Manchester
United turun ke Villa Park pada perlawanan liga minggu ini dengan status
sebagai pendahulu Liga Perdana yang baharu. Kejayaan merampas kedudukan teratas
liga dari Chelsea di samping muncul pasukan terawal menempah tiket ke pusingan
kedua Liga Juara-Juara bakal menjadi suntikan tambahan buat barisan The Red Devils meneruskan penguasaan
mereka dalam saingan domestik. Ini merupakan petanda baik buat United musim ini
selepas aksi buruk yang mereka pamerkan di peringkat Eropah dan sentiasa berada
di belakang Manchester City pada perlumbaan kejuaraan liga musim lalu. Melihatkan
kepada prestasi terkini yang dipamerkan United, misi mengutip tiga mata penuh
di Villa Park mungkin kelihatan mudah tetapi mereka perlu berhati-hati dengan
ancaman yang bakal diberikan barisan tuan rumah terutamanya melalui gandingan
Gabriel Agbonlahor dan Christian Benteke. Selepas berjaya meraih tiga mata
penuh ke atas Sunderland di gelanggang lawan minggu lalu, barisan Aston Villa kini
berharap mereka mampu meraih sesuatu dalam perlawanan ini walaupun rekod 31
perlawanan terakhir mereka ketika menentang United begitu buruk. Robin Van
Persie yang menjaringkan gol penyamaan United ketika menentang Braga sudah
tentu akan terus menjadi harapan Sir Alex Ferguson dalam usaha memburu gol bersama
Wayne Rooney di sebelahnya. Ashley Young yang tidak diturunkan ketika saingan Liga Juara-Juara tempohari pula akan kembali semula ke Villa Park buat kali kedua selepas menyertai United musim lalu.
Meskipun Chris Smalling mampu beraksi selama 90
minit pada saingan Eropah tempohari, Rio Ferdinand dijangka terus kekal
menerajui benteng pertahanan United bersama-sama Jonny Evans pada perlawanan
ini. Kehadiran semula Smalling dianggap tepat pada waktunya selepas United
kehilangan khidmat Nemanja Vidic hingga ke penghujung tahun ini, manakala
Shinji Kagawa dan Phil Jones dijangka kembali semula dalam tempoh dua minggu
lagi. Bagi Villa pula, kecergasan Darren Bent masih diragui selepas mengalami
kecederaan buku lali dan bekas penyerang antarabangsa England itu dijangka akan terus bersama-sama Charles N’Zogbia, Richard Dunne dan Stiliyan Petrov
menyaksikan perlawanan ini dari luar padang. Ketiadaan Bent meletakkan Benteke
yang dibeli dengan nilai 7 juta Pound dari kelab Belgium, Genk musim panas ini
sebagai penyerang utama bersama-sama Agbonlahor biarpun sumbangannya setakat
ini dipersoalkan Paul Lambert. Benteke sudah menyumbangkan empat gol dari
sembilan perlawanan dalam kesemua kejohanan manakala Agbonlahor yang
menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Sunderland menjadi harapan Lambert
untuk memburu gol. Villa kini berada di tangga ke-17 liga dan berharap mereka
mampu menewaskan United untuk menjauhi zon penyingkiran, manakala The Red Devils pula mahu meneruskan
rentetan empat kemenangan berturut-turut mereka dalam saingan liga sekaligus
mengukuhkan cengkaman di tangga teratas. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Fakta
Perlawanan:
-
Aston Villa hanya menang sekali dari 31 pertemuan terakhir liga mereka
menentang United. Kali terakhir mereka menewaskan United ialah pada 13 Disember
2009.
-
Selepas mengharungi 16 perlawanan tanpa kalah ketika menentang Villa, United
akhirnya berjaya ditewaskan The Villans
di Villa Park pada musim 1995/96.
-
Aston Villa tidak pernah menang dua perlawanan berturut-turut dalam saingan
liga sejak kali terakhir melakukannya pada musim 2010/11.
-
United tidak tewas dalam 23 perlawanan liga jika menjaringkan gol terlebih
dahulu.
-
United muncul pasukan paling banyak gagal menyempurnakan sepakan penalti musim
ini (3 kali).
-
Robin Van Persie menjaringkan lapan gol dan mencipta tiga assist dari 10 perlawanan liga setakat ini.
Barisan
Kemungkinan Villa:
Brad
Guzan, Enda Stevens, Ciaran Clark, Ron Vlaar, Matthew Lowton, Barry Bannan,
Ashley Westwood, Stephen Ireland, Andreas Weimann, Gabriel Agbonlahor &
Christian Benteke
Barisan
Kemungkinan United:
David
de Gea, Rafael da Silva, Jonny Evans, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Tom
Cleverley, Michael Carrick, Antonio Valencia, Wayne Rooney, Ashley Young &
Robin Van Persie
Tiada ulasan:
Catat Ulasan