Jentera serangan Manchester United memang diakui memainkan peranan besar
di sebalik prestasi cemerlang yang dipamerkan skuad The Red Devils setakat
ini, namun itu belum cukup untuk mengundang rasa puas hati Sir Alex Ferguson.
Kelmarin, Ferguson mencabar jentera serangan United apabila beliau meletakkan
sasaran agar penyerang-penyerangnya menjaringkan 100 gol dalam saingan liga
musim ini. United sudahpun menjaringkan 29 gol dari sebelas aksi liga setakat
ini dengan Robin Van Persie, Wayne Rooney dan Javier Hernandez muncul
penyumbang utama gol-gol United. Hanya Chelsea satu-satunya kelab yang berjaya
menjaringkan lebih dari 100 dalam semusim apabila melakukannya pada musim
2009/10. Jumlah gol tertinggi yang pernah dicatatkan United berlaku pada musim
1999/2000, dimana ketika itu mereka berjaya menjaringkan 97 gol. Ramai
pemerhati menganggap, United ketika ini memiliki barisan serangan menggerunkan
malah barisan kali ini dianggap lebih kuat berbanding skuad yang memenangi
kejuaraan treble musim 1998/99. Kehadiran Robin Van Persie
seolah-olah meletakkan United berada dalam dimensi lain ketika melakukan
serangan. Digabungkan dengan Rooney yang bukan saja boleh menjaringkan gol
tetapi juga bertindak sebagai pengumpan, manakala Javier Hernandez pula sudah
berjaya mengembalikan semula prestasi terbaiknya, maka jumlah 100 gol dalam
semusim yang ditetapkan Ferguson tidak mustahil untuk dicapai.
Selepas mengumpul 29 gol dari 11 perlawanan, United kini mencatatkan
purata 2.64 jaringan dalam satu perlawanan. Secara matematiknya jika statistik
ini berterusan pada baki 27 perlawanan selepas ini, Ferguson akan mendapati
pasukannya mampu mencapai sasaran 100 gol di akhir musim. Bagaimanapun United
akan berdepan beberapa pasukan yang gemar bermain secara defensif selepas ini
seperti Sunderland (di gelanggang lawan dan sendiri), West Ham (di gelanggang
lawan dan sendiri) dan Stoke City (di gelanggang lawan). Arsenal, Manchester
City, Chelsea, Everton, Tottenham Hotspurs dan Liverpool pula tidak perlu
diperkatakan lagi kerana mereka adalah antara calon mengisi slot kelompok empat
tempat teratas dan pastinya tidak akan membiarkan United mudah membolosi gawang
mereka. Faktor saingan sengit di penghujung musim juga patut diambil kira
kerana secara tradisinya perlawanan akan berlangsung dengan lebih ketat ketika
perjalanan liga menuju ke garisan penamat, sekaligus menjadikan peluang buat
mana-mana pasukan berpesta gol ketika itu semakin mengecil. Bagaimanapun ramai
yang menaruh keyakinan, dengan barisan pemain dimiliki United ketika ini, misi
mencapai 100 gol dalam semusim bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai.
Mencapai misi 100 gol ditambah dengan kejayaan menjulang trofi Liga Perdana,
pastinya menjadikan musim 2012/13 antara musim yang akan diingati oleh penyokong-penyokong
Manchester United sampai bila-bila. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan