28 November 2012

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn WEST HAM



West Ham akan berkunjung ke Old Trafford buat pertama kali sejak musim 2010/11 dan kesempatan ini perlu digunakan The Red Devils untuk menjarakkan lagi kedudukan mereka di tangga teratas liga. Dengan Manchester City yang akan berdepan Wigan Athletic di gelanggang lawan manakala Chelsea pula menerima kunjungan jiran London mereka, Fulham, United berpeluang menjarakkan kedudukan selaku pendahulu liga jika menang awal pagi esok. Skuad kendalian Roberto Martinez yang mendapat suntikan semangat selepas berjaya meraih tiga mata penuh ketika bertemu Reading hujung minggu lalu mampu melakukan kejutan ke atas City dalam perlawanan ini. Chelsea pula dijangka berdepan tugas sukar selepas perlantikan Rafa Benitez sebagai pengendali baru menggantikan tempat Roberto Di Matteo, di mana penyokong-penyokong mereka sendiri sudah memberi jaminan bahawa Benitez akan sekali lagi berdepan cemuhan sepertimana yang diterimanya ketika perlawananan menentang City, Ahad lalu. Selepas dipaksa bekerja keras sebelum menang ketika berdepan Queens Park Rangers, tugas utama United dalam perlawanan ini ialah mengelakkan gawang mereka dari terus dibocori. Setakat ini United sudah dibolosi 18 kali dalam aksi liga manakala lawan pula (The Hammers) memiliki statistik yang lebih baik apabila gawang mereka dibolosi sebanyak 15 kali. United masih kekal tanpa khidmat Antonio Valencia, Shinji Kagawa, Nani dan Nemanja Vidic tetapi Sir Alex Ferguson memiliki empat pemain pertahanan tengah (Rio Ferdinand, Jonny Evans, Phil Jones dan Chris Smalling) yang cergas sepenuhnya buat pertama kali musim ini. Anderson muncul pemain yang bakal menjadi perhatian dalam perlawanan ini selepas aksi baiknya ketika berdepan QPR tempohari.

Anderson sangat luar biasa selepas dimasukkan ketika permainan berbaki 30 minit untuk ditamatkan Sabtu lalu, tetapi pemain tengah itu perlu mengatasi masalah kecergasan untuk meletakkannya pemain tetap dalam kesebelasan permulaan United. Jika Anderson berjaya mengatasi masalah itu, tidak syak lagi bahawa dia adalah pemain tengah sempurna yang dimiliki United. Sir Alex tidak perlu khuatir dengan masalah kecederaan yang dialami beberapa tonggak utamanya selepas melihat kualiti yang ada pada barisan pemain simpanannya. Selain Valencia, Kagawa, Nani dan Vidic, Darren Fletcher yang menjaringkan gol kedua United ketika berdepan QPR juga akan diketepikan kerana masalah usus yang berulang manakala Paul Scholes pula digantung kerana sudah mengutip mata kesalahan maksimum atas layangan-layangan kad kuning yang diterimanya. Bagi Hammers pula, Kevin Nolan adalah pemain paling menyerlah untuk mereka setakat ini. Dengan sumbangan lima gol, Nolan merupakan penjaring terbanyak buat skuad kendalian Sam Allardyce itu. West Ham yang kini berada di tangga kelapan liga berharap mereka mampu mengulangi pencapaian menewaskan United di Old Trafford sebanyak dua kali dalam sejarah Liga Perdana. Jack Collison, Ricardo Vaz, Yossi Benayoun dan Alou Diarra antara pemain yang akan diketepikan Allardyce dalam kunjungan ke Old Trafford kali ini selepas masing-masing belum pulih dari kecederaan. West Ham kembali semula ke saingan elit Liga Perdana dengan aksi baik yang mereka pamerkan setakat ini. Kekalahan 1-3 kepada Tottenham Hotspurs minggu lalu pastinya membuatkan skuad Hammers lebih bernafsu untuk melakukan kejutan ke atas United terutamanya menerusi gerakan-gerakan yang akan diilhamkan oleh Nolan nanti. Jangan lupa juga kelibat pemain pinjaman mereka, Andy Carroll yang cukup berbahaya ketika perebutan bola di udara. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Rekod Lima Pertemuan Terakhir United/West Ham:

02 Apr 2011: West Ham (2) – Man Utd (4), Liga Perdana
01 Dis 2010: West Ham (4) – Man Utd (0), Piala Liga
28 Ogos 2010: Man Utd (3) – West Ham (0), Liga Perdana
24 Feb 2010: Man Utd (3) – West Ham (0), Liga Perdana
05 Dis 2009: West Ham (0) – Man Utd (4), Liga Perdana

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Rafael da Silva, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Patrice Evra, Anderson, Michael Carrick, Tom Cleverley, Ashley Young, Robin Van Persie & Wayne Rooney

Barisan Kemungkinan West Ham:

Jussi Jaaskelainen, George McCartney, Joey O’Brien, Winston Reid, James Tomkins, Mark Noble, Kevin Nolan, Matt Jarvis, Mohamed Diame, Andy Carroll & Modibo Maiga

Tiada ulasan:

Catat Ulasan