23 Januari 2013

UNITED...SEPANJANG 24 JAM YANG LALU


GARAY PENGGANTI FERDINAND?

Akhbar harian Sepanyol, Marca dalam laporannya mengatakan bahawa Manchester United sedang mendekati pertahanan Benfica, Ezequiel Garay. Prestasi yang dipamerkan Garay bersama Benfica nyata menarik minat Sir Alex Ferguson untuk mendapatkan khidmatnya dan bos United itu yakin pertahanan antarabangsa Argentina itu mampu menggantikan tempat Rio Ferdinand. Ferdinand yang kontraknya akan berakhir musim panas ini diyakini ramai pihak akan meninggalkan Old Trafford dengan kemungkinan kembali semula ke West Ham iaitu kelab yang pernah disertai ketika zaman remajanya, Sir Alex berharap dapat menandatangani Garay ketika jendela perpindahan musim panas dibuka dan sedia membuat tawaran sekitar €15 juta untuk membawa pertahanan itu ke Old Trafford. Garay, 26 berjaya menyemarakan semula kariernya di Estadio da Luz selepas melalui tempoh mengecewakan ketika bersama-sama Real Madrid dan membuktikan dirinya sebagai salah seorang pertahanan tengah terbaik di Eropah ketika ini. Memiliki pengalaman luas dan dilihat mampu beraksi di peringkat tertinggi untuk tempoh sekurang-kurangnya lima atau enam tahun lagi, Garay bakal menjadi pembelian terbaik United musim panas nanti.

CLEVERLEY MAHU JULANG PIALA FA

Pemain tengah Manchester United, Tom Cleverley berharap dia dapat menjulang Piala FA musim ini. Walau bagaimanapun, Cleverley dan United perlu melepasi cabaran Fulham di pusingan keempat, Ahad ini sebelum memasang impian mara lebih jauh. Sejak 2004, United sudah menjulang empat kejuaraan Liga Perdana tetapi ketandusan trofi kejohanan kalah mati tertua di dunia itu yang kali terakhir mereka menangi lapan tahun lalu. Pendekatan Sir Alex Ferguson ketika menghadapi saingan Piala FA musim ini juga berbeza jika dibandingkan dengan musim-musim sebelumnya. Sir Alex baru-baru ini bercakap tentang bagaimana beliau mahu melihat pemain-pemainnya mara ke Wembley dan menjulang trofi itu (Piala FA) di sana. Bercakap di laman sesawang rasmi United, Cleverley berkata, “Pastinya saya mahu memenangi trofi itu musim ini. Terdapat beberapa pemain dalam skuad yang masih belum memenangi apa-apa kejuaraan lagi termasuk diri saya sendiri. Jadi mana-mana kejohanan yang melibatkan kami, saya mahu memenanginya”.

 BELAJAR DARI UNITED

Kapten Liverpool, Steven Gerrard mengakui dia gembira dengan prestasi terkini yang dipamerkan pasukannya namun menegaskan mereka masih perlu belajar sesuatu dari Manchester United. Gerrard terpaksa menelan kepahitan apabila tewas sebanyak dua kali kepada United dalam saingan liga musim ini. September lalu, United menewaskan The Reds 2-1 di Anfield dan mengulangi keputusan yang sama pada perlawanan kedua di Old Trafford. “Saya gembira dengan falsafah permainan pengurus baru (Brendan Rodgers). Saya juga gembira dengan gaya permainan yang diterapkannya. Perlu diakui jarak antara kami dan Manchester United sangat besar tetapi saya yakin pada hari terbaik kami, kami mampu mengalahkan mana-mana pasukan. Yang perlu kami titik beratkan ialah konsistensi dan kami perlu belajar dari Manchester United tentang hal itu. Adakalanya mereka tidak bermain baik tetapi masih mampu mencari cara untuk memenangi perlawanan. Berbeza dengan kami, ketika kami bermain buruk, kami tidak menang jadi kami harus mencari cara memenangi perlawanan ketika kami tidak berada pada prestasi terbaik”, kata Gerrard.

UNITED DAN ARSENAL KEJAR JULIO CESAR?

Berita menarik dalam pasaran perpindahan pemain tiba-tiba muncul petang ini apabila Manchester United dan Arsenal diberitakan memburu khidmat penjaga gol Queens Park Rangers, Julio Cesar. Cesar bagaimanapun tidak akan menyertai mana-mana pasukan ketika pasaran perpindahan pemain akan ditutup dalam tempoh kira-kira sembilan hari lagi. United dan Arsenal sebaliknya diberitakan mahu mendapatkan khidmat penjaga gol Brazil itu musim panas nanti. Cesar dilihat United dan Arsenal sebagai penjaga gol penuh pengalaman untuk bermain di peringkat tertinggi dan layak menyertai mana-mana kelab utama Eropah. Seperti yang diketahui, Cesar merupakan antara penjaga gol terbaik yang pernah beraksi di Serie A ketika dia menyarung jersi Inter Milan dan berjaya membantu kelab itu menjulang kejuaraan liga sebanyak lima kali selain menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2010. Atas sebab itulah yang mendorong Sir Alex Ferguson dan Arsene Wenger menimbang kemungkinan memberikan tanggungjawab kepada pemain itu mengawal gawang pasukan masing-masing musim hadapan. Cesar meninggalkan Giuseppe Meazza selepas Inter tidak mampu menanggung beban gaji penjaga gol itu dan dia kemudiannya secara mengejut telah memilih berhijrah ke Loftus Road berbanding menyertai mana-mana kelab besar yang lain. Kini masalah yang menimpa Inter dirasai pula QPR selepas pihak pengurusan kelab itu mendapati mereka terpaksa menyingkirkan samada Cesar atau Robert Green bagi mengurangkan beban kos kewangan yang tinggi. – A.J

GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan