Manchester
United sekali lagi melakukan kebangkitan dramatik dalam sejarah mereka apabila
merakamkan kemenangan 3-2 ke atas Aston Villa di gelanggang lawan pada aksi
liga awal pagi tadi. Meskipun ketinggalan dua gol melalui jaringan Andreas
Weimann, barisan The Red Devils
bangkit di separuh masa kedua untuk mengutip
tiga mata penuh di Villa Park. Kemenangan ini juga mengimbas kembali memori pada
saingan Piala FA 2001/02 apabila dua jaringan Ruud Van Nistelrooy dan satu dari
Ole Gunnar Solskjaer ketika itu memadam kelebihan dua gol milik tuan rumah.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling melancarkan gerakan
ke kubu masing-masing dengan tuan rumah seperti yang diramalkan banyak
bergantung pada gandingan Gabriel Agbonlahor dan Christian Benteke terutamanya
ketika melakukan serang balas pantas. Pertarungan di bahagian tengah pula menyaksikan
dominasi sepenuhnya gandingan Michael Carrick dan Paul Scholes yang bijak
mengawal permainan hingga menyebabkan anak-anak buah Paul Lambert lebih gemar
bermain dengan hantaran-hantaran jauh sambil mengharapkan kepantasan Agbonlahor
ketika melancarkan serangan. Di penghujung babak pertama, tuan rumah akhirnya
memecah kebuntuan perlawanan apabila Weimann menjaringkan gol pembukaan
menerusi rembatan kencang yang gagal sama sekali diselamatkan David de Gea. Bersambung
di babak kedua, Sir Alex Ferguson melakukan sedikit rombakan di bahagian
hadapan apabila mengeluarkan Ashley Young yang gagal berfungsi dengan berkesan dan
memasukkan Javier Hernandez. Selepas empat minit babak kedua dimulakan, United dikejutkan
dengan gol kedua tuan rumah, sekali lagi menerusi Weimann yang mudah menolak
masuk bola hantaran Agbonlahor dari sebelah kanan pintu gol. Selepas
ketinggalan dengan dua gol, United segera memberikan tindakbalas mereka sembilan
minit kemudian (minit ke-58) menerusi gol jaringan Hernandez.
Hernandez
menggunakan kepantasannya untuk memerangkap benteng tuan rumah apabila bijak
melakukan larian pantas untuk menyudahkan bola hantaran jauh Paul Scholes bagi
merapatkan kedudukan kepada 1-2. Gol itu nyata menyemarakkan semangat pemain-pemain
United apabila mereka mula melancarkan gerakan-gerakan bahaya untuk mencari gol
penyamaan, manakala tuan rumah pula terus bergantung pada taktik serang balas
pantas mereka untuk memerangkap benteng pertahanan United. Gol penyamaan
akhirnya hadir diminit ke-63 apabila percubaan Hernandez hasil hantaran lintang
Rafael da Silva yang terkena Ron Vlaar mengelirukan Brad Guzan dan terus
menerjah jaring. Selepas itu Weimann sekali lagi mencemaskan benteng United dan
hampir merakamkan hatriknya namun tandukan pemain antarabangsa Austria itu
berjaya diselamatkan De Gea. Robin Van Persie berpeluang menjaringkan gol
peribadinya ke-9 dalam saingan liga musim ini, namun tandukannya di minit ke-72
sekadar singgah di palang gol. Seminit kemudian Van Persie terus hampa apabila menyaksikan
rembatan cantiknya dari jarak 23 meter sekali lagi singgah ke palang gol. Kelibat
Hernandez terus menjadi igauan benteng tuan rumah, apabila penyerang
antarabangsa Mexico itu menjaringkan gol kemenangan United menerusi tandukan
hasil hantaran Van Persie, tiga minit sebelum masa permainan sebenar tamat. Walaupun
pengadil perlawanan memberikan tambahan masa selama lima minit, Villa gagal
mencari gol penyamaan dan kemenangan ini menyaksikan United selesa di puncak
liga dengan kelebihan empat mata dari pencabar terdekat Chelsea yang akan turun
bermain menentang Liverpool di Stamford Bridge malam nanti. Glory Glory
Manchester United!!!! – A.J
Statistik
Perlawanan:
Gol:
2 – 3
Sepakan
Sudut: 5 – 6
Percubaan
Tepat: 6 – 7
Percubaan
Tersasar: 3 – 5
Kekasaran:
12 – 8
Offside:
0 – 3
Penguasaan
Bola: 37% - 63%
Tiada ulasan:
Catat Ulasan