13 November 2012

MEMORI KEBANGKITAN TERBAIK UNITED DALAM TEMPOH 20 TAHUN


Ramai yang tentunya sudah menyaksikan perlawanan liga hujung minggu  membabitkan Manchester United dan Aston Villa, awal pagi Ahad lalu, baik peminat mahupun `pembenci’ United. Seperti yang kita semua ketahui, perlawanan itu menyaksikan satu lagi kebangkitan dipamerkan United apabila mereka akhirnya memenangi perlawanan di Villa Park itu selepas ketinggalan dengan dua gol. Kata-kata comeback atau kebangkitan minit akhir seolah-olah sudah sinonim dengan nama dan sejarah Manchester United itu sendiri. Mungkin ramai yang mengatakan United sekadar bertuah apabila mereka mampu meraih tiga mata penuh dalam perlawanan itu (terutamanya di kalangan mereka yang anti United). Musim ini saja, United sudah mencatatkan lapan kebangkitan baik dalam saingan liga domestik, mahupun ketika beraksi di pentas Eropah. Walau bagaimanapun bagi mereka (yang mengatakan United sekadar bernasib baik) juga harus bersikap adil untuk mengatakan bahawa bangkit dari ketinggalan dan gol-gol penghujung permainan seperti yang dilakukan United di Villa Park ini bukanlah perkara baru bagi anak-anak buah Sir Alex Ferguson, tetapi sudah dilakukan skuad The Red Devils sejak bertahun-tahun lamanya. Lihat saja bagaimana Michael Owen menjaringkan gol diminit-minit akhir perlawanan ketika menewaskan Manchester City 4-3 pada perlawanan derby 2009 atau jaringan Eric Cantona pada final Piala FA menentang Liverpool pada tahun 1996. Sikap tidak pernah kenal menyerah ini sebenarnya menjadi kualiti tambahan yang ada pada United, yang ditanamkan oleh Ferguson sendiri ke atas pemain-pemainnya. Untuk itu mari kita lihat beberapa memori kebangkitan dramatik yang pernah dilakukan United dalam tempoh dua puluh tahun terakhir di bawah kendalian Ferguson:

1. Musim Ini (2012/13)

Setakat ini United sudah mencatatkan lapan kebangkitan melalui perlawanan-perlawanan berikut:

- Menewaskan Fulham di Old Trafford (3-2) selepas ketinggalan 0-1 kepada jaringan Damien Duff.

- Menewaskan Southampton di St Mary (3-2) selepas dua kali ketinggalan dan bangkit menerusi hatrik Robin Van Persie.

- Menewaskan musuh tradisi, Liverpool di Anfield selepas ketinggalan menerusi gol Steven Gerrard. United bangkit menerusi jaringan Rafael da Silva dan Robin Van Persie.

- Menewaskan CFR Cluj dalam saingan Liga Juara-Juara di gelanggang lawan selepas ketinggalan 0-1 dan bangkit dengan dua gol menerusi Robin Van Persie.

- Menewaskan Stoke City (4-2) di Old Trafford selepas ketinggalan 0-1 melalui jaringan sendiri Wayne Rooney. Rooney kemudiannya menjaringkan dua gol, manakala dua lagi gol disumbangkan Robin Van Persie dan Danny Welbeck.

- Menewaskan SC Braga (3-2) di Old Trafford selepas ketinggalan dua gol yang dijaringkan lawan menerusi Alan. United bangkit dengan dua gol dari Javier Hernandez dan Jonny Evans.

- Sekali lagi menewaskan SC Braga, kali ini di gelanggang lawan selepas ketinggalan 0-1 menerusi penalti Alan. United bangkit dengan tiga gol pada sepuluh minit terakhir menerusi jaringan Robin Van Persie, penalti dari Wayne Rooney dan jaringan Javier Hernandez.

- Menewaskan Aston Villa di Villa Park selepas ketinggalan 2-0. United bangkit menerusi dua gol Javier Hernandez dan gol sendiri dari Ron Vlaar.

2. 1993: Man Utd (2) - Sheffield Wednesday (1)

Ini merupakan antara kebangkitan paling penting dalam sejarah Manchester United. Selepas ketinggalan 0-1 kepada Wednesday menerusi penalti John Sheridan, United bangkit dengan dua gol di penghujung permainan menerusi tandukan Steve Bruce diminit ke 86 dan 90. Kemenangan dramatik ini bukan sekadar kemenangan biasa, kerana tiga mata yang diraih dalam perlawanan ini memberikan United kejuaraan liga yang pertama buat mereka sejak kali terakhir melakukannya pada 1967.

3. 1999: Man Utd (2) - Liverpool (1)

Perlawanan dramatik dalam saingan membabitkan pertemuan dua musuh tradisi ini cukup mendebarkan. Liverpool memimpin perlawanan menerusi gol pendahuluan dari Michael Owen dan keputusan perlawanan selepas itu seolah-olah bakal memihak kepada gergasi Merseyside ini ketika masa sebenar permainan berbaki dua minit untuk ditamatkan. Dwight Yorke akhirnya muncul penyelamat apabila berjaya menyamakan kedudukan diminit ke-88 menerusi tolakan mudah dari jarak dekat untuk menewaskan Bruce Grobbelaar. Ketika perlawanan seolah-olah bakal berakhir dengan keputusan seri, Ole Gunnar Solskjaer menjaringkan gol kemenangan di masa kecederaan sekaligus menyingkirkan Liverpool di pusingan keempat Piala FA musim 1998/99.

4. 1999: Juventus (3) - Man Utd (3)

Manchester United berdepan laluan sukar apabila bertemu Juventus dalam perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara edisi 1998/99. Selepas seri 1-1 di Old Trafford pada perlawanan pertama, impian United untuk mara ke perlawanan akhir kian pudar selepas ketinggalan 0-2 menerusi dua gol sumbangan Filippo Inzaghi pada perlawanan kedua yang diadakan di Turin. Roy Keane kemudiannya berjaya menyemarakkan semangat barisan The Red Devils apabila berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan untuk merapatkan jurang aggregat kepada 2-3. Di separuh masa kedua, kedudukan Juventus terus goyah apabila Dwight Yorke berjaya menyamakan kedudukan sekaligus mengikat aggregat kepada 3-3. Andy Cole kemudiannya menamatkan sisa-sisa perjuangan Juventus selepas menjaringkan gol kemenangan diminit ke-84 sekaligus menyingkir gergasi Itali itu di peringkat separuh akhir dengan aggregat 4-3.

5. 1999: Man Utd (2) - Bayern Munich (1)

Selepas 31 tahun kemarau kejuaraan Eropah, United akhirnya berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara edisi 1998/99. Bagaimanapun tugas The Red Devils tampak sukar apabila bakal bertemu juara Jerman, Bayern Munich di perlawanan akhir. Bayern ketika itu dibarisi pemain-pemain berpengalaman dalam skuad mereka seperti Giovanni Elber, Lothar Matthaus, Carsten Jancker, Mario Basler, Sammy Kuffour dan Mehmet Scholl. United ketinggalan diminit ke-6 menerusi sepakan percuma Mario Basler dan gergasi Jerman itu tampak seolah-olah bakal menjulang kejuaraan musim tersebut apabila masa sebenar 90 minit perlawanan sudahpun berakhir. Keyakinan Bayern menjulang kejuaraan jelas terbayang apabila Matthaus  sudahpun merayakan kemenangan di bangku simpanan selepas dikeluarkan di penghujung permainan. Walau bagaimanapun kegembiraan lawan disentap apabila pemain gantian, Teddy Sheringham menjaringkan gol penyamaan dimasa kecederaan (90+1). Seminit selepas itu Ole Gunnar Solskjaer memberikan United kejuaraan pertama Liga Juara-Juara sejak kali terakhir dimenangi mereka pada 1968 apabila menjaringkan gol kemenangan perlawanan akhir.

6. 2002: Man Utd (5) - Tottenham Hotspurs (3)

United ketinggalan 0-3 kepada Spurs di separuh masa pertama pada perlawanan ini. Bagaimanapun secara tiba-tiba, United melakukan kebangkitan menakjubkan di babak kedua apabila menjaringkan 5 gol sepanjang tempoh baki 45 minit. Ruud Van Nistelrooy, Sebastian Veron, Laurent Blanc, Andy Cole dan David Beckham masing-masing menyumbang satu gol dalam perlawanan ini sekaligus memadam kelebihan selesa milik Spurs. Ramai yang mengatakan bahawa, kebangkitan menggila United di separuh masa kedua adalah disebabkan penangan hair dryer treatment dari Sir Alex Ferguson dalam bilik persalinan ketika rehat separuh masa pertama. Walaupun United tewas kepada Arsenal dalam perebutan kejuaraan liga musim 2001/02 tetapi kebangkitan menakjubkan dalam perlawanan ini sentiasa diingati kebanyakkan pemerhati dan penyokong-penyokong United.

7. 2002: Aston Villa (2) - Man Utd (3)

Perlawanan dalam kempen Piala FA musim 2001/02 yang diadakan di Villa Park ini sentiasa ada dalam memori Sir Alex Ferguson. United ketinggalan 0-2 dan salah satunya adalah hasil gol sendiri yang agak melucukan dari Phil Neville. United kemudiannya bangkit di separuh masa kedua menerusi dua gol sumbangan Ruud Van Nistelrooy, dan gol kemenangan dari Ole Gunnar Solskjaer, seterusnya menyingkirkan Villa di pusingan ketiga.

8. 2009: Man Utd (3) - Aston Villa (2)

United tewas 1-4 kepada Liverpool dan 0-2 kepada Fulham dalam perlawanan sebelumnya sekaligus menjejaskan misi meraih kejuaraan liga ke-18 mereka. Kunjungan Villa ke Old Trafford dianggap cukup penting untuk The Red Devils bangkit kembali dalam usaha mereka cuba menjulang kejuaraan liga buat kali ke-18 selepas menerima saingan sengit Liverpool yang dibimbing Rafa Benitez. Villa memimpin perlawanan apabila mendahului 2-1 sebelum Cristiano Ronaldo menyamakan kedudukan diminit ke-80. Perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan seri sebelum Federico Macheda yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol kemenangan menarik di penghujung permainan. Kemenangan ini akhirnya menghidupkan kembali impian United dan mereka menang kejuaraan liga buat kali ke-18 musim 2008/09.

Apa yang dipaparkan di atas adalah sebahagian dari 349 catatan kebangkitan yang pernah dilakukan Manchester United dalam sejarah kelab. Ada banyak lagi contoh dari senarai panjang ini tentang kebangkitan-kebangkitan menakjubkan yang dilakukan United dalam perlawanan-perlawanan mereka. Setiap musim, setiap tahun ada saja siri-siri kebangkitan yang memukau penonton baik di kalangan penyokong sendiri mahupun penyokong lawan yang dipamerkan United. Tentunya kebangkitan yang dipamerkan di Villa Park hujung minggu lalu tidak akan terhenti setakat itu dan catatan 349 akan terus bertambah. Tidak kiralah jika selepas tahun-tahun mendatang, United dipimpin Sir Alex Ferguson atau tidak, lawan yang mendahului United dengan satu, dua atau tiga gol tetap mendapati mereka sebenarnya belum berada dalam kedudukan selesa untuk memenangi perlawanan. Lawan juga tentunya sedar, semangat tidak kenal menyerah atau perkataan Never Give Up Or Say Die yang sering dilaungkan penyokong-penyokong United bukan sekadar laungan kosong, sebaliknya semangat ini sudah sebati dalam diri pemain-pemain yang menyarung jersi merah keramat Manchester United, dari dahulu hingga kini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan