10 November 2012

SPEKULASI PERPINDAHAN: UNITED TERUS DIKAITKAN DENGAN WANYAMA & ANDERSON SANGKAL AKAN SERTAI PORTO


Wanyama Tarik Minat United

Prestasi cemerlang yang dipamerkan bintang Glasgow Celtic dari Kenya, Victor Wanyama terus menjadi perhatian beberapa kelab terkemuka Eropah, termasuklah Manchester United. Wanyama muncul antara watak penting disebalik kemenangan yang dilakar Celtic ke atas Barcelona pada saingan Liga Juara-Juara, Khamis lalu. Wanyama menyumbat satu gol ke gawang Barca sekaligus melengkapkan pesta ulang tahun ke 124 Celtic tahun ini. Aksi cemerlangnya pada perlawanan Khamis lalu dikatakan menarik minat United untuk membawanya ke Old Trafford, Januari ini. United sebenarnya sudah lama dikaitkan dengan minat untuk mendapatkan Wanyama, malah spekulasi tentang perpindahan pemain itu ke Old Trafford sudah bertiup sejak Julai lalu. Selain United, sebuah lagi kelab England, Queens Park Rangers turut mengintai peluang membawa pemain itu beraksi di England, malah kelab itu dikatakan pernah membuat tawaran sebanyak 10 juta Pound ke atas Wanyama namun ditolak pihak pengurusan The Hoops. Nilai yang ditawarkan QPR dikatakan terlalu rendah jika dibandingkan dengan prestasi yang ditunjukkan Wanyama ketika ini. Untuk rekod, Celtic membawa pemain itu dari kelab Belgium, Germinal Beerschot dengan nilai perpindahan hanya 900,000 Pound pada 2011. Selepas melihatkan peningkatan yang dipamerkan Wanyama sejak kebelakangan ini, pengurus Celtic, Neil Lennon cuba menghalang kelab-kelab besar Eropah menghampiri pemain itu dengan meletakkan tanda harga sebanyak 25 juta Pound ke atasnya. Walau bagaimanapun United dikatakan memiliki pandangan berbeza tentang nilai pemain itu apabila hanya bersedia membayar sebanyak 12 juta Pound jika Celtic sedia menjual pemain berusia 21 tahun itu.

Ando Sangkal Dakwaan Akan Berpindah

Sejak menyertai Manchester United pada 2007 dari kelab Portugal, FC Porto, pemain tengah, Anderson kerap dilabel gagal menunjukkan prestasi terbaiknya sepanjang lima tahun di Old Trafford. Selama tempoh tersebut, Anderson hanya bermain sebanyak 87 kali dan menjaringkan empat gol untuk United. Sejak musim lalu, spekulasi tentang masa depan Anderson di Old Trafford bertiup kencang dan terbaru, pemain itu dikatakan akan kembali semula ke Portugal menyertai kelab lamanya, FC Porto. Walau bagaimanapun khabar angin itu disangkal pemain berusia 24 tahun itu yang menegaskan dia akan terus kekal bersama United. “Di Portugal, saya akan hanya bermain untuk FC Porto dan jika ditakdirkan saya kembali semula, saya pasti akan ke sana (Porto). Walau bagaimanapun, tempoh itu (kembali ke Portugal) masih terlalu jauh kerana Manchester United tidak akan melepaskan saya. Saya juga tidak akan terbawa-bawa dengan isu ini”, kata Andeson. Musim lalu, Anderson beraksi cemerlang di awal musim mengemudi bahagian tengah United bersama-sama Tom Cleverley. Walau bagaimanapun kecederaan menghalang pemain dari Brazil itu terus membuktikan kemampuannya. Musim ini pula, Anderson sudah tampil sebanyak lapan perlawanan dan berjaya menjaringkan satu gol. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan