Pada
perlawanan menentang Queens Park Rangers tempohari, pemain tengah Anderson
dimasukkan ketika permainan berbaki 30 minit untuk ditamatkan manakala United
pula sedang ketinggalan 0-1 kepada kelab tangga terbawah liga itu. Ternyata
langkah Sir Alex Ferguson memasukkan pemain itu diminit ke-59 menggantikan
Ashley Young membuah hasil apabila Anderson berjaya menggerakkan jentera tengah
United dan Jonny Evans akhirnya berjaya menjaringkan gol penyamaan lima minit
selepas itu. Berdasarkan persembahan pemain tengah itu sepanjang 30 minit
selepas dia dimasukkan, Anderson sebenarnya masih mempunyai banyak ruang untuk
meningkatkan prestasinya sekaligus membuktikan keputusan Sir Alex membawanya
dari FC Porto lima tahun lalu sebagai langkah yang tepat. Meskipun dirinya
sering dilabel gagal membuktikan kemampuan sebenar sepanjang tempoh lima
tahunnya menyarung jersi United, persembahan yang dipamerkan pemain itu selama
30 minit tempohari membuktikan bahawa dia sebenarnya pemain tengah berbakat
dalam skuad The Red Devils. Sir Alex
menyifatkan kehadiran Anderson berjaya mengubah keseluruhan permainan selepas
menyaksikan pasukannya pada satu ketika bergelut memecah kubu pertahanan lawan.
“Kehadiran Anderson berjaya mengubah permainan. Dia sangat hebat”, kata
Ferguson ringkas. Dalam tempoh 12 minit selepas dia menggantikan Young, United
berjaya menjaringkan tiga gol dan dia juga berjaya mencipta assist untuk gol ketiga yang dijaringkan
Javier Hernandez. Anderson kini dalam musim keenamnya di Old Trafford tetapi
ramai yang berpendapat pemain Brazil itu masih belum mencapai potensi sebenar
ketika menyarung jersi merah United. Musim ini dia bermain cemerlang dalam
beberapa perlawanan dan untuk berlaku adil kepadanya, sepanjang tempoh enam
tahun bersama United, Anderson sebenarnya sering bergelut dengan masalah
kecederaan. Dalam tempoh lima tahun pertama beliau di Old Trafford, pemain
tengah itu hanya bermain sebanyak 83 perlawanan liga.
Sekarang adalah masa yang
tepat untuk pemain berusia 24 tahun itu merebut peluang menempatkan dirinya
dalam kesebelasan utama United. Paul Scholes dan Ryan Giggs berada di
penghujung karier manakala Darren Fletcher pula kurang konsisten selepas kembali
semula dari rehat yang panjang kerana masalah kesihatan. Michael Carrick
merupakan pilihan utama Ferguson untuk melindungi empat pemain pertahanan di
belakangnya sekaligus meninggalkan ruang kosong di hadapan. Tom Cleverley dan
Anderson adalah calon utama untuk memikul peranan menggerakkan jentera tengah ketika
pemain muda seperti Nick Powell masih dalam proses menempatkan dirinya sebagai tonggak
di bahagian tengah bagi jangkamasa panjang. Anderson memiliki ciri-ciri
diperlukan untuk menjadi seorang pemain tengah berpengaruh buat United tetapi
dia juga perlu berhati-hati dalam menangani masalah kecederaan yang sering
membataskan kemampuannya sebelum ini. Bekas pemain Porto dan Gremio itu
mempunyai keupayaan menerajui jentera tengah United berdasarkan corak permainan
agresif dan tidak kenal penatnya selain memiliki tahap keyakinan diri yang
tinggi sepertimana yang ditunjukkannya pada final Liga Juara-Juara 2008
menentang Chelsea. Ketika perlawanan akhir itu terpaksa di tentukan dengan penentuan
sepakan penalti, Anderson yang baru memulakan musim sulungnya bersama United
sanggup memikul tugas berat berdepan antara penjaga gol terbaik dunia seperti Petr
Cech. Sebarang kritikan terutama berkaitan kecergasannya telah dijawab Anderson
sebaik Hernandez menjaringkan gol ketiga United Sabtu lalu. Ketika meraikan
jaringan Hernandez, Anderson mengangkat jersinya sekaligus menampakkan bentuk fizikalnya
yang jauh berubah berbanding sebelumnya. Selepas tamat perlawanan menentang QPR
tempohari, Anders Lindegaard merakamkan pujian buat rakan sepasukannya itu dengan
meletakkan Anderson sebagai antara pemain tengah terbaik di dunia. Inilah
masanya untuk Anderson menyemarakkan semula kerjayanya di Old Trafford. Glory
Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan