, Wayne Rooney, Javier Hernandez dan Danny Welbeck. Sir Alex
Ferguson nampaknya masih percaya terdapat potensi besar dalam diri Macheda
apabila beliau memilih untuk meminjamkan pemain itu berbanding menjualnya ke
pasukan lain. Selepas mencipta impak ketika menjaringkan gol kemenangan ke atas
Aston Villa pada tahun 2009, Macheda kemudiannya gagal mengekalkan prestasi
terbaiknya hingga menyebabkan dia menghabiskan tempoh lebih dua tahun sebagai
pemain pinjaman di Sampdoria dan Queens Park Rangers. Walaupun perjanjian masih
belum dimuktamadkan, Elche muncul kelab di kedudukan teratas untuk
menandatangani penyerang itu.
UNITED
BERMINAT DAPATKAN VALDES
Manchester United diberitakan sedang
mempertimbangkan langkah untuk mendapatkan penjaga gol Barcelona, Victor Valdes
musim panas ini. Laporan dari Times
menyebut bahawa Sir Alex Ferguson meletakkan Valdes sebagai sasarannya selepas
pemain itu mengumumkan tidak akan menandatangani kontrak baru bersama Barca.
Valdes yang memikul tugas sebagai penjaga gol nombor satu Barca sejak 2003
hampir pasti meninggalkan Nou Camp dengan kelab Catalan itu meletakkan
tandaharga sekitar £ 15 juta kepada mana-mana kelab yang berminat
mendapatkan khidmatnya. Spekulasi tentang minat Sir Alex terhadap Valdes
berkait rapat dengan rakan Sepanyolnya di Old Trafford, David de Gea. De Gea
sejak beberapa minggu lalu sering dikaitkan dengan minat dari dua gergasi
Sepanyol iaitu Real Madrid dan Barca sendiri. Barca melihat De Gea sebagai
pengganti paling sesuai buat Valdes manakala Madrid pula meletakkan penjaga gol
muda itu sebagai pengganti jangka panjang buat Iker Casillas.
MARTINEZ: HENRIQUEZ
BAKAL MAINKAN PERANAN PENTING UNTUK KAMI
Pengurus Wigan Athletic, Roberto Martinez
percaya pemain muda Manchester United Angelo Henriquez yang menyertai
pasukannya sebagai pemain pinjaman memiliki semua ciri penting sebagai
penjaring gol tulen. Henriquez mengikut
jejak langkah Tom Cleverley yang pernah bergabung dengan The Latics sebagai pemain pinjaman sebelum pulang semula ke Old
Trafford. Bekas pemain Universidad de Chile itu menjaringkan gol pada
penampilan pertamanya untuk Wigan sebelum tewas 2-3 kepada Sunderland hujung
minggu lalu. “Angelo memiliki ciri-ciri sebagai penjaring gol tulen. Gerakan
yang dilakukannya sangat fantastik dan dia memiliki bakat serta berada di
tempat yang tepat untuk mengembangkan kariernya. Gol pada penampilan pertamanya
di Liga Perdana sangat penting untuk meningkatkan tahap keyakinan dirinya”,
kata Martinez. Dengan ketiadaan Arouna Kone yang terlibat dengan aksi di kejohanan
Piala Negara-Negara Afrika, kehadiran Henriquez diharapkan dapat mengisi
kekosongan yang ditinggalkan penyerang antarabangsa Ivory Coast itu selain membantu
Wigan keluar dari zon penyingkiran. “Dia merupakan seorang pemain muda tetapi
corak permainannya cukup matang. Saya yakin dia akan menjadi pemain penting
buat kami mulai sekarang hingga akhir musim nanti”, tambah Martinez lagi. - A.J
GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan