Harry Gregg merupakan penjaga gol
utama Ireland Utara yang beraksi untuk Manchester United mulai 1957 hingga
1966. Gregg dilahirkan pada 25 Oktober 1932, di Tobermore County memulakan
kerjaya dengan kelab Windsor Park Swifts FC sebelum menandatangani kontrak
bersama Coleraine yang beraksi di liga tempatan (Ireland Utara). Pada usia 18
tahun, Gregg memperolehi peluang untuk merentasi Laut Ireland apabila beliau
menyertai Doncaster Rovers dan kekal di sana selama lima tahun (1952-57).
Bersama Rovers, Gregg berjaya tampil sebanyak 94 perlawanan mengawal gawang
kelab dari Selatan Yorkshire itu. Pada Disember 1957, Gregg menyertai United
dengan nilai perpindahan sebanyak 23,000 Pound, sekaligus muncul penjaga gol
termahal dunia ketika itu. Reputasi Gregg sebagai pemain terakhir di barisan
belakang United cukup digeruni penyerang lawan dan beliau mencatat 48 clean sheet sepanjang kerjayanya bersama skuad The Red Devils. Bukan
setakat hero ketika mengawal gawang, Gregg juga dikenali sebagai `Hero Munich’
selepas tindakannya menyelamatkan beberapa rakan sepasukan dan mangsa nahas
udara Munich pada 6 Februari 1958 termasuklah Bobby Charlton, Jackie
Blanchflower, Dennis Viollet serta pengurus Sir Matt Busby.
Gregg diiktiraf banyak pihak
sebagai antara penjaga gol terbaik United namun gagal memenangi sebarang pingat
kejuaraan. Walaupun hakikatnya, dia bermain dalam salah satu tempoh paling
berjaya untuk United namun Gregg terlepas pingat kejuaraan ketika memenangi Piala
FA pada 1963 kerana kecederaan bahu serius. Dia juga terlepas pingat kejuaraan
ketika United memenangi takhta liga pada musim 1964/65 dan 1966/67 akibat
kecederaan jangka panjang. Beliau menyertai Stoke City pada musim panas tahun
1967 dan kemudiannya meninggalkan The Potters untuk
menguruskan Shrewsbury Town setahun kemudian. Gregg kemudiannya dilantik
sebagai pengurus Swansea City pada November 1972 namun meletak jawatan tiga
tahun selepas itu dan menyertai Crewe Alexandra di mana dia kekal di sana hingga
tahun 1978.
Gregg kembali semula menyertai
United, tetapi bukan sebagai pengurus sebaliknya membantu Dave Sexton (Pengurus
United) sebagai jurulatih penjaga gol sehinggalah Sexton dipecat. Kelab
seterusnya yang disertai Gregg ialah Swindon Town sebagai penolong pengurus
kepada Lou Macari dan gandingan mereka berdua berjaya membawa kelab itu
memenangi kejuaraan Liga Divisyen 4 pada tahun 1986. Pada musim 1986/87, Gregg
dilantik sebagai pengurus Carlisle United tetapi beliau gagal di sana hingga
menyaksikan kelab itu tersingkir ke Divisyen 4 buat kali pertama sejak 1960.
Gagal dalam kerjaya sebagai pengurus kelab bolasepak, Gregg menceburi bidang
perhotelan dengan memiliki Hotel Windsor di Bandar Portstewart di Utara Antrim,
Ireland Utara. Beliau menerima anugerah pingat MBE pada tahun 1995 dan muncul
dalam beberapa program dokumentari televisyen mengenai United dan nahas udara
Munich. Pada tahun 1998, sempena ulang tahun ke-40 Tragedi Munich, Gregg
dipilih sebagai penjaga gol terbaik kejohanan Piala Eropah (sekarang Liga
Juara-Juara) bagi edisi tahun 1958, satu penghargaan yang cukup tepat diberikan
kepada penjaga gol lagenda itu. United turut tidak terlepas dari menghargai
sumbangan Gregg apabila satu perlawanan testimonial untuk lagenda itu diadakan
pada 15 Mei 2012 di Belfast, Ireland. Dalam perlawanan itu, Sir Alex Ferguson
menurunkan skuad terkuatnya bagi menghargai seorang lelaki hebat bernama Harry
Gregg, yang juga salah seorang anggota dari skuad Busby Babes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan