02 November 2012

2 NOVEMBER, GENAP 83 TAHUN PENAMPILAN PERTAMA BUSBY SEBAGAI PEMAIN


Hari ini genap 83 tahun pengurus lagenda Manchester United melakukan penampilan pertama sebagai pemain bolasepak pada usia 20 tahun. Busby bagaimanapun bukan menyarung jersi United tetapi sebaliknya jersi biru milik Manchester City. Busby memang dikenali sebagai pengurus yang berjaya mengemudi United menang pelbagai kejuaraan ketika zamannya. Bagaimanapun karier Busby sebagai pemain bermula dari sisi berbeza apabila beliau tidak pernah bermain untuk United tetapi sebaliknya menyertai City terlebih dahulu. Busby menandatangani kontrak bersama The Citizens pada Februari 1928 dan melakukan penampilan pertama pada 2 November 1929. Kontraknya bersama City ketika itu bernilai 5 Pound seminggu ditambah dengan klausa yang memberikannya hak untuk meninggalkan City selepas tempoh setahun. Busby hanya diberi peluang untuk tampil perlawanan pertamanya bersama City ketika menentang Middlesbrough di gelanggang lawan 83 tahun lalu, dimana City menang perlawanan itu dengan keputusan 3-1. Busby kekal sebagai pemain City selama lapan musim dan tampil sebanyak 229 perlawanan buat jiran United itu. Bagaimanapun Busby hanya memenangi satu trofi sepanjang kerjayanya sebagai pemain bersama City iaitu menang Piala FA pada tahun 1934. Busby kemudian memilih berpindah ke Liverpool pada 1936 dan dia menghabiskan empat musim di Anfield sebelum Perang Dunia Ke-2 menganggu perjalanan liga pada 1939. Busby memperolehi pengalaman baru apabila dia dilantik sebagai pengurus bolasepak buat pertama kalinya dengan mengendalikan pasukan tentera. Selepas perang berakhir, Busby kembali ke Liverpool dan bertugas sebagai jurulatih. United kemudiannya muncul dan menawarkan Busby mengisi jawatan sebagai pengurus. Tawaran itu diterima Busby dan beliau kemudiannya membawa The Red Devils menjulang kejuaraan liga sebanyak lima kali, dua kejuaraan Piala FA dan juga Piala Eropah (sekarang Liga Juara-Juara). Selepas membantu United menang gelaran Eropah pada 1968, Busby memutuskan bersara setahun selepas itu namun dia tetap kekal bersama United dengan memegang peranan sebagai pengarah. Atas kejayaannya membawa United menang trofi Eropah, beliau dianugerahkan pingat Knight Commander of St. Gregory yang membawa gelaran Sir pada 1972. Sir Matt Busby meninggal dunia kerana kanser pada Januari 1994 pada usia 84 tahun. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

Kejayaan Sir Matt Busby:

- Menjulang Piala FA pada 1934 sebagai pemain Manchester City.

- Membawa Manchester United muncul juara liga pada 1952, 1956, 1957, 1965 dan 1967.

- Membawa Manchester United muncul juara Piala FA pada 1948 dan 1963.

- Membawa Manchester United menang Piala Eropah pada 1968

- PFA Merit Award pada 1980

- English Football Hall of Fame pada 2002

- European Football Hall of Fame pada 2008

Tiada ulasan:

Catat Ulasan