09 November 2012

26 TAHUN FERGIE DI OLD TRAFFORD


Selasa lalu (6 November 2012), genaplah 26 tahun Sir Alexander Chapman Ferguson atau lebih dikenali Sir Alex Ferguson memimpin Manchester United sebagai pengurus. Fergie, panggilan pendek untuk Sir Alex kini sudahpun berusia 70 tahun dan rekodnya ketika mengendalikan United sepanjang tempoh 26 tahun sungguh menakjubkan. Dari 1,462 perlawanan (termasuk yang terbaru menentang Braga), Fergie berjaya membawa United memenangi 872 perlawanan, 330 keputusan seri dan 260 berakhir dengan kekalahan. Dari keseluruhan perlawanan itu, Fergie berjaya memimpin United menang 37 trofi kejuaraan, sekaligus muncul kelab paling berjaya di England. Pengendali dari Scotland itu kini diiktiraf sebagai lagenda hidup dalam era bolasepak moden dan pemain United, Anderson ada kata-kata yang cukup tepat ditujukan buat lagenda itu. “Jika Fergie bersara, United akan kehilangan 30% hingga 40% kekuatannya. Dunia bolasepak akan kehilangannya. Dia bukan saja pengurus, jurulatih malah ayah kepada semua pemain dan individu yang sangat dihormati”, kata pemain dari Brazil itu. Bukan saja deretan trofi kejayaan, tetapi Fergie juga sudah menghasilkan ramai pemain lagenda dan membawa nama-nama besar beraksi di Old Trafford sepanjang kariernya bersama United. Bermula dengan Bryan Robson (walaupun Robson dibeli Ron Atkinson), Eric Cantona, Gary Pallister, Steve Bruce, Roy Keane, David Beckham, Ryan Giggs, Paul Scholes, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Ruud Van Nistelrooy, Cristiano Ronaldo, Wayne Rooney dan yang terbaru Robin Van Persie adalah antara nama besar yang pernah dan masih beraksi untuk United sehingga kini. Sebagai menghargai sumbangan Fergie yang sudah banyak membawa kejayaan kepada The Red Devils, pihak pengurusan United akan membina tugunya di Old Trafford dan akan dirasmikan pada 23 November ini. Tarikh 23 November juga dipilih kerana sehari sebelum itu, iaitu kira-kira 26 tahun lalu, United mencatat kemenangan pertama mereka di bawah kendalian Fergie dengan menewaskan Queens Park Rangers (1-0) pada 22 November 1986. Selain sudah membantu United memenangi berbagai kejuaraan, Fergie turut mencatat rekod tersendiri dalam kariernya sebagai pengurus. Menurut catatan, United adalah satu-satunya kelab di England yang berjaya menjaringkan gol di gelanggang lawan dalam 53 perlawanan terakhir secara berturut-turut. Untuk musim ini pula The Red Devils mencatatkan assist dari 11 pemain berbeza dan pemain-pemain United juga sudah menghasilkan tujuh gol yang berpunca dari tendangan sudut, satu statistik yang mengatasi mana-mana pasukan di Liga Perdana. Setiap kemenangan yang dicatatkan United tentunya tidak sunyi dari sebarang kontroversi. Paling terbaru melibatkan perlawanan United menentang Chelsea yang berlangsung di Stamford Bridge, 28 Oktober lalu. Mungkin insiden ini hanya sebahagian kecil dari episod yang pernah dilalui Fergie sepanjang 26 tahun kariernya sebagai pengurus Manchester United. Sepanjang tempoh 26 tahun juga, Fergie sudah melalui berbagai-bagai cabaran dalam menangani pesaing-pesaing United terutamanya di Liga Perdana. Pesaing-pesaing Fergie datang silih berganti, jika pada era awal 90 an  Kenny Dalglish yang membimbing Blackburn Rovers dan Kevin Keegan sebagai pengendali Newcastle United menjadi seteru utama Fergie dalam saingan liga. Kemudian tiba pula Arsene Wenger di Highbury memberikan cabaran kepada Fergie sehingga berlaku perang psikologi yang cukup panjang antara dua individu berpengaruh ini. Pasti ramai yang masih ingat, setiap kali pertembungan United dan Arsenal ketika itu akan dimulai dengan perang mulut antara dua pengendali itu dan sebaik perlawanan tamat akan diwarnai pula dengan berbagai insiden dalam dan luar padang. 

Awal millenium muncul Jose Mourinho yang mengendalikan skuad berbelanja besar Chelsea sebagai pencabar terbaru United dalam saingan domestik. Kemunculan Chelsea yang dimiliki jutawan Russia, Roman Abramovich pada mulanya dilihat ramai pihak bakal melenyapkan penguasaan United di England. United kemudiannya berada di bawah bayang-bayang The Blues selama dua musim apabila skuad kendalian Mourinho menang kejuaraan Liga Perdana dua kali berturut-turut (2004/05 dan 2005/06). Kehadiran Mourinho yang sukses membimbing Chelsea menyebabkan perseteruan antara Fergie dan Wenger mulai kendur. Selepas melihat penguasaan Chelsea di bawah Mourinho, Fergie mengalihkan tumpuan terhadap skuad The Blues pula dan berlakulah siri perang psikologi antara dua pengendali itu selama beberapa musim. Fergie akhirnya berjaya membawa United kembali memenangi kejuaraan Liga Perdana pada musim 2006/07 dan era Mourinho di Stamford Bridge berakhir selepas beliau disingkirkan Abramovich. Selepas ketiadaan Mourinho, hubungan Fergie dan Wenger kembali tegang sehinggalah Rafa Benitez berjaya mengemudi Liverpool muncul pencabar kejuaraan liga pada musim 2008/09. Saingan hebat yang diberikan Liverpool di bawah kendalian Benitez ketika itu menyebabkan berlakunya perang psikologi antara pengendali dari Sepanyol itu dengan Fergie. Di penghujung musim (2008/09), United akhirnya berjaya mempertahankan kejuaraan liga yang mereka menangi, sekaligus mengakhiri impian Liverpool yang mahu menamatkan kemarau 19 tahun tanpa kejuaraan liga dengan perbezaan empat mata. Ramai yang berpendapat ketika itu bahawa kegagalan Liverpool menamatkan kemarau 19 tahun mereka berpunca dari kesilapan Benitez yang asyik melayani perang psikologi yang dilancarkan Fergie ke atasnya hingga menyebabkan beliau hilang fokus terutamanya ketika perlumbaan merebut kejuaraan liga menuju ke penghujung musim. Kini selepas Dalglish, Keegan, Wenger, Mourinho dan Benitez muncul pula Roberto Mancini dari Manchester City sebagai pesaing terbaru Fergie. Sama seperti Mourinho, Mancini beruntung kerana diberikan limpahan wang yang banyak oleh pemilik kelab untuk mendapatkan pemain-pemain ternama bagi menguatkan pasukannya. Selepas berbelanja mewah, Mancini akhirnya berjaya membawa City memenangi kejuaraan liga buat pertama kali dalam tempoh 43 tahun musim lalu. Gol kemenangan minit akhir Sergio Aguero ketika menentang Queens Park Rangers pada perlawanan terakhir liga musim lalu meletakkan City sebagai juara baru Liga Perdana, mengatasi United di tangga kedua dengan perbezaan jaringan gol. Musim ini, Fergie membawa masuk beberapa muka baru menerusi kombinasi pemain berpengalaman dan pemain muda dengan misi mahu merampas kejuaraan liga dari tangan City selain mahu memadamkan igauan buruk prestasi mereka di peringkat Eropah musim lalu. Sehingga artikel ini ditulis, United muncul peneraju Liga Perdana selepas mengumpul 24 mata dan sudahpun menempah tiket ke pusingan kedua Liga Juara-Juara dengan rekod 100% selepas mengharungi empat perlawanan. Ketika muncul buat pertama kali sebagai pengurus United kira-kira 26 tahun lalu, Fergie menetapkan misi utamanya ialah mahu menamatkan dominasi Liverpool dalam saingan bolasepak di England. Impian pengendali lagenda itu sudahpun tercapai, apabila pada musim 2010/11, United berjaya mengatasi pencapaian sepanjang masa Liverpool dengan memenangi kejuaraan Liga Perdana buat kali ke-19. Di bawah kendalian Fergie, United juga muncul kelab paling berjaya di England apabila kejayaan mereka memenangi treble pada musim 1998/99 (Piala FA, Kejuaraan Liga dan Liga Juara-Juara) masih belum mampu disaingi mana-mana kelab di England. Musim ini Fergie memburu kejuaraan liga ke-20 untuk United, dan mahu barisan pemainnya menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ketiga sepanjang kariernya bersama United, selain Piala FA sebagai bonus tambahan. Apakah akan ada lagi kejuaraan treble untuk United selepas ini? Di bawah kendalian Fergie, impian treble buat kali kedua tidak mustahil…PERCAYALAH. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan