03 November 2012

PREVIEW: MANCHESTER UNITED lwn ARSENAL


Manchester United dan Arsenal akan melakukan perhitungan buat kali ke 216 (dalam semua kejohanan) apabila dijadualkan berdepan dalam saingan liga malam nanti. Pertembungan terakhir antara kedua-dua pasukan di Old Trafford berlaku pada Ogos 2011 yang berkesudahan dengan jaringan besar apabila United menewaskan The Gunners, 8-2. Sejak Emmanuel Adebayor menjaringkan gol tunggal kemenangan di Old Trafford pada September 2006, Arsenal tewas tujuh dari lapan perlawanan terakhir mereka ketika berdepan United dan sekadar mencatat satu kerputusan seri. Sir Alex Ferguson dan Arsene Wenger pasti menurunkan skuad berbeza dalam perlawanan ini berbanding ketika melayani saingan Piala Capital One tempohari. United dan Arsenal merehatkan sebahagian besar pemain utama mereka ketika mengharungi kempen Piala Capital One, namun tuah lebih memihak skuad The Gunners apabila mereka layak ke peringkat suku akhir kejohanan itu selepas menyingkirkan Reading manakala United pula tewas kepada Chelsea. Robin Van Persie yang menjaringkan gol untuk Arsenal pada kedua-dua perlawanan liga menentang United musim lalu pasti tidak dapat mengelak dari menjadi tumpuan pada perlawanan ini. Van Persie yang kini berada di pihak berbeza selepas melengkapkan perpindahan ke Old Trafford Ogos lalu akan berdepan dengan bekas rakan-rakan sepasukannya di Emirates. Penyerang antarabangsa Belanda itu juga perlu memastikan dia lebih tajam kali ini, kerana sejak Ogos 2009, sembilan percubaan Van Persie terkena palang dan tiang gol. Sepanjang kariernya di England pula, Van Persie juga sudah menyaksikan 21 percubaannya singgah di tiang atau palang gol, statistik yang jauh melebihi mana-mana pemain yang beraksi di Liga Perdana. Kita mungkin tidak dapat menyaksikan pesta gol musim lalu berulang semula, tetapi perlawanan yang membabitkan kedua-dua pasukan sentiasa menjanjikan saingan sengit dan tempo permainan menarik meskipun Arsenal kini bukan lagi pasukan yang sama ketika mereka dibarisi nama-nama besar seperti Patrick Vieira, Thierry Henry, Dennis Bergkamp, Marc Overmars, Tony Adams, Ray Parlour, Martin Keown dan lain-lain.

Berita baik diterima Wenger selepas penjaga gol utamanya, Wojciech Szczesny dijangka kembali mengawal gawang pasukannya. Jack Wilshere yang melakukan kemunculan semula pada perlawanan liga menentang Queens Park Rangers, Sabtu lalu selepas lama diketepikan menjadi harapan Wenger mengemudi bahagian tengah. Di bahagian hadapan pula, Theo Walcott yang menghasilkan hatrik ketika menyingkirkan Reading akan terus menjadi sandaran utama  Wenger dalam usaha memecah benteng United yang bakal diperkuatkan semula Rio Ferdinand, Jonny Evans dan Patrice Evra. Benteng pertahanan United perlu berhati-hati dengan ketajaman Walcott dan perlu mengelak dari ketinggalan awal buat kali keempat berturut-turut ketika bermain di gelanggang sendiri. United ketinggalan awal dalam tiga perlawanan yang dilangsungkan di Old Trafford apabila dibolosi Tottenham Hotspurs dan Braga diminit ke-2 manakala Stoke City diminit ke-11. Meskipun dibantu statistik hebat apabila melakukan kebangkitan semula sebanyak 347 kali (dalam sejarah kelab) selepas ketinggalan kepada lawan, Ferguson tentunya tidak mahu melihat Arsenal muncul pasukan keempat (berturut-turut) yang berjaya membolosi gawang pasukannya terlebih dahulu di hadapan penyokong sendiri. Ketiadaan Van Persie nyata meninggalkan ruang besar di barisan serangan Arsenal di mana Oliver Giroud dan Lukas Podolski yang diharapkan boleh menggantikan tempat bekas kapten mereka itu sekadar mengumpul tiga gol setakat ini. Gervinho muncul penjaring terbanyak Arsenal setakat ini apabila pemain antarabangsa Ivory Coast itu sudah menghasilkan tiga gol. Bagaimanapun prestasi The Gunners dilihat lebih baik berbanding musim sebelumnya selepas mereka berjaya mengumpul 15 mata berbanding 13 musim lalu di peringkat yang sama. United kekal tanpa khidmat kapten pasukan, Nemanja Vidic, Phil Jones dan Shinji Kagawa manakala pelawat pula terpaksa meninggalkan Gervinho dan Lukas Fabianski pada kunjungan kali ini kerana masih dibelenggu kecederaan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Fakta Perlawanan:

- Ini adalah pertemuan ke-48 antara Sir Alex Ferguson dan Arsene Wenger. Ferguson bagaimanapun lebih unggul apabila membawa United menang sebanyak 21 kali manakala Wenger pula 15 kali.

- United tidak pernah kalah di Liga Perdana jika berjaya mendahului lawan dengan dua gol terlebih dahulu.

- Van Persie menjaringkan 96 gol dari 194 perlawanan ketika masih mewakili Arsenal. Bersama United, Van Persie merupakan penyumbang utama apabila sudah menghasilkan tujuh gol dari sembilan perlawanan.

- Arsenal merupakan kelab paling kurang menjaringkan gol dalam tempoh 30 minit pertama perlawanan berbanding pasukan lain setakat ini.

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Rafael da Silva, Tom Cleverley, Michael Carrick, Antonio Valencia, Ashley Young, Wayne Rooney & Robin Van Persie

Barisan Kemungkinan Arsenal:

Wojciech Szczesny, Thomas Vermaelen, Per Mertesacker, Bacary Sagna, Andre Santos, Mikel Arteta, Santi Cazorla, Jack Wilshere, Aaron Ramsey, Oliver Giroud & Theo Walcott

Tiada ulasan:

Catat Ulasan