05 November 2012

SEDEKAD ROONEY DI LIGA PERDANA


Wayne Rooney diakui sebagai antara pemain bolasepak paling berbakat pernah dilahirkan England. Buktinya apabila dia muncul pemain tunggal England dalam senarai pencalonan untuk anugerah Pemain Bolasepak Terbaik Dunia 2011 (Balon d’Or). Melakukan penampilan pertamanya dalam saingan liga bersama Everton pada 19 Oktober 2002 serta muncul penjaring termuda dalam sejarah Liga Perdana ketika itu. Bersama United, Rooney membantu The Red Devils mengecap berbagai kejuaraan di peringkat domestik dan juga Eropah. Meskipun Rooney gagal menyempurnakan sepakan penalti semasa menentang Arsenal dalam perlawanan liga kelmarin, itu tidak menghalang untuk menobatkannya sebagai antara pemain terbaik United ketika ini. Berikut adalah ringkasan pencapaian Rooney selama sedekad sejak melakukan penampilan pertama dalam kancah saingan Liga Perdana England pada 2002:

1. Tahun 2002

Gol kemenangan jaringan Rooney ke gawang Arsenal pada usia 16 tahun menjadikannya sebagai penjaring termuda dalam sejarah saingan Liga Perdana. Gol kemenangan itu akhirnya menamatkan rekod tanpa kalah 30 perlawanan The Gunners dalam saingan liga. Masuk sebagai pemain gentian, Rooney meledak rembatan cantik dari jarak 23 meter yang gagal diselamatkan penjaga gol Arsenal, David Seaman.

2. Tahun 2003

Selepas mempamerkan aksi cemerlang pada kemunculan pertamanya dalam saingan liga, kelibat Rooney mula dipantau beberapa kelab besar England. Bagi mengekalkan bintang mudanya itu di Goodison Park, Everton telah menawarkan kontrak baru buat Rooney sekaligus menyaksikan dia muncul pemain muda yang menerima gaji tertinggi di dunia. Rooney menerima gaji 14,000 Pound seminggu dan kekal di Goodison Park hingga 2004.

3. Tahun 2004

Karier yang bersinar bersama Everton menarik minat kelab-kelab besar untuk memancing Rooney. Selepas berusaha mengekalkan bintang muda itu dengan tawaran kontrak baru, David Moyes akhirnya tidak mampu menolak tawaran berjumlah 27 juta Pound dari Manchester United untuk Rooney. Faktor ingin memenangi kejuaraan menyebabkan Rooney meninggalkan The Toffees dan menyertai United meskipun dia mengakui menyokong  kelab dari Merseyside itu sejak kecil. Keputusan Rooney menyertai United menyebabkan dia dikecam oleh penyokong-penyokong Everton yang mendakwanya sebagai lupa daratan.

4. Tahun 2005

Rooney memilih melakukan penampilan pertamanya untuk United dengan cukup cemerlang. Diturunkan ketika United melayani kunjungan kelab Turki, Fenerbahce di Old Trafford dalam saingan Liga Juara-Juara, Rooney menjaringkan hatrik dan mencipta satu gerakan gol buat kelab barunya itu. Jaringannya ke gawang Fenerbahce menjadikan Rooney muncul pemain termuda yang mencetak hatrik dalam saingan Liga Juara-Juara. Rooney terus cemerlang apabila menjaringkan gol penyamaan menerusi voli cantik ketika menentang Newcastle United pada April 2005. United akhirnya menewaskan The Magpies 2-1 dalam perlawanan itu.

5. Tahun 2006

Pencapaian gemilang Rooney bertambah lengkap selepas dia dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik PFA musim 2005/06. Rooney berjaya mengenepikan seorang lagi bintang muda United, Cristiano Ronaldo yang turut disenaraikan dalam pencalonan itu. Anugerah itu diterima Rooney ketika musim keduanya bersama United. Anugerah ini juga merupakan permulaan buat Rooney dalam mengejar kegemilangan bersama United. 

6. Tahun 2007


Keputusan Rooney menyertai United akhirnya berbaloi apabila impiannya mahu menjulang kejuaraan tercapai. Selepas menanti selama tiga tahun, Rooney akhirnya merasai nikmat menjulang trofi Liga Perdana musim 2006/07. Musim itu juga menyaksikan Rooney menjaringkan 14 gol untuk United dalam saingan liga. United mengutip 89 mata musim tersebut sekaligus berjaya merampas semula kejuaraan Liga Perdana dari tangan Chelsea dengan kelebihan enam mata.

7. Tahun 2008

Rooney terus mengecap kejayaan bersama United apabila sekali lagi berjaya menjulang trofi Liga Perdana buat dua musim berturut-turut. Kejayaan kali lebih manis buat Rooney apabila United turut meraih kejuaraan Liga Juara-Juara selepas menundukkan pencabar domestik mereka iaitu Chelsea di perlawanan akhir yang berkesudahan dengan penentuan sepakan penalti. Pada tahun ini juga, Rooney buat pertama kalinya menggunakan nombor 10 pada jersi United yang diwarisi dari penyerang Belanda, Ruud Van Nistelrooy.

8. Tahun 2009

Rooney sekali lagi membantu United memenangi kejuaraan Liga Perdana tahun tersebut. Rooney merakamkan pencapaian peribadi apabila menjaringkan gol ke 100 dan 101 dalam saingan liga ketika United menewaskan Wigan Athletic 5-0.




9. Tahun 2010

Tahun ini menyaksikan penyokong-penyokong United dan pemerhati-pemerhati bolasepak dikejutkan dengan berita tentang masa depan Rooney bersama United. Tindakan ini mendapat perhatian dari penyokong-penyokong United yang jelas kecewa dengan keputusan pemain itu untuk berhijrah. Bagaimanapun hanya dua hari selepas mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan Old Trafford, Rooney membuat pusingan U dan menandatangani kontrak baru selama lima tahun bersama United, sekaligus memberikan kelegaan buat penyokong-penyokong United di seluruh dunia.

10. Tahun 2011

Pada perlawanan derby yang menemukan dua kelab Manchester, Rooney menjaringkan gol menakjubkan untuk membantu United menewaskan Manchester City 2-1. Ketika perlawanan seakan-akan berkesudahan dengan keputusan seri, Rooney menyambut hantaran silang Nani dengan melakukan sepakan gunting yang gagal diselamatkan Joe Hart. Gol itu juga membuktikan bahawa Rooney memang memiliki naluri pembunuh ketika berada dalam petak penalti lawan. Imej ketika Rooney melakukan sepakan itu masih popular di kalangan penyokong United hingga sekarang.

11. Tahun 2012

Pada April 2012, Rooney menjaringkan gol ke gawang bekas kelabnya Everton yang menyaksikan dia berjaya melepasi pencapaian George Best dan Dennis Viollet (179 gol). Hingga ketika ini, Rooney sudah menjaringkan 183 gol untuk United dan dia dijangka mampu mengatasi pencapaian sepanjang masa seorang lagi lagenda United iaitu Sir Bobby Charlton yang menjaringkan 249 gol. - A.J


GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan