Manchester United menempah tiket ke pusingan kedua (16
pasukan) Liga Juara-Juara selepas bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan wakil
Portugal, SC Braga awal pagi tadi. 12 mata maksimum dari empat perlawanan yang
sudah dilalui setakat ini meletakkan United selesa menerajui Kumpulan H, berkelebihan lapan mata berbanding kelab ditangga kedua dengan baki dua perlawanan
lagi perlu diharungi. Apapun kemungkinan yang berlaku pada dua perlawanan
terakhir, tempat United di pusingan kedua sudahpun terjamin selepas kejayaan
yang dicapai awal pagi tadi. Kejayaan mara ke pusingan kedua diraih hasil dari
kemenangan 3-1 mereka ke atas Braga selain mengekalkan rekod 100% dalam saingan
Eropah musim ini. Saingan di babak pertama berlangsung seimbang dengan
kedua-dua pasukan saling melancarkan gerakan ke kubu lawan namun tiada sebarang
jaringan yang dihasilkan kedua-dua pasukan sepanjang tempoh 45 minit.
Bersambung di babak kedua, tuan rumah hanya memerlukan empat minit untuk
memecah kebuntuan apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Custadio dikasari
Jonny Evans. Kapten pasukan, Alan yang meledak dua gol pada pertemuan di Old
Trafford 24 Oktober lalu, mudah menyempurnakan sepakan tersebut untuk meletakkan
tuan rumah di depan. Lapan minit selepas itu rentak perlawanan terganggu
apabila sebahagian lampu limpah stadium terpadam dan perlawanan ditangguhkan
selama kira-kira tiga minit. Sebaik perlawanan disambung semula, Sir Alex
Ferguson memasukkan Rio Ferdinand (menggantikan Evans minit ke-57), Robin Van
Persie (menggantikan Welbeck minit ke-64) dan Rafael da Silva (menggantikan
Nani minit ke-73) untuk memperkuatkan pasukan.
Selepas 16 minit berada di atas padang, Van Persie yang
menerima hantaran Ryan Giggs berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan
cantik yang melepasi jangkaun Beto. Empat minit selepas itu, Wayne Rooney pula dijatuhkan
dalam petak penalti lawan namun pengadil perlawanan, Felix Brych sebaliknya bertindak
meneruskan permainan. Walau bagaimanapun selepas berbincang dengan pembantunya,
Mark Borsch, pengadil dari Jerman itu kemudiannya menghadiahkan sepakan penalti
buat United yang berjaya disempurnakan Rooney biarpun menerima bantahan dari
pemain-pemain Braga. Usaha Braga untuk sekurang-kurangnya memaksa United
berkongsi mata tertutup selepas Javier Hernandez sekali lagi menjadi igauan
buat benteng tuan rumah apabila menjaringkan gol ketiga United di masa
kecederaan sekaligus memastikan tiga mata dikutip skuad The Red Devils di gelanggang lawan. Kekalahan ini juga menyaksikan
Braga terperosok di tangga keempat Kumpulan H apabila hanya mengutip 3 mata dari
empat perlawanan. Tangga kedua dihuni Galatasaray yang mengumpul empat mata
selepas menewaskan CFR Cluj 3-1 di gelanggang lawan. Galatasaray dan Cluj
berkongsi empat mata namun wakil Turki itu memiliki perbezaan jaringan lebih
baik berbanding kelab dari Romania itu. United akan sekali lagi bertandang ke
gelanggang lawan pada perlawanan kelima peringkat kumpulan apabila djadualkan
berdepan Galatasaray pada 21 November ini, manakala Braga berdepan Cluj di
Romania. Glory Glory Manchester United!!! - A.J
Statistik Perlawanan:
Gol: 1 – 3
Penguasaan Bola: 43% - 57%
Percubaan: 14 – 9
Percubaan Tepat: 7 – 8
Percubaan Tersasar: 7 – 1
Sepakan Sudut: 2 – 4
Kad Kuning: 2 – 1
Kad Merah: 0 - 0
Tiada ulasan:
Catat Ulasan