26 Januari 2013

UNITED...SEPANJANG 24 JAM YANG LALU


LAGENDA PUJI BARISAN PENGGEMPUR UNITED

Lagenda Manchester United, Andy Cole memuji penampilan barisan penggempurThe Red Devils musim ini. Melihat kepada prestasi yang ditunjukkan Robin Van Persie, Wayne Rooney, Javier Hernandez dan Danny Welbeck mengingatkan Cole pada kuartet penyerang United yang pernah dibarisinya paa tahun 1999. Gandingan Cole, Dwight Yorke, Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer berjaya membantu United menang kejuaraan treble pada 1999, pencapaian yang masih gagal di saingi mana-mana kelab di England hingga ke saat ini. “Robin melakukan tugasnya dengan cemerlang manakala Wayne, Chicha dan Welbeck seolah-olah tiga pemain yang pernah bermain bersama-sama saya. Tentu saja anda hanya akan dapat menilai pencapaian mereka sebaik musim berakhir tetapi skuad United yang ada sekarang sangat istimewa. Pemain United dari skuad 1999 juga sangat istimewa”, kata Cole kepada Tribalfootball. Melihat kepada barisan yang dimiliki Sir Alex Ferguson ketika ini, ramai penyokong-penyokong United berharap mereka mampu mengulangi pencapaian gemilang skuad 1999 yang berjaya meraih kejuaraan treble hampir 14 tahun yang lalu.

PENGKRITIK DE GEA BODOH

Sir Alex Ferguson melabelkan pengkritik penjaga golnya, David de Gea sebagai bodoh. De Gea memang diakui menerima banyak kritikan berikutan aksi kurang konsisten sejak menyertai United dari Atletico Madrid pada 2011. De Gea sekali lagi menjadi tumpuan apabila ramai pihak mengatakan dia sepatutnya dipersalahkan atas gol penyamaan Clint Dempsey pada pertemuan menentang Tottenham Hotspurs hujung minggu lalu. Mengulas tentang hal itu, Sir Alex mengatakan, “Saya tidak punya apa-apa untuk diperkatakan tentang De Gea. Anda (wartawan) sebenarnya terlalu banyak mendengar pendapat orang-orang bodoh dalam bolasepak”. Salah seorang yang lantang mengkritik De Gea ialah bekas bek Manchester United, Gary Neville yang kini menjadi pengulas dan penolong Roy Hodgson dalam skuad kebangsaan. Bekas kapten United itu mengatakan The Red Devils terpaksa membayar harga yang mahal selepas De Gea gagal menepis bola dengan sempurna hingga membolehkan Aaron Lennon melakukan hantaran untuk disudahkan oleh Dempsey. Walau bagaimanapun untuk berlaku adil, sebelum kesilapan minit akhir itu dilakukan, De Gea bertindak cemerlang menyelamatkan sekurang-kurangnya tujuh percubaan bahaya Spurs terutamanya menerusi Gareth Bale, Dempsey dan Lennon.

KIKO MACHEDA SERTAI STUTTGART

Bukan Sepanyol, tetapi sebaliknya Federico Macheda menyertai kelab Bundesliga Vfb Stuttgart sebagai pemain pinjaman. Meskipun pada awalnya dikatakan hampir pasti menyertai Elche, kelab yang beraksi dalam saingan Segunda Liga (liga divisyen dua Sepanyol), Macheda akhirnya memilih Jerman sebagai destinasi untuk menyelamatkan kariernya bersama United. Sejak menjaringkan gol kemenangan ke atas Aston Villa pada usia 17 tahun, di mana gol tersebut turut membantu United meraih kejuaraan Liga Perdana pada 2009, Macheda gagal menyinar dan menghabiskan tempoh selama dua tahun dengan menyertai Sampdoria dan QPR sebagai pemain pinjaman. Tidak seperti Tom Cleverley, Jonny Evans dan Danny Welbeck yang pulang semula ke Old Trafford sebagai pemain yang lebih bagus selepas menamatkan tempoh pinjaman bersama kelab lain, Macheda sebaliknya masih gagal meningkatkan prestasinya. Kini Stuttgart diharapkan mampu membawa sinar buat karier Macheda yang pada satu ketika pernah dilabel sebagai bintang dalam pembikinan. Bercakap selepas menyertai kelab barunya, Macheda berkata, “Saya mengikuti perkembangan Bundesliga dan tentu saja saya tahu tentang Stuttgart. Saya gembira bermain untuk mereka dan akan cuba menyesuaikan diri secepat mungkin dengan rakan-rakan sepasukan”.

KEJUTAN ZAHA UNTUK UNITED

Pengendali Bolton Wanderers, Dougie Freedman yakin Wilfired Zaha akan memberikan banyak kejutan buat Manchester United. Bekas pengendali Crystal Palace itu yakin, Zaha akan cepat berkembang di Old Trafford dan bakal memberikan impak kepada The Red Devils. “Saya mengenalinya sejak dia berusia 12 tahun. Dia menggunakan sepenuhnya bakat yang ada pada dirinya ketika bersama Palace dan akan melakukan perkara yang sama untuk Manchester United. Saya yakin anak muda ini akan mengejutkan ramai pihak. Dia bekerja keras, berdedikasi dan akan menunjukkan kepada United bahawa dia adalah salah seorang pemain yang hebat. Wilfired adalah seorang anak muda yang fantastis”, kata Freedman. Sementara itu Zaha gembira spekulasi tentang masa depannya bersama Crystal Palace berjaya diselesaikan apabila bintang muda itu hampir pasti menyertai Manchester United selewat-lewatnya hujung minggu ini. “Saya gembira dapat menyertai Manchester United dan menamatkan sebarang spekulasi tentang masa depan saya bersama Crystal Palace. Saya ingin berterima kasih kepada pemilik kelab dan mahu menghabiskan tempoh lima bulan dengan membantu mereka berasi semula di Liga Perdana musim depan”, kata Zaha.

ZOUMA JADI SASARAN TERBARU

Selepas berjaya mendapatkan khidmat bintang muda England, Wilfired Zaha, Manchester United kini dikatakan mengalihkan perhatian mereka kepada pertahanan muda Saint Etienne, Kurt Zouma pula. Menurut laporan media di England, Sir Alex Ferguson mensasarkan Zouma sebagai pengganti jangka panjang kepada Nemanja Vidic. Bintang muda berusia 18 tahun itu dilabelkan sebagai `Marcel Desailly Baru’ dan diiktiraf sebagai pemain pertahanan muda terbaik di Perancis ketika ini. Zouma baru-baru ini sudahpun ditawarkan lanjutan kontrak oleh St Etienne dalam usaha kelab itu mengekalkan bintang mudanya. Jika United benar-benar mahu mendapatkan khidmatnya, mereka dikatakan perlu membayar sekurang-kurangnya hingga  £ 8 juta kepada kelab Ligue 1 itu. United bagaimanapun bukan kelab tunggal yang memburu khidmat Zouma kerana Arsene Wenger turut berminat membawa pemain itu beraksi di England. Dengan Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic yang semakin berusia, Sir Alex melihat Zouma sebagai prospek masa depan pertahanan tengah pasukannya. – A.J


Tiada ulasan:

Catat Ulasan