27 November 2012

FOTHERBY TIDAK PERNAH MENYESAL LEPASKAN CANTONA KE OLD TRAFFORD


Bill Fotherby
Semalam (26 November) genaplah 20 tahun Eric Cantona menandatangani kontrak secara rasmi bersama Manchester United tetapi mungkin juga ramai yang tidak tahu siapakah sebenarnya individu yang bertanggungjawab `mengirim’ Cantona dari Leeds United ke Old Trafford. Individu yang dimaksudkan ialah bekas Pengarah Urusan Leeds United sendiri, Bill Fotherby. Kira-kira 20 tahun lalu, Fotherby menghubungi Pengerusi Manchester United, Martin Edwards untuk bertanyakan tentang Denis Irwin selepas kelabnya berdepan masalah kecederaan yang melanda bek mereka, Mel Sterland. Daripada percubaan Leeds yang mahu mendapatkan khidmat Denis Irwin, perbualan telefon antara Fotherby dan Edwards akhirnya bertukar kepada minat United terhadap Eric Cantona. Cantona tiba di Elland Road dari kelab Perancis Nimes pada bulan Januari 1992 atas cadangan yang diberikan Michel Platini kepada Pengurus Leeds ketika itu, Howard Wilkinson. Biarpun baru semusim bersama Leeds, Cantona berjaya membantu kelab Barat Yorkshire itu merangkul kejuaraan liga pada musim 1991/92. Kelibat Cantona bersama Leeds nyata menarik minat Sir Alex Ferguson yang berhajat membawa pemain `bermasalah’ itu ke Old Trafford sehinggalah perbualan telefon antara Fotherby dan Edwards membuka jalan untuk Cantona menyertai The Red Devils. Cantona akhirnya meninggalkan Elland Road untuk menyertai United dan membantu The Red Devils menang empat kejuaraan Liga Perdana selepas itu hinggakan The King diangkat penyokong-penyokong United sebagai lagenda di Old Trafford. Leeds yang ditinggalkan Cantona berdepan masalah prestasi dan mereka tidak pernah pulih selepas itu. Kekalahan 0-4 kepada United di Elland Road pada September 1996 di mana Cantona turut menjaringkan salah satu gol mengakibatkan karier Wilkinson sebagai Pengurus Leeds berakhir.

`King' Eric
Fotherby yang kini sudah berusia 81 tahun mengimbas kembali detik-detik awal ketibaan Cantona di Elland Road.  “Kami mendapatkan Eric atas syor yang diberikan Michel Platini. Beliau (Platini) memberitahu Howard (Wilkinson) bahawa sangat sukar menangani pemain seperti Cantona tetapi dia mempunyai potensi untuk menjadi seorang pemain yang hebat”, kata Fotherby. Walau bagaimanapun menurut Fotherby, pihak pengurusan Leeds berdepan kesukaran selepas mereka menandatangani Cantona. “Selain dari Lee Chapman, tiada pemain lain dalam skuad yang fasih berbahasa Perancis dan untuk Wilkinson, situasi ini merupakan mimpi ngeri buatnya. Walaupun kami memenangi gelaran liga, kami berdepan masalah kewangan ketika bersaing di peringkat Eropah. Howard kemudiannya memberitahu saya supaya mencarikan kelab lain buat Eric”, sambung Fotherby lagi. Masalah kecederaan yang melanda Sterland selepas itu mendorong Fotherby menghubungi (Martin) Edwards untuk cuba mendapatkan Denis Irwin dari United. “Saya bertanyakan tentang Denis Irwin dan Martin (Edwards) kemudiannya mengatakan saya perlu bercakap dengan pengurus (Sir Alex) tentang hal itu. Martin kemudiannya bertanyakan mengenai Eric tetapi saya mengatakan kepadanya itu adalah mustahil. Bagaimanapun pada hari yang sama saya bercakap dengan Mick Hennigan (jurulatih) tentang minat United terhadap Eric. Beberapa jam selepas itu, Martin menghubungi saya semula dan saya memberitahunya bahawa Howard (Wilkinson) sedia untuk melepaskan Eric pergi”, kata Fotherby lagi. Walaupun beliau adalah individu yang bertanggungjawab menyebabkan Cantona berhijrah ke Old Trafford, Fotherby sebaliknya tidak pernah menyesal dengan tindakan yang dilakukannya malah sedia melakukannya sekali lagi jika berpeluang. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan