Robin Van Persie seperti yang sudah kita ketahui,
menyumbang satu lagi gol ketika United membenam Arsenal, Sabtu lalu. Biarpun
baru menyertai United, Ogos lalu, Van Persie membuktikan dia adalah penyerang
kelas dunia dan tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan
corak permainan pasukan barunya. Lapan tahun bersama The Gunners, Van Persie membuktikan kualiti sebenar dirinya dan
pengalaman yang dikutip dari penyerang-penyerang hebat yang pernah bermain
untuk Arsenal seperti Thierry Henry dan Dennis Bergkamp menjadikan Van Persie
antara penyerang terbaik di dunia ketika ini. Jadi tidak hairanlah jika Van
Persie yang kini sudah berusia 29 tahun dikecualikan dari polisi yang pernah
ditetapkan Sir Alex Ferguson sendiri untuk tidak menawarkan kontrak jangka
panjang kepada pemain yang sudah berusia. Arsene Wenger juga faham, mengapa
United begitu bersungguh-sungguh mahu membawa Van Persie ke Old Trafford selepas mengetahui
pemain itu menolak tawaran kontrak baru untuk terus kekal di Emirates. Semuanya
hanyalah kerana satu sebab, Van Persie adalah penyerang kelas dunia yang punya
naluri pemusnah cukup menggerunkan dan menjadi aset berharga buat mana-mana
pasukan yang diwakilinya. Bukan saja bertindak sebagai penyerang tengah, Van
Persie juga sering bergerak di sebelah kiri dan kanan pertahanan lawan untuk
mencari ruang menjaringkan gol di samping bertindak membuka peluang buat rakan
sepasukan yang lain. Peranan seperti itu kerap dimainkannya ketika masih
bersama Arsenal dan kini dipamerkannya pula bersama United. Van Persie juga
mempunyai kepakaran dalam mengambil sepakan percuma dan itu merupakan kualiti
tambahan buat seorang penyerang sepertinya. Selepas mengalami kecederaan lutut
yang memaksanya berehat panjang, Van Persie meledak 30 gol untuk Arsenal musim
lalu sekaligus muncul penjaring terbanyak Liga Perdana. Penyerang antarabangsa
Belanda itu diakui memiliki mental yang kuat jika diambilkira keupayaannya
bangkit dari kecederaan jangka panjang untuk kembali mengegar musim lalu. Bukan
mudah untuk mana-mana pemain yang terpaksa berehat panjang untuk kembali
keprestasi terbaiknya dalam tempoh singkat seperti apa yang dilakukan Van
Persie.
Keputusan meninggalkan Arsenal juga tentunya bukan satu keputusan yang
mudah buat Van Persie selepas bersama skuad The
Gunners selama lapan tahun. Reaksinya dapat dilihat selepas dia
menjaringkan gol pembukaan pada pertemuan menentang bekas kelabnya itu, Sabtu
lalu. Tiada langsung reaksi gembira diwajah Van Persie sebaik menjaringkan gol
dan dia jelas begitu menghormati setiap individu yang berada di Arsenal selepas
melalui tempoh menakjubkan selama lapan tahun di sana (Emirates). Apa yang
ditunjukkan Van Persie cukup berbeza jika dibandingkan dengan bekas-bekas
pemain Arsenal yang lain terutamanya Emmanuel Adebayor dan Samir Nasri.
Sepertimana Adebayor dan Nasri, Van Persie juga tidak terkecuali menerima
cemuhan dan kecaman dari penyokong-penyokong Arsenal ketika dia mengumumkan mahu
meninggalkan kelab itu. Akan tetapi sikap profesionalisme jelas terlihat dalam diri
pemain itu yang cuba mengelak dari melakukan sebarang provokasi kepada
peminat-peminat di sana yang pernah menyokongnya selama lapan tahun. Kelibat
Van Persie sebenarnya turut mengingatkan kita kepada seorang lagi penyerang
dari Belanda yang pernah bersama-sama The
Red Devils, iaitu Ruud Van Nistelrooy. Nistelrooy muncul penyerang digeruni
di Liga Perdana selepas menyertai United dari tahun 2001 hingga 2006 dan
menghasilkan 95 gol dari 150 penampilannya. Sebagaimana Van Persie, Van Nistelrooy juga pernah berdepan masalah kecederaan lutut yang serius sebelum menyertai United. Bukan hanya disebabkan kedua-duanya
berasal dari Belanda, tetapi Van Persie dan Van Nistelrooy juga mempunyai satu
persamaan iaitu kedua-duanya memiliki kelas tersendiri dan sentuhan pemusnah tajam setiap kali menerima bola. Apa yang diharapkan selepas ini ialah Van Persie
mampu mengekalkan prestasi terbaiknya bersama United dan disamping itu kita
berharap kecederaan lutut serius yang pernah dialaminya ketika bersama Arsenal
tidak berulang. Jika segalanya memihak kepada Van Persie, dan diiringi dengan
sedikit tuah, pemain itu mampu muncul antara penyerang terbaik pernah
disaksikan di Old Trafford, sama seperti rakan senegaranya, Van Nistelrooy. Glory Glory Manchester United!!! - A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan