04 November 2012

REVIEW: UNITED RAMPAS KEDUDUKAN TERATAS


Satu gol sumbangan Robin Van Persie dan Patrice Evra memberikan kemenangan kelapan United ke atas Arsenal dari sembilan pertemuan sejak 2006. Kemenangan itu juga meletakkan United di puncak takhta liga selepas dua pencabar, Chelsea dan Manchester City sekadar mengutip satu mata ketika berdepan Swansea City dan West Ham United. Seperti yang dijangkakan, Van Persie menjadi tumpuan utama pada perlawanan ini dan bekas kepten Arsenal itu membuktikan profesionalismenya apabila tidak meraikan jaringan golnya tidak lama selepas sepak mula. Kesilapan Thomas Vermaelen yang menampan lemah bola hantaran Rafael da Silva dihukum Van Persie apabila mudah merembat masuk ke gawang pelawat di minit ke-3. Selepas gol itu, United mengendurkan sedikit tekanan kepada barisan pelawat dan peluang itu digunakan The Gunners untuk menguasai perlawanan. Begitupun, United mencipta satu lagi peluang keemasan menerusi Wayne Rooney diminit ke-28 namun rembatannya berjaya ditepis Vito Mannone. United kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti selepas bola umpanan silang Ashley Young terkena tangan Santi Cazorla namun Rooney yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut gagal menemui sasaran. Babak kedua jelas dikuasai barisan pelawat namun ketumpulan jentera serangan mereka dan kegopohan ketika melakukan hantaran menyebabkan setiap gerakan berjaya dipatahkan United. Kelemahan benteng pertahanan pelawat sekali lagi dihukum menerusi jaringan Patrice Evra yang menanduk masuk bola hantaran Rooney diminit ke-66. Jangkaan tepat Evra yang bijak melonjak melepasi benteng tinggi lampai lawan, Per Mertesacker menghukum Mannone buat kali kedua. Empat minit kemudian, nasib pelawat bertambah buruk apabila Jack Wilshere diperintah keluar padang selepas mengutip dua kad kuning kerana melakukan terjahan keras ke atas Evra. Berdepan sepuluh pemain lawan, United mengendurkan sedikit tekanan dan peluang ini digunakan pelawat untuk menjaringkan gol tunggal mereka menerusi Cazorla di penghujung permainan.

RVP Hormati Bekas Kelabnya

Sementara itu, Van Persie mengakui tindakannya tidak meraikan jaringan selepas menjaringkan gol pertama perlawanan disebabkan rasa hormatnya terhadap bekas kelabnya. Selepas perlawanan, Van Persie mengakui ia merupakan hari yang cukup istimewa buat dirinya meskipun terlepas beberapa peluang untuk menambahkan jaringan. “Ini adalah kali pertama saya bermain menentang bekas kelab, kerana saya hanya mempunyai tiga kelab sepanjang karier. Ini adalah hari yang istimewa, kami menang dan saya puas hati dengan hasil yang kami perolehi”, kata Van Persie. Ketika ditanya tentang tindakannya tidak meraikan jaringannya, Van Persie mengatakan, “Saya sudah mengatakan sebelum ini. Saya bermain di sana selama lapan tahun dan melalui tempoh luar biasa ketika di sana. Saya menghormati penyokong, pemain, pengurus dan kelab”.

Perlawanan Pelik

Bagi pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson, dia menganggap perlawanan United dan Arsenal semalam adalah perlawanan yang pelik. Pengendali United itu mengatakan pertembungan kali ini tidaklah sesengit perlawanan-perlawanan yang membabitkan dua musuh ketat itu sebelum ini. Meskipun banyak layangkan kad kuning yang diberikan pengadil perlawanan, Mike Dean terhadap pemain kedua-dua pasukan, Ferguson mengatakan itu bukanlah penanda aras bahawa perjalanan perlawanan itu berlangsung dengan tegang dan sengit. United menurut Ferguson membazirkan banyak peluang bagi menambah jaringan selepas gol pembukaan Van Persie sambil mengakui barisan serangannya kurang produktif dalam perlawanan ini. “Saya fikir permainan kami terlalu santai dan kurang menekan lawan. Walaupun banyak kad kuning dilayangkan pengadil dan kami menang dengan jaringan yang tipis, ia tidak seperti perlawanan-perlawanan United/Arsenal sebelumnya”, kata Ferguson.  Meskipun kurang berpuashati dengan prestasi United, tetapi tiga mata yang diraih malam tadi menyaksikan pasukannya menyingkirkan Chelsea sebagai pendahulu liga dengan kelebihan satu mata. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan:

Gol: 2 – 1
Penguasaan Bola: 49% - 51%
Tendangan Sudut: 6 – 1
Percubaan Tepat: 7 – 3
Percubaan Tersasar: 5 – 4
Kekasaran: 13 – 13
Offside: 5 – 1
Kad Kuning: 5 – 4
Kad Merah: 0 - 1

Tiada ulasan:

Catat Ulasan