Satu
lagi siri kebangkitan dipamerkan Manchester United musim ini apabila mereka bangkit
menewaskan Queens Park Rangers 3-1 selepas ketinggalan kepada lawan yang berada
di dasar liga itu. Sir Alex Ferguson memimpin United selepas sambutan ulang
tahun ke-26 beliau di Old Trafford yang menyaksikan tugunya berdiri megah di perkarangan
Theatre of Dreams. Suasana pula
berbeza buat Rangers apabila mereka turun tanpa kelibat Mark Hughes yang baru
dipecat selepas prestasi hambar dipamerkan skuad dari kota London itu yang
menyaksikan mereka berada di tangga terbawah liga dengan mengumpul hanya empat
mata. Beberapa jam sebelum sepak mula, Rangers mengumumkan Harry Redknapp
sebagai pengganti Hughes dan bekas pengendali West Ham, Portsmouth dan Tottenham
Hotspurs itu sekadar menyaksikan aksi pemain-pemainnya dari tempat duduk
penonton. Babak pertama perlawanan berlangsung tanpa sebarang gol, dan biarpun
United mendominasi saingan namun mereka gagal menembusi gawang pelawat yang
dikawal Julio Cesar. Hanya percubaan tepat Wayne Rooney di pertengahan babak
pertama yang berjaya diselamatkan Cesar menjadi satu-satunya peluang terbaik
dicipta United, manakala barisan pemain pelawat pula dilihat lebih gemar
berkumpul di kawasan sendiri. United dikejutkan dengan gol pembukaan perlawanan
menerusi Jamie Mackie, tujuh minit sebaik babak kedua bersambung selepas pemain
itu memanfaatkan bola lantunan yang ditepis Anders Lindegaard untuk
menjaringkan gol dari jarak dekat. Situasi sama ketika perlawanan menentang
Norwich City di Carrow Road tampak bakal berulang apabila Rangers mula bermain secara
defensif dengan meletakkan hampir kesemua pemain mereka berkubu di kawasan
sendiri.
Ferguson melakukan dua pertukaran serentak dengan membawa masuk Anderson dan Javier Hernandez menggantikan Paul Scholes dan Ashley Young diminit ke-58. Selepas percubaan demi percubaan United bagi mencari gol penyamaan,
Jonny Evans akhirnya memecah kebuntuan diminit ke-64 apabila menyambung bola tandukan Danny Welbeck hasil dari sepakan sudut Rooney untuk mengikat kedudukan. Selepas gol penyamaan itu, tekanan demi tekanan diberikan barisan The Red Devils untuk memburu gol kedua hingga memaksa pemain-pemain pelawat terus bertahan di kawasan sendiri. Empat minit selepas itu, sepakan sudut Rooney sekali lagi
menemui sasaran apabila pemain tengah Darren Fletcher pula memanfaatkan situasi
bola mati tersebut untuk menanduk masuk melepasi jangkauan Cesar. Impian
Rangers untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata dari pertemuan ini akhirnya
ditamatkan apabila pemain gantian Javier Hernandez menjaringkan gol ketiga
United diminit ke-72. Hernandez bijak menyempurnakan lorongan dari pemain
tengah, Anderson untuk merembat masuk sekaligus memaksa Cesar mengutip bola di
gawang sendiri buat kali ketiga. Kemenangan ini juga menyaksikan United kembali
memintas kedudukan Manchester City selaku pendahulu liga, sekurang-kurang buat
tempoh 24 jam. City yang masih kekal sebagai satu-satunya pasukan belum tewas
dalam aksi liga hanya akan turun malam ini menentang Chelsea di Stamford Bridge.
Jika skuad kendalian Roberto Mancini yang baru-baru ini tersingkir dari saingan
Liga Juara-Juara gagal mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan ini, United akan
merampas semula kedudukan pendahulu liga dari jiran mereka itu. Glory Glory
Manchester United!!! – A.J
Statistik
Perlawanan:
Gol:
3 – 1
Sepakan
Sudut: 9 – 7
Percubaan
Tepat: 7 – 4
Percubaan
Tersasar: 5 – 4
Kekasaran:
6 – 11
Offside:
2 – 2
Penguasaan
Bola: 63 – 37
Kad
Kuning: 1 – 1
Kad
Merah: 0 – 0
Tiada ulasan:
Catat Ulasan